Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ BAB 7


“Aku terima nikahnya, Yurihani bt Hizwan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunaiii” lancar sebutan Zahar menerima akad. Dia kemudian berpaling mengadap Yuri lalu menyarungkan cincin ke jari manis gadis berbaju putih itu. Yuri yang control ayu itu segera menadahkan dahinya untuk dikucup...tiba-tiba...
“Bangun ! bangun !, dah solat ke belum ? pergi solat”. Seperti kedengaran suara ayah di cuping telinga Yuri. Kalau di rumah ayah, mahu 10 minit kena tazkirah ni. Matanya masih berat untuk dibuka. “La...mimpi rupanya. Ingatkan dah selamat jadi bini orang...” . Yuri menggenyeh-genyehkan matanya.
“Alamak...aku belum solat la” Yuri bingkas bangun mengambil wuduk. Mujur Allah masih menjaga solatnya. Dia belum mengerjakan solat Zohor lagi. Setengah jam sudah cukup baginya untuk merehatkan matanya yang keletihan.
Selesai solat, Yuri membersihkan diri dan bersiap-siap untuk keluar. Dia mencapai bil streamixnya. Kemudian turun dan memecut keretanya ke bandar menghala ke kedai Telekom. Dia teringat kejadian semalam, dek kerana terkejut dengan suara lantang En. Hazman yang bertanyakan kopi, dia terus jadi lupa pada kopi yang telah dibancuhnya sebelum turun bersarapan. Tinggal nak hidang je lagi. Tapi...ada baiknya jugak dia jawab belum, sebab kopi tu pun dah semakin sejuk. Tak pasal-pasal, bosnya semakin melenting bila meneguk kopi sejuk.
Ini gara-gara bermesej dengan si Zahar la ni. Semua benda yang sudah dilakukan, dia jadi lupa. Pegang kuali panas pun terasa sejuk. Kemudian Yuri tersengih-sengih pula mengingatkan mimpinya tadi. Alangkah bahagianya hati kalau mimpinya tadi benar-benar terjadi. Kalaulah adegan tadi belum sempat dipotong oleh suara ayah..., hmm...mesti dah selamat dahinya dikucup dek Zahar...ha ha.
“Akan aku jadikan kau milik aku suatu hari nanti Zaharuddin...” Yuri berjanji pada diri sendiri.

Selesai kerjanya di bandar, Yuri bersantai-santai di hujung katilnya di rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Pandangannya mengarah pada deretan novel yang bersusun kemas di atas meja. Semuanya dah lama khatam. Tiba-tiba mamat berkumis nipis melintas manja di depan matanya. Zahar. Ya, ya, dia teringatkan Zahar. Lalu mengambil telefon dan menaip mesej.

~ Hai...buat apa ?~

Macam tak ada kawan lain yang dia nak mesej. Asyik-asyik Zahar. Zahar dan Zahar. Sejak kenal Zahar, Yuri sudah jarang bermesej dengan kawan-kawan baiknya. Lupa kawan ke dia. Ah ! bukan selalu. Lagipun kawan-kawan lelaki yang ada dalam senarai kenalannya berapa sangatlah yang ada.

Yuri menunggu mesejnya dibalas. Lima belas minit berlalu masih tiada jawapan. Dia membuka laptop kesayangan, mencoret-coret perasaan hati dalam diarinya. 1 jam selepas itu baru mesej itu berbalas.
~ Hai..sorry, saya ke rumah kawan tadi. Telefon tertinggal di rumah. Hujan lebat pulak tu, belum tidur ke?~
~ Not yet. Still writing.~
~ So..sibuk la ni ?~
~Eh…taklah, kalau sibuk takkan saya mesej awak~
~ Rasa rindu pulak nak dengar suara awak. Boleh saya telefon awak sekarang ?~

Yes! Yes! Yes!....Aku pun rindu jugak ni.Yuri rasa macam nak melompat bila dengar perkataan rindu dari Zahar.

~Hmm...boleh~

Cewah..padahal memang itu niat sebenar Yuri menghantar mesej tadi. Menjadi jugak helah dia.

Zahar segera menekan butang ok pada nama Yurihani. Baru bunyi dail dua kali, telefon itu segera diangkat. Yuri berdehem bagaikan membetulkan frekuensi suaranya.
“Hello”
“Hello Hani.”
“Hai.”
“Saya menganggu ?”
“Tak.” Senyum Yuri melebar hingga ke telinga. Dah macam muka si Alfie dalam cerita Geng Bas Sekolah dah rupanya.
“Boleh tanya ?”
“Tanya apa ?”
“Berapa umur awak ?”

Alamak, bab ni yang susah sikit aku nak jawab ni. Dalam banyak-banyak soalan, kenapalah dia nak tanya soalan ni. Tanyalah pasal nama ayah aku ke ? Umur bos aku ke ? Takpun tanya mak aku kahwin dengan sapa ?

“Awak rasa ?”
“Emm.....22.”

Ha ha...muda ke dia nampak aku. Yuri tertawa dalam hati.

“Saya dah 23...”
“Ye ke. Alah silap 1 angka je. Saya salah teka la ni.”
“Awak ?”
“25. Anak ketiga dari 9 beradik. Nombor 1, 2 dan 4 sudah berkahwin. Saya ada 2 orang adik perempuan yang masih belajar. Selebihnya semua adik lelaki dan 2 orang abang. Ada apa-apa lagi yang awak nak tahu ?”.
Amboi..panjang lebarnya penerangan. Tak sempat otak aku nak rakam. Yang aku dengar dengan jelas cuma umur dia dan 9 beradik. Wow ! ramai tu. Tentu meriah keluarga dia bila time raya kan.
“Kalau saya nak tahu, saya tanya..”

Ada bunyi gelak tawa di sana. Zahar ketawa panjang. Ketawa lagi..lucu sangat ke jawapan dia. Zahar pasti Yuri mesti sedang memikirkan bagaimanalah agaknya sikap sebenar lelaki hensem macam dia. Pelik. Mudah didekati tapi sukar difahami. Mungkin itu tagline yang mudah untuk menggambarkan siapa Zahar agaknya.

“Ada orang marah ke kalau saya telefon ni?” tanya Zahar.
“Sape pulak nak marah ?”
“Manalah tahu...”

Zahar sengaja memancing. Sebenarnya, dia ingin tahu samada Yuri sudah berpunya atau belum. Lelaki...biasalah, suka berselindung. Nak, tapi tak mahu mengaku. Yuri terdiam.

“Kenapa diam....?”
“Emm...entahlah.” Yuri mengeluh. Tiba-tiba hilang punca.
“Entahlah pada apa ? Pada tak tahu kenapa diam, atau entahlah pada ada orang marah ke tidak ?
“Entahlah kenapa saya diamlah....kalau ada orang marah takkan saya mesej kat awak tadi.” Nada suara Yuri keras. Buat-buat marahlah konon.
“Marah ke ni....lain macam je bunyi ?”
“Isy...tak marahlah...kenapa nak marah...bukan awak buat salah pun.”
“Ok... sorry.” Zahar memohon maaf.
“Tak kerja ke malam ni ?”
“Tengah kerja la ni.”
“Habis tu sempat bermesej dan bertelefon pulak dengan saya ? Nanti bos awak nampak, dipecatnya awak nanti, baru tahu.” Ugut Yuri.
“Pecat....! emm.. saya pun dah boring kerja sini. Ok jugak tu tak payah susah-susah saya buat notis berhenti.”
“Amboi....eksyennya...betul-betul kena pecat nanti, padan muka.” Yuri semakin menggertak.
“Saya boleh minta kerja kat tempat awak pulak. Hari-hari boleh tengok awak...”
“Sweetnya....aduhai...ni yang buat aku lemah ni” Yuri berseloroh dalam hati.
“Bos saya tak berminat nak cari pekerja lelaki....”. Eleh...saja nak jual minyak lagi la tu. Yuri, Yuri !

Sekali lagi kedengaran ketawa panjang Zahar. Suka sangat ketawa. Tapi....seronoknya dengar dia ketawa. Zahar semakin menceriakan hidupnya yang tak berapa nak ceria itu. Siaplah...esok mesti berkilat semua rak-rak kat pejabat. Yuri jadi rajin bila dia gembira. Senyum sampai ke telinga.

“Oklah Hani, ada kerja sikit nak buat. Lain kali kita sembang lagi.”
“Ok..good night.
“You too.”

Yuri meletakkan telefon ke sisi katil. Jam sudah pun pukul 12.00 tengah malam. Hampir 1 jam juga dia berbual dengan Zahar. Yuri menutup laptop. Dia menuju ke bilik air untuk mencuci muka. Dia mengemaskan fail-fail pejabat yang dibawa pulang ke rumah untuk disiapkan. Bimbang esok terlewat bangun...kelam-kabut pula mencari fail. Ketika Yuri sudah pun terlena, ada mesej lagi yang masuk ke telefonnya. Rahimi !

******************************************************

Pagi-pagi lagi Yuri menghantar mesej pada Zahar. Dia sebenarnya resah dengan mesej dari Rahimi. Berbual dengan Zahar mungkin boleh meredakan sedikit resahnya itu.

~ Good Morning....~
~ Hi, morning~
~ Dah balik kerja ke ?~
~Emm....dah. Baru nak mandi. Pasni nak lelapkan mata jap. Mengantuk ni.~
Zahar berterus-terang. Malam tadi banyak sangat kerja yang dia kena bereskan.
Terbantut niat murni Yuri nak berbual seperti selalu. Sekelat-kelat pucuk jambu, kelat lagi muka Yuri selepas membaca mesej Zahar. Apa nak buat....orang tak sudi.

~Oklah...saya pun taknak ganggu awak. Bye.~ Yuri membalas semula.
~Bye~

Walaupun begitu, Yuri masih mahu menyanyi-nyanyi di mejanya. Bunga pasunya hari ini berganti dengan bunga segar. Serangkai ros pink yang dibeli dari kedai bunga segar, Yew Flower. En. Hazman yang tiba dari belakang, berdehem perlahan. Yuri tersentak. Hampir terlepas pasu yang sudah siap digantikan air itu. Nasib baik tak tersimbah air pasu tu ke muka bosnya. Kalau tak makan hamun lagi dia hari ni.

“ Nampak gembira hari ni..” Hazman meneka sambil tersengih.

Yuri cuma tersenyum tanpa sebarang balasan. Dia berdiri tegak mengadap bosnya itu seperti mahu menyanyikan lagu Negaraku. Mata En. Hazman beralih ke bunga ros yang baru disiapkan oleh Yuri.

“Emmm.....untuk saya ke bunga ni.?’
“Ha....a...aaa ye ye untuk En. Hazman punya. Saya baru ganti air tadi.”
“Cantik...... dan wangi.”
“Mana encik tahu wangi, encik tak cium pun bunga tu?”
“Saya bukan kata pada bunga tu....nanti letak atas meja ye.”

En. Hazman berlalu meninggalkan Yuri yang masih terpinga-pinga, tak faham apa yang dimaksudkan wangi oleh bosnya itu. Yang dia tahu cuma mengangguk-anggukkan kepalanya. Wajahnya tak ubah seperti baru tertelan gula-gula getah. Matanya mengekori langkah En. Hazman hingga ke pintu. En. Hazman tiba-tiba berpaling ke belakang sebelum menutup pintu. Dia melemparkan senyuman kepada Yuri. Manis dan menampakkan lekuk yang jelas pada dagunya. Yuri yang tidak sempat mengalihkan pandangan, terpaksa membalas senyuman.
“ Lurus...” bisik hati Hazman merujuk pada gadis yang bekerja di syarikatnya itu.
Yuri mengeluh perlahan. Pasu diangkat dan ditenungnya lama. Niat dihati nak hias meja sendiri, rupanya ke lain pulak perginya.
“Nasib kau la Yuri....,” desis Yuri pada diri sendiri.

Dia berjalan ke bilik bosnya itu. Ketika meletakkan pasu itu di atas meja, En. Hazman menghulurkan wang RM100.

“Untuk apa ni encik ?”
“Buat beli bunga..”

Yuri rasa mukanya berubah seperti badut sarkas. Mungkin lebih lawak lagi muka dia agaknya. Hampa sungguh. Ingatkan bonus tahunan tadi.
“Banyak tu...bunga emas ke dia nak aku beli ?” Yuri menyoal dalam hati.

“Saya serahkan pada awak untuk menukarkan bunga atas meja saya ni bila perlu. Gunakan duit ni untuk awak beli bunga. Bila dah habis guna nanti, beritahu saya.”
La...ingatkan sekali beli seratus. Sejak bila pulak la lelaki serius ni suka pada bunga.

“Err...arahan ke permintaan ?”. Poyos.
“Permintaaaaan.” Lembut suara Hazman meminta. Dia merenung Yuri dengan mata yang redup.

Yuri tersenyum. Hazman juga tersenyum. Senyuman yang paling manis pernah Yuri lihat sejak dia bekerja di situ. Yuri menyambut wang yang dihulurkan. Dia kemudian berpaling dan keluar. Makin lama dia berada dalam bilik tu, makin lama pula debaran dadanya nanti. Renungan En. Hazman seperti menikam-nikam jantungnya. Tak sanggup dia nak tenung lama-lama.
Yuri kembali ke mejanya. Dia mengadap komputer penuh khusyuk. Lepas satu, satu fail dibelek dan disiapkan. Tangannya mengurut-urut batang lehernya tanda kelenguhan. Dia bangun dan bercekak pinggang. Mengilas pula pinggangnya ke kiri dan kanan. “Punggung dah naik kebas dah ni”. Yuri merungut letih. Dia mengusap matanya yang terasa mengantuk.
“Hish...tak boleh jadi. Mengantuk tahap Ultraman Taro dah ni. Buat teh la,” Yuri menuju ke bilik kecil yang terletak di sudut belakang. Mug hitam yang biasanya digunakan diisikan dengan seuncang teh. Dia mengacau-ngacau gula sambil tangannya memegang sekeping roti dan mengunyahnya. DJ perutnya dah mula memainkan lagu keroncong. Mintak nasi beriani lah tu...

“Yuri...saya dah nak balik ni. Nanti macam biasa awak kunci pejabat ye. Dan petang ni rasanya awak tak payah masuk semulalah. Saya rasa nak terus ke kampung petang ni. Ada hal sikit.” Hazman meninggalkan pesan.
Yuri bagai nak melompat dan memeluk bosnya itu. Macam tahu-tahu je yang petang ni dia nak balik ke Jengka.
“Ok. Selamat bos....” Yuri lantang mengucapkan terima kasih apabila Hazman sudah pun berpaling dan melangkah keluar.

Yuri termenung. Pejabat sunyi sepi. Dia seorang bekerja disitu. En. Chong jarang-jarang ada di pejabat. Ada saja perbincangan dengan customer di luar. Urusan di pejabat biasanya memang urusan En. Hazman seorang. Yuri duduk semula di mejanya. Dia mengerling telefon yang ditinggalkan di atas meja. Ada mesej dari Zahar.

~ Hai...da habis kerja belum~
~ Awal lagi la. Da bangun ke?”
~ Da...nak pergi solat Jumaat ni.”

Bagus-bagus. Ingatkan dah tak ingat nak bangun..
~Oo...haah ye. Ari ni Jumaat. Masuk kerja pukul berapa ?”

Yuri sengaja buat-buat tanya.
~Awak ni pelupa...kan saya kata saya cuti hari ni.”
~Sori...saya memang pelupa sikit. Cuti nak ke mana ?”
~Niat hati nak jumpa seseorang, tapi dia tolak pulak.”

Jeng..jeng...jeng. Akukah yang dia maksudkan...
~Kenapa tak pujuk lagi ?”
~Tak pandai pujuk, ada suggestion ke ?”

Yuri menahan ketawa.

~Dia ingat awak tak serius kot, setakat pujuk dengan mulut, mana nak jalan...” Yuri mengacah.
~Ooo..nantilah saya beli teddy bear untuk dia. Ok la saya dah nak pergi ni, nanti saya telefon semula..”
~Ok.”
Yuri senyum lebar-lebar. Akan ditunggunya ‛Teddy Bear’ yang dijanjikan. Tak pernah ada lagi lelaki yang sudi bagi dia teddy bear. Tapi sungguh ke dia yang dimaksudkan dek Zahar tadi. “Mudah-mudahan...amiiin..”. Yuri menadah tangan. Nampak sangat terlalu berharap.

Yuri melihat jam di dinding. Sudah pukul 1.10 petang. Yuri mengemaskan begnya. Dia bersiap sedia untuk pulang. Beg pakaiannya dah lama tersedia dalam but kereta. Dia akan terus ke Jengka. Sebelum pulang, Yuri singgah sebentar di The Mall membeli barangan rumah buat ibu dan adiknya Nisa.

Hampir 2 jam, Yuri memusing-musing sekitar kedai dalam Mall. Kakinya mula terasa lenguh. Dia berehat sebentar di bangku rehat yang disediakan. Air mineral yang dibelinya tadi diteguk hampir setengah botol. Dia jadi asyik menonton filem yang ditayangkan di kedai video berdekatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment