Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ BAB 5




Di pejabat petang itu, Yuri mula terkenang saat dia menjadi guru sandaran di sebuah sekolah di Felda Triang. Petang Rabu itu, di sekolah ada latihan sukan. Yuri tiba lebih awal dari biasa. Dia menunggu masa latihan dengan menyemak buku anak-anak muridnya. Sesekali dia menggelengkan kepala. Masih ramai anak muridnya yang tidak menyiapkan latihan. Yang ada pula, banyak salah. Selalunya Yuri akan merancang dan mencari jalan pemulihan semula. 15 buah buku telah siap ditanda.
Di bilik guru kelihatan cikgu Riduan sedang khusyuk main game pinball di komputer.
” Oi...tak jemu-jemu ke main menda alah tu ? Kau main lama mana pun tak boleh tanding markah aku la.” Sapa Yuri pada Duan.
“ Hek eleh Yuri, markah kau ni bukannya banyak sangat, jap lagi kau tengoklah nama sapa paling atas.”
“ Ok...kalau nama kau boleh ada atas sekali, aku buatkan kau air teh hari ni.”
“Ok....tunggu.” Duan mencabar Yuri.

Yuri mengintai ke dapur mini sekolah itu yang agak tersorok di sebalik rak alatan lukisan. Di situlah kebiasaannya cikgu-cikgu di sekolah itu membancuh air kegemaran masing-masing. Yuri lega bila melihatkan balang Teh Boh masih berisi. Susu dikeluarkan dari dalam peti ais. Yuri sudah bersedia awal-awal. Dia tahu Duan pasti akan mengotakan janjinya.

“ Wuuhoooo….ha Yuri…mana air teh aku?” jerit Duan lantang dari hadapan bilik guru seluas 2 kelas itu. Yuri yang baru memetik suis cerek letrik di ruang belakang tersentak.
“ Tengah masak la ni oi…” jawab Yuri keras. Dia sudah menyangka. Dia mencapai jag air putih. “Alang-alang buat…baik buat banyak terus. Aku pun boleh tumpang sekaki,” Yuri menggumam.
Duan menghampiri mejanya dan mencapai sport shoes lusuhnya. Dia duduk sambil memakai kasut serta memandang ke arah Yuri.
“ Cepatlah Yuri…haus dah tekak aku ni.”
“ E eh…sabar la, tak nyempat-nyempat.”
“ Tu la cabar aku lagi….ni Duan la, pantang dicabar.”
“ Hmm…kalau kau tak menang pun tadi, aku memang niat nak buat air pun.”
“ Heh…alasan orang yang dah kalah selalunya macam tu la.” Riduan menyindir. Dia mengangkat kaki kanannya ke atas kerusi sambil kedua belah tangannya mengikat tali kasut. Badannya diampukan ke lutut sementara kaki kirinya bergedik-gedik mengikut rentak lagu dari radio yang dipasangnya.
Sepantas kilat juga Yuri mencapai tuala buruk lalu dilemparkannya ke arah Duan. Duan yang perasan melalui ekor matanya, sempat mengelak. Persis berlatih kungfu lagaknya.
“ Ooo…main kotor ye.” Marah Duan lalu mengambil tuala itu yang jatuh ke bawah mejanya. Dia berjalan ke arah Yuri dengan kaki kirinya yang masih belum berkasut. Yuri segera melarikan diri melalui pintu hujung sekali sambil ketawa besar. Dia terhenti bila melihat Duan tidak lagi mengejarnya.
“ Lepas ni….siap la kau.” Ugut Duan dari arah pintu. Kemudian menyambung memakai kasut. Yuri berpatah balik ke belakang. Dia menyambung kembali kerjanya yang tergendala. Dia membancuh air teh sepenuh jag. Duan berlalu dari mejanya menghala ke padang. Dia sempat melemparkan semula tuala buruk tadi ke atas sinki. Yuri hanya tergelak kecil.
Begitulah selalunya bila dia dan Riduan berjumpa. Ada sahaja bahan untuk digaduhkan. Walaupun Yuri hanya guru sandaran di sekolah itu, semua guru di sekolah itu melayannya dengan baik dan mesra.

Sebulan yang dulu, Riduan pernah menguncinya dalam kantin. Dia terpedaya dengan helah Duan. Masa tu ada majlis sembahyang hajat di sekolah mereka.
“ Yuri, jap.” Duan melambai tangan. Dia dan Shidi bercekak pinggang di kantin sekolah. Yuri yang tidak dapat mengagak bahawa Riduan sudah ada plan sendiri hanya mengikut.

“ Jom...angkat pinggan dalam besen tu. Shidi nak angkat tong gas,” ajak Duan sambil menjuihkan mulutnya yang tak berapa nak hensem tu.

Duan menunjukkan besen yang penuh berisi pinggan dari dalam kantin. Tong gas yang dimaksudkan ada di hadapan Shidi. Yuri sedikit pun tidak mengesyaki bahawa senyuman Duan dan Shidi ketika melambai tangan ke arahnya ada makna lain.
Sebaik sahaja Yuri melangkahkan kakinya ke dalam kantin, Duan segera menarik pintu dan menutupnya dari luar. Suis lampu dimatikan. Suasana dalam kantin menjadi gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Duan dan Shidi mendiamkan diri di luar.Yuri tersentak. Lalu dengan lantang dia menjerit sekuat hati.

“ Duan...!. Wei....bukaklah....” Daun pintu kantin diketuk bertalu-talu dengan kuat. “ Duaaannnnnnnn........” Yuri menguatkan lagi jeritannya. Tangannya memulas-mulas pemegang pintu. Tak cukup dengan itu dia menendang pintu dengan tendangan maut. Telinganya menangkap suara ketawa terbahak-bahak dari luar. Kemudian pintu itu terbuka. Duan dan Shidi masih ketawa terbahak-bahak sambil masing-masing menekan perut tanda kelucuan. Gembira sangat mereka dapat mengenakan Yuri yang mereka tahu sememangnya penakut. Takutkan gelap.
“ Duan...! mengada kau....” Yuri menghampiri Duan dan mencubit lengan sasa itu. Riduan hanya mengaduh kesakitan. Dia tidak pula melarikan diri dari cubitan itu. Dia menggosok-gosokkan lengannya tanda pedih.
Yuri menghentakkan kakinya kuat ke kaki kanan Duan. Duan tidak sempat mengelak. Giliran Yuri pula mentertawakannya. Shidi di sebelah cuma jadi pemerhati dan penyokong sahaja. Yuri segera berlalu.
“ Oi....pinggan ni marilah angkat.” jerit Duan bila dia lihat Yuri mengangkat kaki berlalu meninggalkan mereka.
“ Ah....kau angkatlah sorang.” Jawab Yuri sayup tanpa menoleh ke belakang.
Duan mengurut-urut kakinya yang kesakitan. “ Ganas betul la si Yuri ni. Tapi penakut.” getusnya dalam hati. Dan dengan keadaan yang masih terhencut-hencut itu, dia mengangkat besen itu ke atas bahunya. Dia dan Shidi beriringan ke surau sekolah. Dalam ramai-ramai guru bujang di sekolah itu, Riduan suka menyakat Yuri sebab gadis itu suka melawan. Riduan rasa terhibur dengan keletah Yuri yang agresif. Tetapi gadis itu kadang-kadang dilihat seperti sedang dilanda masalah.
Bagi Yuri pula, terasa kadang-kadang hidupnya sunyi. Kadang-kadang terasa gembira sangat. Dan dia cukup tak suka bila tiba musim cuti sekolah. Bagi sesetengah guru, terutama yang sudah berkeluarga, musim cuti sekolahlah saat yang paling ditunggu-tunggu. Masa untuk bersama keluarga. Tapi bagi diri Yuri, waktunya lebih terhibur semasa bekerja. Di kelilingi rakan-rakan. Bersembang dan berkongsi cerita apa sahaja. Walaupun hanya 3 bulan masa untuk Yuri memberi khidmatnya kepada sekolah itu, dia terasa seperti sudah bertahun bekerja di situ.



Selesai latihan sukan, Duan menyambung kegiatan waktu petangnya dengan bermain badminton.
“ Yuri, jom tengok aku main, kau jadi pengadil.” Lunak je suara Duan mengajak Yuri semasa mereka sama-sama mendaki tangga dari padang.
“ Aku reti main je...undang-undang dan kiraan mata aku tak tahu.”
“ Hish...kata terror bab-bab sukan. Takkan undang-undang badminton pun tak tahu,” tempelak Duan.
“ Aku squasy pandai la....” Yuri membalas. Sengaja mahu lari dari topik.
“ Eleh...squasy konon, ntah-ntah gelanggang squasy pun kau tak pernah tengok,” senyum kambing Duan sangat dibenci oleh Yuri.
“ Setakat gelanggang squasy tu apa la sangat.”
“ Jomlah...” Duan tidak putus asa memujuk.
“ Malaslah aku...kau bukan terror sangat main, hari-hari asyik kalah, buat malu je.”
“ Kalah....! aku selalu menang apa. Takde orang boleh challenge aku tau”. Duan menuturkan kata bongkak.
“ Setakat lawan dengan Cikgu Zamri, memanglah kau yang menang, cuba lawan Pian tengok...” Yuri mencabar kemudian ketawa. Terbayang perut boroi Cikgu Zamri. Mana larat orang tu nak lari sekejap ke kanan sekejap ke kiri mengambil smash Duan.
Duan faham rentak tawa Yuri. Dia pun turut sama tertawa. “ Aku lawan Shidi la petang ni,” kata Duan. “ Tapi sebelum main, aku nak minum air yang kau buat tadi la,...haus.” Duan mencapai gelas.
“ Huh, air dah sejuk baru nak minum.”
“ Sejuk la best. Hmm.....sedap air kau Yuri, lain kali buat lagi ye.” Duan memuji sambil menuang segelas lagi lalu minum dengan lahap.
“ Hmm....memuji tu sokmo ada niat lain. Tak kuasa aku, nak, buat sendiri.” Yuri mengejek.
”Lepas minum, gelas tu basuh sendiri ye...” pesan Yuri sebelum meninggalkan Duan. Duan tersengih macam kera dapat bunga.

Itu cerita bertahun yang dulu. Agaknya, apalah khabar Duan sekarang....rindu pula pada kenangan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment