Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ BAB 7


“Aku terima nikahnya, Yurihani bt Hizwan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah, tunaiii” lancar sebutan Zahar menerima akad. Dia kemudian berpaling mengadap Yuri lalu menyarungkan cincin ke jari manis gadis berbaju putih itu. Yuri yang control ayu itu segera menadahkan dahinya untuk dikucup...tiba-tiba...
“Bangun ! bangun !, dah solat ke belum ? pergi solat”. Seperti kedengaran suara ayah di cuping telinga Yuri. Kalau di rumah ayah, mahu 10 minit kena tazkirah ni. Matanya masih berat untuk dibuka. “La...mimpi rupanya. Ingatkan dah selamat jadi bini orang...” . Yuri menggenyeh-genyehkan matanya.
“Alamak...aku belum solat la” Yuri bingkas bangun mengambil wuduk. Mujur Allah masih menjaga solatnya. Dia belum mengerjakan solat Zohor lagi. Setengah jam sudah cukup baginya untuk merehatkan matanya yang keletihan.
Selesai solat, Yuri membersihkan diri dan bersiap-siap untuk keluar. Dia mencapai bil streamixnya. Kemudian turun dan memecut keretanya ke bandar menghala ke kedai Telekom. Dia teringat kejadian semalam, dek kerana terkejut dengan suara lantang En. Hazman yang bertanyakan kopi, dia terus jadi lupa pada kopi yang telah dibancuhnya sebelum turun bersarapan. Tinggal nak hidang je lagi. Tapi...ada baiknya jugak dia jawab belum, sebab kopi tu pun dah semakin sejuk. Tak pasal-pasal, bosnya semakin melenting bila meneguk kopi sejuk.
Ini gara-gara bermesej dengan si Zahar la ni. Semua benda yang sudah dilakukan, dia jadi lupa. Pegang kuali panas pun terasa sejuk. Kemudian Yuri tersengih-sengih pula mengingatkan mimpinya tadi. Alangkah bahagianya hati kalau mimpinya tadi benar-benar terjadi. Kalaulah adegan tadi belum sempat dipotong oleh suara ayah..., hmm...mesti dah selamat dahinya dikucup dek Zahar...ha ha.
“Akan aku jadikan kau milik aku suatu hari nanti Zaharuddin...” Yuri berjanji pada diri sendiri.

Selesai kerjanya di bandar, Yuri bersantai-santai di hujung katilnya di rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Pandangannya mengarah pada deretan novel yang bersusun kemas di atas meja. Semuanya dah lama khatam. Tiba-tiba mamat berkumis nipis melintas manja di depan matanya. Zahar. Ya, ya, dia teringatkan Zahar. Lalu mengambil telefon dan menaip mesej.

~ Hai...buat apa ?~

Macam tak ada kawan lain yang dia nak mesej. Asyik-asyik Zahar. Zahar dan Zahar. Sejak kenal Zahar, Yuri sudah jarang bermesej dengan kawan-kawan baiknya. Lupa kawan ke dia. Ah ! bukan selalu. Lagipun kawan-kawan lelaki yang ada dalam senarai kenalannya berapa sangatlah yang ada.

Yuri menunggu mesejnya dibalas. Lima belas minit berlalu masih tiada jawapan. Dia membuka laptop kesayangan, mencoret-coret perasaan hati dalam diarinya. 1 jam selepas itu baru mesej itu berbalas.
~ Hai..sorry, saya ke rumah kawan tadi. Telefon tertinggal di rumah. Hujan lebat pulak tu, belum tidur ke?~
~ Not yet. Still writing.~
~ So..sibuk la ni ?~
~Eh…taklah, kalau sibuk takkan saya mesej awak~
~ Rasa rindu pulak nak dengar suara awak. Boleh saya telefon awak sekarang ?~

Yes! Yes! Yes!....Aku pun rindu jugak ni.Yuri rasa macam nak melompat bila dengar perkataan rindu dari Zahar.

~Hmm...boleh~

Cewah..padahal memang itu niat sebenar Yuri menghantar mesej tadi. Menjadi jugak helah dia.

Zahar segera menekan butang ok pada nama Yurihani. Baru bunyi dail dua kali, telefon itu segera diangkat. Yuri berdehem bagaikan membetulkan frekuensi suaranya.
“Hello”
“Hello Hani.”
“Hai.”
“Saya menganggu ?”
“Tak.” Senyum Yuri melebar hingga ke telinga. Dah macam muka si Alfie dalam cerita Geng Bas Sekolah dah rupanya.
“Boleh tanya ?”
“Tanya apa ?”
“Berapa umur awak ?”

Alamak, bab ni yang susah sikit aku nak jawab ni. Dalam banyak-banyak soalan, kenapalah dia nak tanya soalan ni. Tanyalah pasal nama ayah aku ke ? Umur bos aku ke ? Takpun tanya mak aku kahwin dengan sapa ?

“Awak rasa ?”
“Emm.....22.”

Ha ha...muda ke dia nampak aku. Yuri tertawa dalam hati.

“Saya dah 23...”
“Ye ke. Alah silap 1 angka je. Saya salah teka la ni.”
“Awak ?”
“25. Anak ketiga dari 9 beradik. Nombor 1, 2 dan 4 sudah berkahwin. Saya ada 2 orang adik perempuan yang masih belajar. Selebihnya semua adik lelaki dan 2 orang abang. Ada apa-apa lagi yang awak nak tahu ?”.
Amboi..panjang lebarnya penerangan. Tak sempat otak aku nak rakam. Yang aku dengar dengan jelas cuma umur dia dan 9 beradik. Wow ! ramai tu. Tentu meriah keluarga dia bila time raya kan.
“Kalau saya nak tahu, saya tanya..”

Ada bunyi gelak tawa di sana. Zahar ketawa panjang. Ketawa lagi..lucu sangat ke jawapan dia. Zahar pasti Yuri mesti sedang memikirkan bagaimanalah agaknya sikap sebenar lelaki hensem macam dia. Pelik. Mudah didekati tapi sukar difahami. Mungkin itu tagline yang mudah untuk menggambarkan siapa Zahar agaknya.

“Ada orang marah ke kalau saya telefon ni?” tanya Zahar.
“Sape pulak nak marah ?”
“Manalah tahu...”

Zahar sengaja memancing. Sebenarnya, dia ingin tahu samada Yuri sudah berpunya atau belum. Lelaki...biasalah, suka berselindung. Nak, tapi tak mahu mengaku. Yuri terdiam.

“Kenapa diam....?”
“Emm...entahlah.” Yuri mengeluh. Tiba-tiba hilang punca.
“Entahlah pada apa ? Pada tak tahu kenapa diam, atau entahlah pada ada orang marah ke tidak ?
“Entahlah kenapa saya diamlah....kalau ada orang marah takkan saya mesej kat awak tadi.” Nada suara Yuri keras. Buat-buat marahlah konon.
“Marah ke ni....lain macam je bunyi ?”
“Isy...tak marahlah...kenapa nak marah...bukan awak buat salah pun.”
“Ok... sorry.” Zahar memohon maaf.
“Tak kerja ke malam ni ?”
“Tengah kerja la ni.”
“Habis tu sempat bermesej dan bertelefon pulak dengan saya ? Nanti bos awak nampak, dipecatnya awak nanti, baru tahu.” Ugut Yuri.
“Pecat....! emm.. saya pun dah boring kerja sini. Ok jugak tu tak payah susah-susah saya buat notis berhenti.”
“Amboi....eksyennya...betul-betul kena pecat nanti, padan muka.” Yuri semakin menggertak.
“Saya boleh minta kerja kat tempat awak pulak. Hari-hari boleh tengok awak...”
“Sweetnya....aduhai...ni yang buat aku lemah ni” Yuri berseloroh dalam hati.
“Bos saya tak berminat nak cari pekerja lelaki....”. Eleh...saja nak jual minyak lagi la tu. Yuri, Yuri !

Sekali lagi kedengaran ketawa panjang Zahar. Suka sangat ketawa. Tapi....seronoknya dengar dia ketawa. Zahar semakin menceriakan hidupnya yang tak berapa nak ceria itu. Siaplah...esok mesti berkilat semua rak-rak kat pejabat. Yuri jadi rajin bila dia gembira. Senyum sampai ke telinga.

“Oklah Hani, ada kerja sikit nak buat. Lain kali kita sembang lagi.”
“Ok..good night.
“You too.”

Yuri meletakkan telefon ke sisi katil. Jam sudah pun pukul 12.00 tengah malam. Hampir 1 jam juga dia berbual dengan Zahar. Yuri menutup laptop. Dia menuju ke bilik air untuk mencuci muka. Dia mengemaskan fail-fail pejabat yang dibawa pulang ke rumah untuk disiapkan. Bimbang esok terlewat bangun...kelam-kabut pula mencari fail. Ketika Yuri sudah pun terlena, ada mesej lagi yang masuk ke telefonnya. Rahimi !

******************************************************

Pagi-pagi lagi Yuri menghantar mesej pada Zahar. Dia sebenarnya resah dengan mesej dari Rahimi. Berbual dengan Zahar mungkin boleh meredakan sedikit resahnya itu.

~ Good Morning....~
~ Hi, morning~
~ Dah balik kerja ke ?~
~Emm....dah. Baru nak mandi. Pasni nak lelapkan mata jap. Mengantuk ni.~
Zahar berterus-terang. Malam tadi banyak sangat kerja yang dia kena bereskan.
Terbantut niat murni Yuri nak berbual seperti selalu. Sekelat-kelat pucuk jambu, kelat lagi muka Yuri selepas membaca mesej Zahar. Apa nak buat....orang tak sudi.

~Oklah...saya pun taknak ganggu awak. Bye.~ Yuri membalas semula.
~Bye~

Walaupun begitu, Yuri masih mahu menyanyi-nyanyi di mejanya. Bunga pasunya hari ini berganti dengan bunga segar. Serangkai ros pink yang dibeli dari kedai bunga segar, Yew Flower. En. Hazman yang tiba dari belakang, berdehem perlahan. Yuri tersentak. Hampir terlepas pasu yang sudah siap digantikan air itu. Nasib baik tak tersimbah air pasu tu ke muka bosnya. Kalau tak makan hamun lagi dia hari ni.

“ Nampak gembira hari ni..” Hazman meneka sambil tersengih.

Yuri cuma tersenyum tanpa sebarang balasan. Dia berdiri tegak mengadap bosnya itu seperti mahu menyanyikan lagu Negaraku. Mata En. Hazman beralih ke bunga ros yang baru disiapkan oleh Yuri.

“Emmm.....untuk saya ke bunga ni.?’
“Ha....a...aaa ye ye untuk En. Hazman punya. Saya baru ganti air tadi.”
“Cantik...... dan wangi.”
“Mana encik tahu wangi, encik tak cium pun bunga tu?”
“Saya bukan kata pada bunga tu....nanti letak atas meja ye.”

En. Hazman berlalu meninggalkan Yuri yang masih terpinga-pinga, tak faham apa yang dimaksudkan wangi oleh bosnya itu. Yang dia tahu cuma mengangguk-anggukkan kepalanya. Wajahnya tak ubah seperti baru tertelan gula-gula getah. Matanya mengekori langkah En. Hazman hingga ke pintu. En. Hazman tiba-tiba berpaling ke belakang sebelum menutup pintu. Dia melemparkan senyuman kepada Yuri. Manis dan menampakkan lekuk yang jelas pada dagunya. Yuri yang tidak sempat mengalihkan pandangan, terpaksa membalas senyuman.
“ Lurus...” bisik hati Hazman merujuk pada gadis yang bekerja di syarikatnya itu.
Yuri mengeluh perlahan. Pasu diangkat dan ditenungnya lama. Niat dihati nak hias meja sendiri, rupanya ke lain pulak perginya.
“Nasib kau la Yuri....,” desis Yuri pada diri sendiri.

Dia berjalan ke bilik bosnya itu. Ketika meletakkan pasu itu di atas meja, En. Hazman menghulurkan wang RM100.

“Untuk apa ni encik ?”
“Buat beli bunga..”

Yuri rasa mukanya berubah seperti badut sarkas. Mungkin lebih lawak lagi muka dia agaknya. Hampa sungguh. Ingatkan bonus tahunan tadi.
“Banyak tu...bunga emas ke dia nak aku beli ?” Yuri menyoal dalam hati.

“Saya serahkan pada awak untuk menukarkan bunga atas meja saya ni bila perlu. Gunakan duit ni untuk awak beli bunga. Bila dah habis guna nanti, beritahu saya.”
La...ingatkan sekali beli seratus. Sejak bila pulak la lelaki serius ni suka pada bunga.

“Err...arahan ke permintaan ?”. Poyos.
“Permintaaaaan.” Lembut suara Hazman meminta. Dia merenung Yuri dengan mata yang redup.

Yuri tersenyum. Hazman juga tersenyum. Senyuman yang paling manis pernah Yuri lihat sejak dia bekerja di situ. Yuri menyambut wang yang dihulurkan. Dia kemudian berpaling dan keluar. Makin lama dia berada dalam bilik tu, makin lama pula debaran dadanya nanti. Renungan En. Hazman seperti menikam-nikam jantungnya. Tak sanggup dia nak tenung lama-lama.
Yuri kembali ke mejanya. Dia mengadap komputer penuh khusyuk. Lepas satu, satu fail dibelek dan disiapkan. Tangannya mengurut-urut batang lehernya tanda kelenguhan. Dia bangun dan bercekak pinggang. Mengilas pula pinggangnya ke kiri dan kanan. “Punggung dah naik kebas dah ni”. Yuri merungut letih. Dia mengusap matanya yang terasa mengantuk.
“Hish...tak boleh jadi. Mengantuk tahap Ultraman Taro dah ni. Buat teh la,” Yuri menuju ke bilik kecil yang terletak di sudut belakang. Mug hitam yang biasanya digunakan diisikan dengan seuncang teh. Dia mengacau-ngacau gula sambil tangannya memegang sekeping roti dan mengunyahnya. DJ perutnya dah mula memainkan lagu keroncong. Mintak nasi beriani lah tu...

“Yuri...saya dah nak balik ni. Nanti macam biasa awak kunci pejabat ye. Dan petang ni rasanya awak tak payah masuk semulalah. Saya rasa nak terus ke kampung petang ni. Ada hal sikit.” Hazman meninggalkan pesan.
Yuri bagai nak melompat dan memeluk bosnya itu. Macam tahu-tahu je yang petang ni dia nak balik ke Jengka.
“Ok. Selamat bos....” Yuri lantang mengucapkan terima kasih apabila Hazman sudah pun berpaling dan melangkah keluar.

Yuri termenung. Pejabat sunyi sepi. Dia seorang bekerja disitu. En. Chong jarang-jarang ada di pejabat. Ada saja perbincangan dengan customer di luar. Urusan di pejabat biasanya memang urusan En. Hazman seorang. Yuri duduk semula di mejanya. Dia mengerling telefon yang ditinggalkan di atas meja. Ada mesej dari Zahar.

~ Hai...da habis kerja belum~
~ Awal lagi la. Da bangun ke?”
~ Da...nak pergi solat Jumaat ni.”

Bagus-bagus. Ingatkan dah tak ingat nak bangun..
~Oo...haah ye. Ari ni Jumaat. Masuk kerja pukul berapa ?”

Yuri sengaja buat-buat tanya.
~Awak ni pelupa...kan saya kata saya cuti hari ni.”
~Sori...saya memang pelupa sikit. Cuti nak ke mana ?”
~Niat hati nak jumpa seseorang, tapi dia tolak pulak.”

Jeng..jeng...jeng. Akukah yang dia maksudkan...
~Kenapa tak pujuk lagi ?”
~Tak pandai pujuk, ada suggestion ke ?”

Yuri menahan ketawa.

~Dia ingat awak tak serius kot, setakat pujuk dengan mulut, mana nak jalan...” Yuri mengacah.
~Ooo..nantilah saya beli teddy bear untuk dia. Ok la saya dah nak pergi ni, nanti saya telefon semula..”
~Ok.”
Yuri senyum lebar-lebar. Akan ditunggunya ‛Teddy Bear’ yang dijanjikan. Tak pernah ada lagi lelaki yang sudi bagi dia teddy bear. Tapi sungguh ke dia yang dimaksudkan dek Zahar tadi. “Mudah-mudahan...amiiin..”. Yuri menadah tangan. Nampak sangat terlalu berharap.

Yuri melihat jam di dinding. Sudah pukul 1.10 petang. Yuri mengemaskan begnya. Dia bersiap sedia untuk pulang. Beg pakaiannya dah lama tersedia dalam but kereta. Dia akan terus ke Jengka. Sebelum pulang, Yuri singgah sebentar di The Mall membeli barangan rumah buat ibu dan adiknya Nisa.

Hampir 2 jam, Yuri memusing-musing sekitar kedai dalam Mall. Kakinya mula terasa lenguh. Dia berehat sebentar di bangku rehat yang disediakan. Air mineral yang dibelinya tadi diteguk hampir setengah botol. Dia jadi asyik menonton filem yang ditayangkan di kedai video berdekatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ BAB 6



Yuri melihat telefonnya dari dalam beg galas yang dibawa. Tiada mesej dari lelaki yang baru dikenalinya. Dia kemudian mencari nama seseorang dari dalam telefonnya.

~ Salam. Umi, saya balik minggu ni. Insyaallah petang Jumaat sampai~

Yuri menghantar mesej pendek kepada ibunya. Bukan dia tidak mahu menelefon tapi kredit telefonnya hanya berbaki 30 sen. Uminya tidak akan balas mesej, tapi dia tahu, umi akan baca mesej itu. Yuri menghidupkan enjin kereta, dia memandu pulang ke rumahnya. Cermin kereta sengaja dibuka luas, angin petang yang menghembus, rasanya lebih segar dari kesejukkan aircond kereta.
Yuri menghempaskan badannya ke sofa coklat baldu itu. Dia memasang televisyen. Dia menukar-nukar channel TV, mencari siaran yang menarik. Izzah yang baru turun dari tingkat atas menyergahnya dari belakang.
“ Hoi...! lambat balik hari ni. Kemana ? Letih nampak.”
Mujur Yuri tidak melatah. Kalau tak mahu semput nafasnya.
“ Emm...baru je sampai. Baru siap mandi ke ?”
Izzah yang bertuala di kepala mengangguk-angguk sambil mulutnya mengunyah kuaci.
“ Makan apa malam ni?”
“ Ntah...kau nak keluar ke ?” Izzah mengangkat bahu.
“ Rasa macam nak keluar, tapi nak pergi mana..?”
“ Terpulanglah pada kau, aku boleh temankan kalau kau nak..” Izzah seperti memahami naluri kawan serumahnya itu.
“ Kita pergi makan KFC nak ? Dah lama la aku tak makan KFC. Rasa teringin pulak.” Yuri memberi cadangan.
“ Mengidam ke ?”. Izzah tersengih. Sepantas kilat Yuri melemparkan bantal kusyen ke arah Izzah. Bukan sebiji tapi ketiga-tiganya sekali.
“Aduh...ganas la kau ni Kak Long.” Izzah mengutip bantal yang berterabur di lantai. Yuri ketawa.
“Ok jugak..pergilah mandi.” Arah Izzah.
“Okeh...kau pun pergilah bersiap, takkan nak keluar pakai baju tidur ni.”
“ Aku tahulah, kau tu yang pergi mandi dulu. Aku 5 minit boleh siap, bukan macam kau, berjam.”

Yuri tersengih menampakkan baris giginya yang putih. Dia lantas berlari mendaki tangga ke tingkat atas. Izzah menyambung aktivitinya mengunyah kuaci. Kira-kira 10 minit selepas itu, dia juga menghilangkan dirinya ke tingkat atas untuk bersiap.

“Selamat malam. Bungkus atau makan sini cik ?” Tanya cashier KFC itu. Manis. Yuri tersenyum.
“Makan sini.”
“Nak order apa ?”
“ Bagi saya dinner plate 2, tambah fun fries besar 1.”
“Ok, cik order dinner plate 2 dan fun fries besar 1.”
Pelayan itu mengulang order yang dibuat oleh Yuri untuk kepastian. Yuri mengangguk tanda setuju.
“RM21.49 cik.”
Yuri mengeluarkan sekeping RM50, dia menunggu cashier itu menyiapkan ordernya. Izzah sudah naik ke tingkat atas meninjau-ninjau meja kosong. Bila dulang ordernya sudah tersedia, Yuri membawanya ke atas mendapatkan Izzah yang sedang menunggu.

Malam itu mereka makan sambil bercerita kisah di tempat kerja masing-masing. Izzah sudah 5 tahun kerja sebagai pegawai bank di RHB Bank. Tetapi baru 3 tahun menjadi rakan serumah Yuri.
Tepat pukul 10.30 malam, mereka beredar meninggalkan Restoran makanan segera itu. Kereta Livina milik Izzah meluncur perlahan meninggalkan bandar Temerloh.

Ketika sedang asyik melayan filem ‛Maid from Manhattan’, telefon Yuri berdering. Izzah yang turut sama mendengar bunyi itu segera mencuit kaki Yuri dengan kaki kirinya supaya Yuri segera menjawab panggilan itu. Yuri meraba telefon dari dalam handbagnya. Terpampang nama Zahar. Dengan segera dia menekan punat dan berlalu meninggalkan Izzah yang asyik menonton.

“ Hello, Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam, sihat ?” suara garau Zahar kedengaran.
“ Sihat, awak ?”
“Hmm...sihat. Kat mana ?”
“Rumahlah, kat mana lagi. Awak ?”
“Saya outstation dari hari Isnin, baru hari ni ada kelapangan sikit,” suara yang tadinya garau terasa semakin lunak pula didengar dek telinga Yuri.
“Oh..patutlah.”
“Patutlah apa ? Awak tunggu panggilan saya ke ?”
“Eh...takdelah, mana ada tunggu.”
“Kalau ada pun, apa salahnya...” Zahar menempelak diikuti suara ketawa yang sayup-sayup ditahan.

Amboi-amboi..sedapnya bahasa mamat ni. Yuri menepuk-nepuk dahi. Lelaki itu seperti sengaja mahu mengenakannya.

“Outstation ke mana ?”
“Sabah”
“Oh...! jauhnya. Tak mahal ke buat panggilan ke saya ni ?”
“Saya pakai kadar sama rata.”
“Hmm....”
“Awak free tak hujung minggu ni?”
“Kenapa ?”
“Saja tanya ?”. Zahar berdolak-dalih lagi.

“Ish...jantan ni, kalau nak ajak aku keluar, cakap jelah, nak bersaje-saje pulak”. Gerutu Yuri dalam hati. Geram.

“Saya balik Jengka minggu ni. Ada hal.”
“Ye ke, kalau macam tu takpelah. Mungkin lain kali.”
“Lain kali apa ?”
“Saya nak belanja awak makan. Saya ambil cuti Jumaat ni. Lepas tension sebab kena outstation,”

“Hmm...kan senang direct to the point.” Yuri tersenyum. Dia bermonolog dalam hati. Tidak disangka lelaki itu juga rupanya mencari-cari ruang untuk bertemunya lagi.

“Kenapa diam ?” Zahar menyoal apabila tiada balasan dari Yuri.
“Tengah fikir nak cakap apa”
“Tak payah fikir, cakap je apa nak cakap.”

“Eleh...suruh orang cakap apa nak cakap, yang dia tu pusing sana, belok sini, tak perasan pulak.” Yuri masih menggumam dalam hati.

“Awak dah nak tidur ke ? Maaf sebab saya menganggu malam-malam macam ni.”
“Eh...takdelah menganggu, ok je.” Yuri pantas menjawab di talian, sebenarnya dia juga ternanti-nantikan panggilan itu. Dia juga masih mencari-cari idea, apa yang perlu dibualkan supaya lelaki itu meneruskan perbualan. Dia mahu lebih mengenali Zahar. Suara Zahar ibarat sebutir panadol yang melegakan sakit kepalanya. Lapang rasa dada. Hilang segala duka. Walaupun apa yang mereka bualkan selalunya hanyalah perkara yang biasa..namun Yuri cukup terhibur. Mungkin kerana dia menyenangi kehadiran Zahar, maka apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki itu, semuanya dirasakan manis dan indah belaka.
Lama terdiam, Yuri menyambung perbualan. “ Awak tak balik Jengka ke ?”
“Balik buat apa, bukan ada mak ayah saya pun kat sana, saya balik Jerantut la sayang oi,”
Yuri terkesima seorang diri. Tidak menyangka perkataan sayang itu keluar dari mulut Zahar. Zahar pula seperti menyebutnya dengan lancar tanpa dibuat-buat. Seronoknya. Kecut perut Yuri mendengar perkataan keramat itu. Kalaulah Zahar benar-benar maksudkannya......
Dan Zahar..perkataan itu memang disengajakan. Menduga keprihatinan Yuri. Menduga reaksi Yuri. Tindakan Yuri yang terdiam selepas ayat itu disuarakan sangat difahami Zahar.

“Hani, awak masih disana ?”
“Hmm....saya tak biasalah dengan panggilan tu. Orang selalunya panggil saya Yuri.”
“Itu orang lain, tapi saya nak panggil Hani, boleh ?”

Degil mamat ni. Yuri melabel Zahar.

“ Terpulanglah” Yuri mengalah. Zahar tersenyum tanda menang. Sengaja mahu mendengar reaksi Yuri.
“Oklah Hani, dah jauh malam ni. Esok awak kerja kan. Nanti mengantuk pulak.”
“Alamak...takkan dah nak letak ?” Yuri menyoal dalam hati. Cepat betul masa berlalu. Walau hati menolak tapi mulutnya terpaksa mengatakan ya.
“Kalau saya taknak letak ?”
Alamak !!! kenapa pulak ayat ni yang keluar ? Lain yang aku fikir lain pulak yang aku sebut..

“ Saya letihlah, belum mandi ni..., saya letak ye ?” Zahar menjawab.
“Saya taknak letak !” Yuri mengancam bila Zahar sedikit pun tidak menunjukkan tanda-tanda ‛sayang’ melepaskan talian itu. Yuri juga sebenarnya sengaja mahu melihat reaksi Zahar.
“Ok, siapa yang tak letak maknanya dia suka kat orang tu..” Zahar bermain teka silang kata. Yuri mengetap bibir. Cekap betul pemikiran mamat ni. Dan dalam masa yang sama mungkin dia tidak mahu Yuri berasa hati dengan tindakannya yang menolak untuk meneruskan perbualan. Halusnya cara dia menyuarakan keinginan dan jawapan.
“Emmm...saya tukar, siapa letak dulu maknanya dia yang suka kat orang tu..” Yuri pula yang membina teka silang kata lain. Harapannya sudah tentu Zahar yang akan memutuskan talian terlebih dahulu...
Rupanya tidak. Selesai Yuri mengeluarkan kata-kata itu, rupanya dia sendiri yang terlebih dahulu menekan button off pada keypad telefon. Perbualan terhenti serta-merta. Yuri termenung memandang telefonnya. Memang hari ini, koordinasinya tidak seperti yang difikirkan. Lain difikir lain yang dibuat. Cari masalah. Mampus..apa pulak anggapan Zahar.

“TQ...” mesej Zahar segera masuk selepas dia mematikan talian. Ada lambang senyum lebar sebelah perkataan ‛TQ’ itu.Yuri tersenyum kepuasan. Tidak sia-sia dia menekan butang off tadi. Maka pemenang game hari itu pula adalah Zahar.
“Tak kisahlah siapa yang menang..janji dia faham” bisik Yuri keriangan.

Disana pula, Zahar tersenyum-senyum sambil mencapai tuala putihnya yang tersangkut di dinding pintu. Dia yang sememangnya sudah mengantuk yang amat sangat, bergegas membersihkan diri. Meeting di bilik mesyuarat Hotel Seri Impian yang baru selesai tadi memenatkan kepala otaknya. Tapi yang penting, esok dia sudah boleh pulang semula ke semenanjung. Dia menunaikan solat Isyak sebelum melelapkan matanya.
Yuri masih memandang telefonnya. Sebenarnya dia sangat menantikan panggilan telefon dari lelaki itu. Kehadiran Zahar membuatkan dia mulai melupakan Rahimi. Kekasih sejak zaman sekolahnya itu dulu hampir membuat Yuri jadi kurang siuman selama seminggu selepas memberi keputusan untuk memutuskan perhubungan.
Mula-mula kata cinta, lepas tu kata tak cinta, kemudian datang semula. Lelaki yang dikenalinya sejak zaman sekolah itu sangat pelik dan sukar difahami. Apatah lagi Rahimi berjaya melanjutkan pelajaran ke UTM, Skudai dan bekerja pula di Johor Bahru. Manakala Yuri hanya lulusan STPM. Yuri sebenarnya sudah mengagak bahawa Rahimi mungkin sudah jatuh cinta dengan wanita lain di sana. Semasa baru-baru kerja dulu, keraplah juga Rahimi menelefon dan menghantar mesej saban hari. Tapi sejak akhir-akhir ini, mesej pun sebulan sekali. Kerenggangan itulah yang menguatkan lagi tekaan Yuri.
Dulu di sekolah, mereka seperti merpati dua sejoli. Kemana sahaja mesti berdua. Jarak dan masa memisahkan mereka. Kalau boleh, Yuri tidak mahu berpisah. Dia sayangkan perhubungan itu. Tetapi kalau Rahimi sudah menemui insan yang lebih baik darinya, apa lagi yang boleh dilakukannya. Berjauhan tidak menjadikan mereka bertambah rindu, sebaliknya menjarakkan lagi perasaan kasih mereka. Kalau itu yang ditentukan olehNya, Yuri redha.
“Hmm...kumbang bukan seekor.” Yuri menyedapkan hatinya sendiri. Dia mencapai baju dari almari. Seterika yang sudah pun panas itu digosokkan ke baju batik. Esok hari Khamis.

******************************************************


Pagi itu, telefon Yuri yang diletakkan di atas meja berbunyi.

~Hi, good morning, saya dah dalam flight. On the way balik ke semenanjung~

Mesej dari Zahar mengejutkan Yuri yang baru mahu mengemaskan meja En. Hazman. Dia tersenyum kegembiraan. Lelaki itu mesti sedang memikirkannya. Sebelum membancuh kopi, Yuri sempat membalas mesej itu.

~ Morning. Awal flight. Baik2, kalau gayat, cepat2 panggil air-hostess~

Kedengaran lagi bunyi mesej ke telefon Yuri, namun Yuri hanya membiarkannya sahaja. Dia perlu utamakan kerjanya dahulu. Nantilah dia membacanya.

Selesai mengemas, kopi juga sudah siap dibancuh, Yuri mengambil kesempatan membaca mesej Zahar tadi. Dia berjalan ke gerai berdekatan untuk bersarapan.

~ Hmm...tak payah panggil, memang ada seorang rela hati temankan saya sekarang~

Yuri tersenyum seorang. Tidak menyangka itu jawapan Zahar.Baru dia ingin membalas, satu lagi mesej masuk.

~ Saya dah sampai. Tengah sarapan~
~Hmm...kebetulan, saya juga tengah sarapan~
~Awak busy ke sekarang ?~
~Ada juga menda nak disiapkan, tapi tidaklah busy sangat,
Y?~ laju jemari Yuri menaip sms.
~Emm...kalau busy, saya taknak ganggu la.”

Yuri menatap skrin telefonnya lama. Menyesal jawab ada kerja nak buat...kalau tahu Zahar akan berhentikan mesejnya, tentu sekali dia akan jawab
~ saya free sekarang. Kerja tak ada ~.
Tapi itu menipu kan namanya, tak apalah, mungkin lain kali. Dia kemudian menaip ringkas..

~Ok~

Yuri menyimpan telefon. Nasi goreng dan air Milo panas yang dipesannya tadi sudah terhidang. Yuri segera menyumbatnya ke dalam mulut kerana 10 minit lagi, En. Hazman akan sampai ke pejabat. Marah pula dia nanti kalau melihat Yuri tiada di meja.
Dalam kelam-kabut membayar bil makanan, Yuri sempat membungkus kuih pulut panggang buat sarapan untuk En. Hazman. Dia tahu lelaki itu tak pernah sempat bersarapan di rumahnya. Bukan bermaksud mengelak dari kena marah, jauh sekali merasuah. Sekadar menjadi pekerja prihatin.
Setibanya Yuri di muka pintu pejabat, En. Hazman juga sudah tercegat di tepi mejanya. Tajam bebola matanya menikam setiap inci tubuh Yuri. Langkah Yuri seperti tidak teratur. Kain susun baju kurung, yang berada di sebelah kiri dirasakan memberatkan lagi langkahnya.

“Awak ke mana ?
“Er...saya pergi gerai Kak Wan En. Hazman, sarapan.”
“Kopi saya dah buat ?”
“Er..belum, saya buat sekarang, nanti saya hantarkan.”

Hazman berlalu meninggalkan Yuri. Yuri menyelinap ke dapur. Segera membancuhkan kopi serta mengisi kuih yang dibelinya tadi ke dalam piring. Lima minit kemudian, dia mengetuk pintu En. Hazman dan meletakkan dulang berisi air dan kuih itu di meja kopi. Apabila dilihat bosnya itu langsung tidak mengangkat muka, dia menyusun langkah keluar. En. Hazman cuma mengerling dengan ekor matanya. Satu jam kemudian, dia keluar dari pejabat untuk berjumpa dengan client.
Yuri mengemaskan semula dulang berisi air dan kuih yang dihantarnya tadi. Ada sekeping kertas warna merah diletakkan bawah piring. Mata Yuri pantas menangkap baris-baris ayat itu.

~Maaf dengan tengkingan saya semalam, juga terima kasih dengan kopi dan kuih hari ini. Kopi awak sedap.~

Yuri senyum kegembiraan. Nampak saja macam garang, tapi sebenarnya baik hati. Itulah En. Hazman yang dia kenal.

Habis kerja, Yuri terus menghempaskan badannya ke atas tilam empuknya. En. Hazman melepaskan dia balik awal hari ini. Bantal golek pendek warna ungu kulit manggis itu dicapai dan dipeluknya erat. Sebelum itu Yuri sempat memasang radio kecilnya di atas meja kerjanya. Dia memasang dengan volume yang perlahan. Dia takut jika rumah itu sunyi sepi. Berkumandang lagu dari Izwan Pilus ‛ Kembali senyum’. Yuri kemudian hanyut dengan mimpi indah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ BAB 5




Di pejabat petang itu, Yuri mula terkenang saat dia menjadi guru sandaran di sebuah sekolah di Felda Triang. Petang Rabu itu, di sekolah ada latihan sukan. Yuri tiba lebih awal dari biasa. Dia menunggu masa latihan dengan menyemak buku anak-anak muridnya. Sesekali dia menggelengkan kepala. Masih ramai anak muridnya yang tidak menyiapkan latihan. Yang ada pula, banyak salah. Selalunya Yuri akan merancang dan mencari jalan pemulihan semula. 15 buah buku telah siap ditanda.
Di bilik guru kelihatan cikgu Riduan sedang khusyuk main game pinball di komputer.
” Oi...tak jemu-jemu ke main menda alah tu ? Kau main lama mana pun tak boleh tanding markah aku la.” Sapa Yuri pada Duan.
“ Hek eleh Yuri, markah kau ni bukannya banyak sangat, jap lagi kau tengoklah nama sapa paling atas.”
“ Ok...kalau nama kau boleh ada atas sekali, aku buatkan kau air teh hari ni.”
“Ok....tunggu.” Duan mencabar Yuri.

Yuri mengintai ke dapur mini sekolah itu yang agak tersorok di sebalik rak alatan lukisan. Di situlah kebiasaannya cikgu-cikgu di sekolah itu membancuh air kegemaran masing-masing. Yuri lega bila melihatkan balang Teh Boh masih berisi. Susu dikeluarkan dari dalam peti ais. Yuri sudah bersedia awal-awal. Dia tahu Duan pasti akan mengotakan janjinya.

“ Wuuhoooo….ha Yuri…mana air teh aku?” jerit Duan lantang dari hadapan bilik guru seluas 2 kelas itu. Yuri yang baru memetik suis cerek letrik di ruang belakang tersentak.
“ Tengah masak la ni oi…” jawab Yuri keras. Dia sudah menyangka. Dia mencapai jag air putih. “Alang-alang buat…baik buat banyak terus. Aku pun boleh tumpang sekaki,” Yuri menggumam.
Duan menghampiri mejanya dan mencapai sport shoes lusuhnya. Dia duduk sambil memakai kasut serta memandang ke arah Yuri.
“ Cepatlah Yuri…haus dah tekak aku ni.”
“ E eh…sabar la, tak nyempat-nyempat.”
“ Tu la cabar aku lagi….ni Duan la, pantang dicabar.”
“ Hmm…kalau kau tak menang pun tadi, aku memang niat nak buat air pun.”
“ Heh…alasan orang yang dah kalah selalunya macam tu la.” Riduan menyindir. Dia mengangkat kaki kanannya ke atas kerusi sambil kedua belah tangannya mengikat tali kasut. Badannya diampukan ke lutut sementara kaki kirinya bergedik-gedik mengikut rentak lagu dari radio yang dipasangnya.
Sepantas kilat juga Yuri mencapai tuala buruk lalu dilemparkannya ke arah Duan. Duan yang perasan melalui ekor matanya, sempat mengelak. Persis berlatih kungfu lagaknya.
“ Ooo…main kotor ye.” Marah Duan lalu mengambil tuala itu yang jatuh ke bawah mejanya. Dia berjalan ke arah Yuri dengan kaki kirinya yang masih belum berkasut. Yuri segera melarikan diri melalui pintu hujung sekali sambil ketawa besar. Dia terhenti bila melihat Duan tidak lagi mengejarnya.
“ Lepas ni….siap la kau.” Ugut Duan dari arah pintu. Kemudian menyambung memakai kasut. Yuri berpatah balik ke belakang. Dia menyambung kembali kerjanya yang tergendala. Dia membancuh air teh sepenuh jag. Duan berlalu dari mejanya menghala ke padang. Dia sempat melemparkan semula tuala buruk tadi ke atas sinki. Yuri hanya tergelak kecil.
Begitulah selalunya bila dia dan Riduan berjumpa. Ada sahaja bahan untuk digaduhkan. Walaupun Yuri hanya guru sandaran di sekolah itu, semua guru di sekolah itu melayannya dengan baik dan mesra.

Sebulan yang dulu, Riduan pernah menguncinya dalam kantin. Dia terpedaya dengan helah Duan. Masa tu ada majlis sembahyang hajat di sekolah mereka.
“ Yuri, jap.” Duan melambai tangan. Dia dan Shidi bercekak pinggang di kantin sekolah. Yuri yang tidak dapat mengagak bahawa Riduan sudah ada plan sendiri hanya mengikut.

“ Jom...angkat pinggan dalam besen tu. Shidi nak angkat tong gas,” ajak Duan sambil menjuihkan mulutnya yang tak berapa nak hensem tu.

Duan menunjukkan besen yang penuh berisi pinggan dari dalam kantin. Tong gas yang dimaksudkan ada di hadapan Shidi. Yuri sedikit pun tidak mengesyaki bahawa senyuman Duan dan Shidi ketika melambai tangan ke arahnya ada makna lain.
Sebaik sahaja Yuri melangkahkan kakinya ke dalam kantin, Duan segera menarik pintu dan menutupnya dari luar. Suis lampu dimatikan. Suasana dalam kantin menjadi gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Duan dan Shidi mendiamkan diri di luar.Yuri tersentak. Lalu dengan lantang dia menjerit sekuat hati.

“ Duan...!. Wei....bukaklah....” Daun pintu kantin diketuk bertalu-talu dengan kuat. “ Duaaannnnnnnn........” Yuri menguatkan lagi jeritannya. Tangannya memulas-mulas pemegang pintu. Tak cukup dengan itu dia menendang pintu dengan tendangan maut. Telinganya menangkap suara ketawa terbahak-bahak dari luar. Kemudian pintu itu terbuka. Duan dan Shidi masih ketawa terbahak-bahak sambil masing-masing menekan perut tanda kelucuan. Gembira sangat mereka dapat mengenakan Yuri yang mereka tahu sememangnya penakut. Takutkan gelap.
“ Duan...! mengada kau....” Yuri menghampiri Duan dan mencubit lengan sasa itu. Riduan hanya mengaduh kesakitan. Dia tidak pula melarikan diri dari cubitan itu. Dia menggosok-gosokkan lengannya tanda pedih.
Yuri menghentakkan kakinya kuat ke kaki kanan Duan. Duan tidak sempat mengelak. Giliran Yuri pula mentertawakannya. Shidi di sebelah cuma jadi pemerhati dan penyokong sahaja. Yuri segera berlalu.
“ Oi....pinggan ni marilah angkat.” jerit Duan bila dia lihat Yuri mengangkat kaki berlalu meninggalkan mereka.
“ Ah....kau angkatlah sorang.” Jawab Yuri sayup tanpa menoleh ke belakang.
Duan mengurut-urut kakinya yang kesakitan. “ Ganas betul la si Yuri ni. Tapi penakut.” getusnya dalam hati. Dan dengan keadaan yang masih terhencut-hencut itu, dia mengangkat besen itu ke atas bahunya. Dia dan Shidi beriringan ke surau sekolah. Dalam ramai-ramai guru bujang di sekolah itu, Riduan suka menyakat Yuri sebab gadis itu suka melawan. Riduan rasa terhibur dengan keletah Yuri yang agresif. Tetapi gadis itu kadang-kadang dilihat seperti sedang dilanda masalah.
Bagi Yuri pula, terasa kadang-kadang hidupnya sunyi. Kadang-kadang terasa gembira sangat. Dan dia cukup tak suka bila tiba musim cuti sekolah. Bagi sesetengah guru, terutama yang sudah berkeluarga, musim cuti sekolahlah saat yang paling ditunggu-tunggu. Masa untuk bersama keluarga. Tapi bagi diri Yuri, waktunya lebih terhibur semasa bekerja. Di kelilingi rakan-rakan. Bersembang dan berkongsi cerita apa sahaja. Walaupun hanya 3 bulan masa untuk Yuri memberi khidmatnya kepada sekolah itu, dia terasa seperti sudah bertahun bekerja di situ.



Selesai latihan sukan, Duan menyambung kegiatan waktu petangnya dengan bermain badminton.
“ Yuri, jom tengok aku main, kau jadi pengadil.” Lunak je suara Duan mengajak Yuri semasa mereka sama-sama mendaki tangga dari padang.
“ Aku reti main je...undang-undang dan kiraan mata aku tak tahu.”
“ Hish...kata terror bab-bab sukan. Takkan undang-undang badminton pun tak tahu,” tempelak Duan.
“ Aku squasy pandai la....” Yuri membalas. Sengaja mahu lari dari topik.
“ Eleh...squasy konon, ntah-ntah gelanggang squasy pun kau tak pernah tengok,” senyum kambing Duan sangat dibenci oleh Yuri.
“ Setakat gelanggang squasy tu apa la sangat.”
“ Jomlah...” Duan tidak putus asa memujuk.
“ Malaslah aku...kau bukan terror sangat main, hari-hari asyik kalah, buat malu je.”
“ Kalah....! aku selalu menang apa. Takde orang boleh challenge aku tau”. Duan menuturkan kata bongkak.
“ Setakat lawan dengan Cikgu Zamri, memanglah kau yang menang, cuba lawan Pian tengok...” Yuri mencabar kemudian ketawa. Terbayang perut boroi Cikgu Zamri. Mana larat orang tu nak lari sekejap ke kanan sekejap ke kiri mengambil smash Duan.
Duan faham rentak tawa Yuri. Dia pun turut sama tertawa. “ Aku lawan Shidi la petang ni,” kata Duan. “ Tapi sebelum main, aku nak minum air yang kau buat tadi la,...haus.” Duan mencapai gelas.
“ Huh, air dah sejuk baru nak minum.”
“ Sejuk la best. Hmm.....sedap air kau Yuri, lain kali buat lagi ye.” Duan memuji sambil menuang segelas lagi lalu minum dengan lahap.
“ Hmm....memuji tu sokmo ada niat lain. Tak kuasa aku, nak, buat sendiri.” Yuri mengejek.
”Lepas minum, gelas tu basuh sendiri ye...” pesan Yuri sebelum meninggalkan Duan. Duan tersengih macam kera dapat bunga.

Itu cerita bertahun yang dulu. Agaknya, apalah khabar Duan sekarang....rindu pula pada kenangan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS