Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 4


Waktu yang ditunggu-tunggu pun menjelma juga. Namun kali ini Yuri sengaja melambatkan masa. Pukul 9.15 malam baru dia bertolak dari rumahnya. Izzah yang baru selesai menggoreng nasi menyapanya.

“ Oit...nak pergi mana...ada date ke ?.” Izzah menyoal bila dilihat Yuri berhias tidak seperti selalu.
“ emm...aku nak keluar jumpa kawan jap. Sembang- sembang,” Jawab Yuri dengan muka manis.
“ Orait...kunci rumah bawak tau...bimbang aku tertidur kang.” Izzah mengingatkan.
“ Ok, pergi dulu.”
“ Kalau jumpa pakwe hensem kata aku kirim salam.”
“ Beres....”

Yuri faham sangat perangai kawan serumahnya itu. Sengaja nak cari cerita hangat. Dia mencapai kasut dan kunci kereta. Yuri memandu menghala ke Restoran D’Kenanga, sambil kepalanya ligat memikirkan apa yang perlu dia bualkan dengan lelaki yang bakal ditemuinya itu.

Yuri meletakkan keretanya di bahu jalan. Dia berjalan melintasi gerbang restoran itu sambil tangannya memegang dompet merahnya itu. Tiba-tiba seorang lelaki yang asalnya bersandar di keretanya menyapa,

“ Cik Yurihani...?.” Senyuman yang sangat manis dilemparkan kepada Yuri.

Dengan wajah yang masih kehairanan Yuri menjawab, “Saya..., awak....?”
“ Zahar..., selamat berkenalan..jom.” Lelaki itu segera mematikan pertanyaan Yuri. Dia faham gadis itu masih kabur kefahamannya. Tetapi dia pantas beriringan dengan gadis itu dan membawanya ke meja yang sama di duduki oleh Yuri dahulu. Atas meja tertulis RESERVE. Yuri terasa seperti mata orang di sekeliling semuanya sedang memerhatikannya.

“ Emm...nak makan apa ?” tanya Zahar. Yuri sedikit kegugupan. Tidak menyangka bahwa lelaki bernama Zahar itu sungguh menarik orangnya. Seperti ada muzik dalam kepalanya apabila memandang Zahar. Angannya pula sudah mula mengajaknya ke alam fantasi bersama lelaki itu. Ish...parah ni.

“Cik Hani.....”, suara keras itu mematikan fantasi maya Yuri yang baru nak mula. Yuri berhenti berangan. Ada getar pada suara Yuri untuk memberikan jawapan.

“ Emm..ye ye, er..saya tak mahu makan, saya minum air je la..”
“ Air apa ?”
“ Emm....Milo panas.”

Zahar menguntum senyum, sambil memesan milo panas 2, dan nasi goreng satu. Yuri malu untuk bertentangan mata dengan lelaki itu. Dia sekadar menunduk dan hanya sekali-sekala memandang ke meja-meja lain. Manakala Zahar sesekali mengerling ke wajah Yuri, dia masih menguntum senyum.

“ Kenapa awak senyum ?” Yuri memberanikan diri memulakan perbualan yang terhenti tadi.
“ Eh...perasan rupanya..ingatkan tak perasan tadi...” Zahar menempelak. Sebenarnya dia juga gugup berdepan dengan gadis yang baru dikenalinya itu, tapi berjaya diselindungkan.

“ Terima kasih sebab sudi datang jumpa saya,” Zahar menyambung lagi.
“ Sebab itu ke awak senyum-senyum sekarang ni ?.”
“ Eh...Takdelah..., saya memang suka senyum.”
Yuri mencebik.
“ Terima kasih sebab pulangkan dompet saya.”
“ Welcome..untung juga dompet awak jatuh malam tu.”
“ Kenapa ?” pantas Yuri menyoal.
“ Dapat saya berkenalan dengan tuannya.”
Yuri menjuihkan bibirnya pula kali ini.
“ Asal orang mana ?” Zahar mula menyiasat.
“ Orang Jengka, awak ?”
“ Orang sini..., kerja ?”
Yuri mengangguk “ Kerani.”
“ Oooo ingatkan cikgu.”
“ Kenapa...muka saya nampak macam garang ke ?”
“ Sikit la....” Zahar senyum lagi. “ Tapi manis...” sambungnya lagi.

Yuri jadi malu bila mendengar kata-kata Zahar. Apatah lagi lelaki itu memandang tepat ke arah matanya. Kerusi yang didudukinya itu seperti nak terbalik ke belakang. Ha ha...mainan perasaan.
“ Aduhai...manisnya senyuman tu..” Yuri memuji lelaki itu lagi dalam hati. Memang boleh membuatkan semua perempuan tergoda dan berebut untuk memilikinya. Takkan tak ada kekasih lagi orang sekacak dia. Ah..! Yuri malas nak fikir. Kalau ada pun itu hal dia. Dan aku, bakal menjadi antara perebut itu.
Perbualan mereka terhenti seketika. Masing-masing memikirkan apa yang perlu dibualkan.

“ Ada apa-apa yang hilang dalam dompet tu ?” Zahar menyambung perbualan yang terhenti.
“ Ada.....” Yuri sengaja menduga Zahar. Dia yang baru sahaja mengangkat sudu kali ke dua untuk menyuap nasi goreng terhenti.
“ Betul…?. Apa yang hilang ?”
“ Kesan tapak kaki orang yang pijak tu…., dah hilang.” Yuri senyum mengacah. Giliran Zahar pula tercengang. “ Hmm….lawak jugak dia ni.” Bisik Zahar. Zahar hanya tersengih. Dia segera menghabiskan nasi goreng walaupun masih panas. Memang lapar betul perutnya malam itu. Excited sangat dengan temujanji hari ni sampaikan dia lupa nak lunch tengah hari tadi. Gila.

Yuri hanya memandang Zahar yang sedang makan. Dibiarkan dahulu lelaki itu melayan makan malamnya. Nampak macam lapar sunguh-sunguh. Dan masa itu juga digunakan untuk memerhatikan raut wajah lelaki itu. Ada sebentuk cincin melekat kemas di jari manis tangan kirinya. Nasib baik sebelah kiri.

Zahar meneguk air milo yang sudah hampir suam. Dia memandang ke arah Yuri. Segera Yuri melarikan pandangannya, namun dapat dikesan oleh Zahar.
“ Awak selalu ke datang makan sini ?”
“ Emm..tak jugak, sekali sekala je...malam dompet saya jatuh tu, saya keluar dengan kawan baik saya. Boring.”
“ Saya tahu...”
“ Apa dia..?” Yuri kehairanan. Rasanya dia tak salah dengar.
“Eh...takde apa-apa, saya kata saya dapat agak awak boring...” Zahar menyembunyikan kejadian malam itu.
“ Macam mana awak boleh kenal saya ye ?”

Yuri teringat pula kata-kata Zahar dalam mesej kelmarin. Zahar terperangkap juga akhirnya. Lama Zahar terdiam. Hendak beritahu hal sebenar ke atau tidak. Dia memandang Yuri. Yuri pula seakan-akan tidak sabar mahu mendengar jawapan dari Zahar.
“ Sebenarnya, malam tu saya dah nampak awak kat sini berdua dengan kawan awak. Tapi khusyuk sangat awak bercerita berdua, tak perasan pun saya kat sebelah.” Terang Zahar.
Yuri mula mengingati malam dia bersama Zuriana. Memang dia tak perasan langsung orang lain. Malam itu dunianya hanya dengan Zuriana. Maklumlah dah lama tak dapat jumpa begitu. Kepoh satu restoren bercerita.
“ Awak kerja kat mana ?” Giliran Yuri pula menyoal.

Zahar menarik nafas dalam dan menghembusnya pendek. Seolah-olah memberikannya ruang untuk bersedia memberi jawapan.

“ KL……, Hotel Palace Of The Golden Horse.”
“ Orang mana ?”
“ Jengka 13”
“ Oh !...jadi awak dah biasalah dengan Jengka sebenarnya.”
“ Dulu biasa, sekarang jarang-jarang biasa,” Zahar melemparkan senyuman yang paling manis. Senyuman yang bisa membuatkan Yuri menyimpan angan-angan indah. Lagi muzik indah kedengaran bermain di cuping telinganya. Kali ini lagu dari Daus pula.

Tubuhku menggeletar,
Di hati rasa berdebar,
Apabila kau muncul,
Menjelma di depan mata,
Aku ketandusan kata,
Kerana lidah rasa kelu,
Ku cuba tepis perasaan tapi hati menuntut,
Apakah sudah masuk musim cinta ?
Katakan kenapa,
Kau buat malamku sukar untuk tidur,
Menanti esok tiba untuk berjumpa... katakan kenapa ?

Ha ha. Kepala Yuri penuh dengan muzik yang sudah sedia dimainkan bila-bila masa sahaja. Yuri digasak rasa kehairanan lagi. Lelaki itu sukar diduga. Melihatkan Yuri seperti kebingungan, Zahar segera menambah.
“ Saya lahir di Jengka, tapi tak lama, ayah saya kemudian berpindah ke Jerantut. Sekarang rumah tu bapa saudara saya yang duduk. Awak Jengka berapa ?”
“18.” pendek jawapan Yuri.
“Oh..dekat je…senanglah.”
“ Senanglah apa..?”
“ Boleh jumpa awak lagi”
“Siapa kata saya nak jumpa awak lagi..?”
Zahar menongkat dagunya dengan kedua belah tangannya. Matanya tajam memandang Yuri. Kemudian dia berdehem perlahan. Dia tahu Yuri hanya ingin memancing jawapan darinya. Gadis itu seperti mahu menduga.

“ Emm....tak boleh takpelah.” Zahar menghabiskan saki baki air milonya.

Yuri hanya tersenyum. Dia puas dapat mengenakan lelaki itu. Tak perlulah menunjukkan sangat bahawa dia juga senang berjumpa Zahar. Awal lagi ni. Kena tunjuk macho sikit. Zahar memandang jam.

“ Dah lewat ni. Tak elok rasanya untuk gadis macam awak pulang lewat malam.”
“ Emm...ye jugak.” Yuri mengiyakan sahaja. Padahal dia ingin berlebih lama lagi berbual dengan lelaki itu.

Selesai membayar, Zahar menghantar Yuri ke keretanya. “ Drive carefully.” ringkas pesanan Zahar. Yuri yang sudah pun berada didalam keretanya, bersedia menekan minyak.
“ Awak juga, jumpa lagi”, balas Yuri tersenyum manis. Kata-kata itu membuktikan bahawa dia juga bersedia untuk menerima pelawaan Zahar lagi. Dan bagi Zahar, kata-kata itu sudah cukup dimengertikan maksudnya.






BAB 5

Di pejabat petang itu, Yuri mula terkenang saat dia menjadi guru sandaran di sebuah sekolah di Felda Triang. Petang Rabu itu, di sekolah ada latihan sukan. Yuri tiba lebih awal dari biasa. Dia menunggu masa latihan dengan menyemak buku anak-anak muridnya. Sesekali dia menggelengkan kepala. Masih ramai anak muridnya yang tidak menyiapkan latihan. Yang ada pula, banyak salah. Selalunya Yuri akan merancang dan mencari jalan pemulihan semula. 15 buah buku telah siap ditanda.
Di bilik guru kelihatan cikgu Riduan sedang khusyuk main game pinball di komputer.
” Oi...tak jemu-jemu ke main menda alah tu ? Kau main lama mana pun tak boleh tanding markah aku la.” Sapa Yuri pada Duan.
“ Hek eleh Yuri, markah kau ni bukannya banyak sangat, jap lagi kau tengoklah nama sapa paling atas.”
“ Ok...kalau nama kau boleh ada atas sekali, aku buatkan kau air teh hari ni.”
“Ok....tunggu.” Duan mencabar Yuri.

Yuri mengintai ke dapur mini sekolah itu yang agak tersorok di sebalik rak alatan lukisan. Di situlah kebiasaannya cikgu-cikgu di sekolah itu membancuh air kegemaran masing-masing. Yuri lega bila melihatkan balang Teh Boh masih berisi. Susu dikeluarkan dari dalam peti ais. Yuri sudah bersedia awal-awal. Dia tahu Duan pasti akan mengotakan janjinya.

“ Wuuhoooo….ha Yuri…mana air teh aku?” jerit Duan lantang dari hadapan bilik guru seluas 2 kelas itu. Yuri yang baru memetik suis cerek letrik di ruang belakang tersentak.
“ Tengah masak la ni oi…” jawab Yuri keras. Dia sudah menyangka. Dia mencapai jag air putih. “Alang-alang buat…baik buat banyak terus. Aku pun boleh tumpang sekaki,” Yuri menggumam.
Duan menghampiri mejanya dan mencapai sport shoes lusuhnya. Dia duduk sambil memakai kasut serta memandang ke arah Yuri.
“ Cepatlah Yuri…haus dah tekak aku ni.”
“ E eh…sabar la, tak nyempat-nyempat.”
“ Tu la cabar aku lagi….ni Duan la, pantang dicabar.”
“ Hmm…kalau kau tak menang pun tadi, aku memang niat nak buat air pun.”
“ Heh…alasan orang yang dah kalah selalunya macam tu la.” Riduan menyindir. Dia mengangkat kaki kanannya ke atas kerusi sambil kedua belah tangannya mengikat tali kasut. Badannya diampukan ke lutut sementara kaki kirinya bergedik-gedik mengikut rentak lagu dari radio yang dipasangnya.
Sepantas kilat juga Yuri mencapai tuala buruk lalu dilemparkannya ke arah Duan. Duan yang perasan melalui ekor matanya, sempat mengelak. Persis berlatih kungfu lagaknya.
“ Ooo…main kotor ye.” Marah Duan lalu mengambil tuala itu yang jatuh ke bawah mejanya. Dia berjalan ke arah Yuri dengan kaki kirinya yang masih belum berkasut. Yuri segera melarikan diri melalui pintu hujung sekali sambil ketawa besar. Dia terhenti bila melihat Duan tidak lagi mengejarnya.
“ Lepas ni….siap la kau.” Ugut Duan dari arah pintu. Kemudian menyambung memakai kasut. Yuri berpatah balik ke belakang. Dia menyambung kembali kerjanya yang tergendala. Dia membancuh air teh sepenuh jag. Duan berlalu dari mejanya menghala ke padang. Dia sempat melemparkan semula tuala buruk tadi ke atas sinki. Yuri hanya tergelak kecil.
Begitulah selalunya bila dia dan Riduan berjumpa. Ada sahaja bahan untuk digaduhkan. Walaupun Yuri hanya guru sandaran di sekolah itu, semua guru di sekolah itu melayannya dengan baik dan mesra.

Sebulan yang dulu, Riduan pernah menguncinya dalam kantin. Dia terpedaya dengan helah Duan. Masa tu ada majlis sembahyang hajat di sekolah mereka.
“ Yuri, jap.” Duan melambai tangan. Dia dan Shidi bercekak pinggang di kantin sekolah. Yuri yang tidak dapat mengagak bahawa Riduan sudah ada plan sendiri hanya mengikut.

“ Jom...angkat pinggan dalam besen tu. Shidi nak angkat tong gas,” ajak Duan sambil menjuihkan mulutnya yang tak berapa nak hensem tu.

Duan menunjukkan besen yang penuh berisi pinggan dari dalam kantin. Tong gas yang dimaksudkan ada di hadapan Shidi. Yuri sedikit pun tidak mengesyaki bahawa senyuman Duan dan Shidi ketika melambai tangan ke arahnya ada makna lain.
Sebaik sahaja Yuri melangkahkan kakinya ke dalam kantin, Duan segera menarik pintu dan menutupnya dari luar. Suis lampu dimatikan. Suasana dalam kantin menjadi gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Duan dan Shidi mendiamkan diri di luar.Yuri tersentak. Lalu dengan lantang dia menjerit sekuat hati.

“ Duan...!. Wei....bukaklah....” Daun pintu kantin diketuk bertalu-talu dengan kuat. “ Duaaannnnnnnn........” Yuri menguatkan lagi jeritannya. Tangannya memulas-mulas pemegang pintu. Tak cukup dengan itu dia menendang pintu dengan tendangan maut. Telinganya menangkap suara ketawa terbahak-bahak dari luar. Kemudian pintu itu terbuka. Duan dan Shidi masih ketawa terbahak-bahak sambil masing-masing menekan perut tanda kelucuan. Gembira sangat mereka dapat mengenakan Yuri yang mereka tahu sememangnya penakut. Takutkan gelap.
“ Duan...! mengada kau....” Yuri menghampiri Duan dan mencubit lengan sasa itu. Riduan hanya mengaduh kesakitan. Dia tidak pula melarikan diri dari cubitan itu. Dia menggosok-gosokkan lengannya tanda pedih.
Yuri menghentakkan kakinya kuat ke kaki kanan Duan. Duan tidak sempat mengelak. Giliran Yuri pula mentertawakannya. Shidi di sebelah cuma jadi pemerhati dan penyokong sahaja. Yuri segera berlalu.
“ Oi....pinggan ni marilah angkat.” jerit Duan bila dia lihat Yuri mengangkat kaki berlalu meninggalkan mereka.
“ Ah....kau angkatlah sorang.” Jawab Yuri sayup tanpa menoleh ke belakang.
Duan mengurut-urut kakinya yang kesakitan. “ Ganas betul la si Yuri ni. Tapi penakut.” getusnya dalam hati. Dan dengan keadaan yang masih terhencut-hencut itu, dia mengangkat besen itu ke atas bahunya. Dia dan Shidi beriringan ke surau sekolah. Dalam ramai-ramai guru bujang di sekolah itu, Riduan suka menyakat Yuri sebab gadis itu suka melawan. Riduan rasa terhibur dengan keletah Yuri yang agresif. Tetapi gadis itu kadang-kadang dilihat seperti sedang dilanda masalah.
Bagi Yuri pula, terasa kadang-kadang hidupnya sunyi. Kadang-kadang terasa gembira sangat. Dan dia cukup tak suka bila tiba musim cuti sekolah. Bagi sesetengah guru, terutama yang sudah berkeluarga, musim cuti sekolahlah saat yang paling ditunggu-tunggu. Masa untuk bersama keluarga. Tapi bagi diri Yuri, waktunya lebih terhibur semasa bekerja. Di kelilingi rakan-rakan. Bersembang dan berkongsi cerita apa sahaja. Walaupun hanya 3 bulan masa untuk Yuri memberi khidmatnya kepada sekolah itu, dia terasa seperti sudah bertahun bekerja di situ.



Selesai latihan sukan, Duan menyambung kegiatan waktu petangnya dengan bermain badminton.
“ Yuri, jom tengok aku main, kau jadi pengadil.” Lunak je suara Duan mengajak Yuri semasa mereka sama-sama mendaki tangga dari padang.
“ Aku reti main je...undang-undang dan kiraan mata aku tak tahu.”
“ Hish...kata terror bab-bab sukan. Takkan undang-undang badminton pun tak tahu,” tempelak Duan.
“ Aku squasy pandai la....” Yuri membalas. Sengaja mahu lari dari topik.
“ Eleh...squasy konon, ntah-ntah gelanggang squasy pun kau tak pernah tengok,” senyum kambing Duan sangat dibenci oleh Yuri.
“ Setakat gelanggang squasy tu apa la sangat.”
“ Jomlah...” Duan tidak putus asa memujuk.
“ Malaslah aku...kau bukan terror sangat main, hari-hari asyik kalah, buat malu je.”
“ Kalah....! aku selalu menang apa. Takde orang boleh challenge aku tau”. Duan menuturkan kata bongkak.
“ Setakat lawan dengan Cikgu Zamri, memanglah kau yang menang, cuba lawan Pian tengok...” Yuri mencabar kemudian ketawa. Terbayang perut boroi Cikgu Zamri. Mana larat orang tu nak lari sekejap ke kanan sekejap ke kiri mengambil smash Duan.
Duan faham rentak tawa Yuri. Dia pun turut sama tertawa. “ Aku lawan Shidi la petang ni,” kata Duan. “ Tapi sebelum main, aku nak minum air yang kau buat tadi la,...haus.” Duan mencapai gelas.
“ Huh, air dah sejuk baru nak minum.”
“ Sejuk la best. Hmm.....sedap air kau Yuri, lain kali buat lagi ye.” Duan memuji sambil menuang segelas lagi lalu minum dengan lahap.
“ Hmm....memuji tu sokmo ada niat lain. Tak kuasa aku, nak, buat sendiri.” Yuri mengejek.
”Lepas minum, gelas tu basuh sendiri ye...” pesan Yuri sebelum meninggalkan Duan. Duan tersengih macam kera dapat bunga.

Itu cerita bertahun yang dulu. Agaknya, apalah khabar Duan sekarang....rindu pula pada kenangan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment