RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 2
02:53 |
Cahaya suria pagi yang mengintai dari celahan langsir warna hitam itu memanah tepat ke mata Zahar. Dia terjaga dari lena lalu bingkas bangun menyiapkan diri. Uniform biru tua yang tergantung di belakang pintu dicapainya. Seperti kebiasaan uniform itu dipadankan dengan sebarang t-shirt di dalam dan seluar jeans lusuh warna hitam. Sebatang pen dan kunci kereta dimasukkan ke dalam poket seluar depan. Dia menyisir rambutnya. Bibir yang berhias kumis nipis itu menguntum senyum. Sekadar menceriakan diri sendiri pagi itu supaya bersemangat ke tempat kerja. Akhir-akhir ini dia terasa sangat bosan ke tempat kerja. Walaupun sudah lebih 10 tahun bekerja di sana, kehadiran pekerja-pekerja baru yang dirasakan sangat menyesakkan kepala dan tunjuk pandai. Bukanlah dia nak berlagak tetapi seharusnya orang baru kenalah lebih menghormati pekerja lama.
Dia keluar menuruni anak tangga rumah flat itu menuju ke keretanya. Ketika asyik mendengar radio sambil menunggu enjin keretanya panas, dia meraba poket belakang mencari-cari sesuatu.
“Aik..! .aku tak bawa telefon ke,” detik hatinya.
Lelaki itu mengorak langkah semula ke rumahnya di tingkat 1.
“Hmm..memang tertinggal pun..!” sangkaannya tadi benar.
Telefon warna silver itu masih berada di atas meja sudutnya. Sebaik sahaja tangan kanannya mengenggam telefon itu, dia seperti terpandang perkataan
‛ 1 mesej baru ’ Dia menekan butang ok.
~ Salam. Awak ke yang jumpa dompet saya di Restoran D’Kenanga semalam? Terima kasih~
Lelaki itu segera menekan-nekan cursor supaya ke bawah. Tertera
Penghantar :
+60199067433
Diterima:
11:14:05pm
08-10-2010
Bibirnya terus menguntum senyum lebar. “ Dah dapat rupanya,” Hatinya mula berbunga riang. Mesti mesej itu masuk ketika dia sudah pun lena dibuai mimpi. Dia menuruni anak tangga dengan wajah ceria. Kereta Putra warna hitam mutiara itu meluncur laju membelah keheningan pagi. Dia masih menguntum senyum. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia mendail nombor itu.
“ Ah...rilek bro, tak kemana,” hatinya memujuk.
Dia teringat kejadian di Restoran itu. Dia sedang makan bersama kawan sekampungnya Shah, Arman dan Farhan. Ketika ingin menghirup air milo panas yang dipesan, telinganya menangkap bunyi gelak tawa manja dari meja sebelah kanannya yang agak terlindung dek pepohon bunga kertas. Berbantukan samar lampu kelip-kelip restoren itu, dia menjadi asyik memandang wajah manis gadis bertudung paras bahu itu. Sesekali dia melayan lawak rakannya, tetapi matanya banyak diarahkan kepada gadis yang sedang makan berdua bersama kawannya itu.
“Wei Har, kau pandang apa? khusyuk sangat aku tengok. Kau dengar tak cerita aku ni ?” Zahar segera menoktahkan renungannya pada gadis itu.
“Dengarlah...”, dia segera membalas pertanyaan Shah lalu turut memalingkan mukanya ke arah kawan baiknya itu.
Rokok yang hanya dikepit di jari tangan kanannya itu dibiarkan terjuntai dihujung meja. Hanya sesekali sahaja dia menyedut asap rokok itu dan melepaskannya perlahan.
Dia menyambung cerita semula dengan Shah namun matanya masih mengerling ke kanan. Agak lama juga dia dapat mengamati wajah gadis itu yang dirasakan sangat ayu bertudung. Entah apa yang menjadikan matanya sangat berat untuk dialihkan. Seperti ada gam yang melekatkan pandangannya. Mahu dibingkaikanya sahaja wajah manis itu. Setelah itu, akan digantungkan di dadanya sebagai mengisi kekosongan hati. Hatinya berdetik untuk menghulurkan salam perkenalan, tetapi otaknya pula menolak. Buatnya gadis itu buat dek je dengan huluran salam dia nanti bagaimana. Mahu tebal seinci mukanya nanti.
Hampir ke 11.00 malam, gadis ayu itu bangkit dari tempat duduknya. Hanya dompet sahaja yang dibawa bersama sementara handbagnya dibiarkan diatas meja. Dia menuju ke kaunter bayaran. Dia dilihat kembali duduk bersama kawannya dan 5 minit kemudian bangun bersama-sama.
Mereka melintasi tempat duduk Zahar dan kawan-kawannya. Zahar hanya menundukkan muka buat tak cakna sedang hanya Farhan, Shah dan Arman yang senyum-senyum kambing memerhatikan mereka berdua.
“Eh..dah pukul 11 lebih ni, jomlah. Esok aku kerja, jauh ni nak balik,” Zahar memberi cadangan. Kawannya masing-masing melihat ke arah jam tangan. Kemudian mengangguk tanda setuju.
“ Korang jalan dululah, hari ni aku belanja,” sambung Zahar lagi. Dia lalu bangun ingin menuju ke kaunter namun terhenti melangkah apabila dirasakan ada sesuatu yang dipijaknya.
Zahar menunduk. Kelihatan dompet comel berwarna merah. Tanpa sengaja dia terus membuka dompet itu. Terpandang wajah pada lesen memandu itu tak ubah seperti gadis manis yang direnungkannya sebelum ini. Dia mengerling semula ke arah jam tangannya yang dipakai sebelah kiri. Dah 20 minit berlalu sejak gadis itu melintasi mejanya tadi. Mesti dompet itu terjatuh tanpa dia sedari.
Zahar memandang-mandang ke kiri dan kanan sambil dompet itu diketuk-ketukkan ke telapak tangan kirinya. Dia mencari-cari buah fikiran, bagaimanakah caranya dia boleh memulangkan dompet itu. Budak lelaki yang bertopi merah dan memakai t-shirt hitam itu sedang mengemas meja gadis ayu tadi.
“ Dik..minta kertas sehelai dan pinjamkan abang pen sekejap boleh ?” tanya Zahar kepada pelayan itu.
Budak itu mengangguk, segera memberikan Zahar sehelai kertas dan pen warna hitam. Dia menyambung kembali kerjanya mengemas meja tersebut sementara Zahar ligat menulis sesuatu di atas kertas dan menyelitkannya di bawah lesen memandu di dalam dompet itu. Setelah dia mengucapkan terima kasih, dia menuju ke kaunter bayaran. Kemudian kembali mendapatkan kawan-kawannya yang menunggu di parking kereta.
Dalam kepekatan malam yang semakin dingin, Proton Putra Zahar dan Vios milik Zuriana berselisih di bahu jalan Restoren. Zahar yang leka memandu terus memecut keretanya laju menghala ke Kuala Lumpur. Esok dia kena bangun dan masuk kerja awal dari hari biasa. Ada meeting dengan bos berkenaan perubahan jadual. Cuti yang diambil selama 2 hari pulang ke kampung dirasakan seperti baru 2 jam berlalu. Esok, bermula semula rutin jadualnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment