Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 1


Yuri kelam-kabut melarikan diri dari dilihat oleh En. Hazman. Dia tidak mahu kelibatnya sebentar tadi dapat dihidu oleh bosnya itu. Dia ingin segera pulang ke rumah. Rehatkan otaknya yang tengah berserabut. Sudah tiga kali dia tersilap jadual meeting En.Hazman. Melenting betul bosnya itu sekembali dari Restoren D’Palma hari ini.

“ Yuri, masuk hari ni, dah 3 kali awak silap beritahu jadual meeting saya. Sepatutnya meeting pukul 2.00 tadi awak beritahu saya pukul 3.00. Semalam sepatutnya saya meeting dengan En. Rahman di Rest House Kemuning, awak beritahu saya meeting di Coffee House Bukit Indah, kelmarin punya cerita belum habis, hari ni awak buat jadual lain pulak untuk saya, apa kena dengan awak ni hah ?” Bentak En Hazman sambil menghempas fail dan begnya atas meja. Dia bercekak pinggang. Perjumpaan dengan clientnya, semuanya tidak menjadi gara-gara Yuri. Melepaskan kes, bermakna melepaskan keuntungan juga.
Yuri menunduk tanda bersalah. Sedikit pun dia tidak berani bertentang mata dengan bosnya itu. Dia sendiri pun tidak ada jawapan pada soalan En. Hazman. Dia manusia yang buat dua kerja dalam masa yang sama, dialah kerani, dialah setiausaha. Bekerja dengan syarikat yang baru menapak mungkin makan masa untuk mengatur diri. Entahlah, apa kena dengan dia hari ini, semalam dan kelmarin. Yuri merasakan hanya jasadnya sahaja di pejabat, tetapi fikirannya jauh memikirkan perkara lain. Ada kala..Yuri tersenyum tiba-tiba. Dia faham benar sikapnya sendiri...
“Dah sewel aku ni agaknya,” hatinya berbisik sendirian. Lantas bibirnya menguntum senyum semula hingga sukar untuk diselindungkan lagi. Dia menyelinap disebalik pintu, meninggalkan bosnya yang masih khusyuk membelek-belek fail.

Esoknya...Yuri berubah sikap lagi. Dia tersenyum sepanjang hari. Semua kerja dia nak buat. Kopi yang selalu diminta oleh En. Hazman awal-awal lagi dia sudah siapkan. Malahan hari ini dia rela hati membeli 3 kuntum bunga ros warna pink , dan dihiaskan di atas meja bersebelahan komputer En. Hazman, walaupun dia tahu poketnya sudah hampir nyawa-nyawa ikan.

Fail-fail En. Hazman disusun kemas di rak. Debu-debu merintik atas meja dilapkan sehingga berkilat. Tak cukup dengan itu, roti goreng berintikan sardin yang dibuatnya pagi tadi, dibungkus kemas dengan plastik kedap udara. Diletakkan bersama-sama segelas air kopi yang telah dibancuh dalam pot tahan panas. Kemudian dia menarik sehelai kertas putih dari atas meja En. Hazman sambil mencoretkan sesuatu...

~ Saya buatkan En. Hazman sarapan. Saya minta maaf atas semua kesilapan saya. Promise, no more mistake after this ~

Yuri menyelitkan nota pada celahan bunga ros. Dia berharap En. Hazman dapat memaafkannya. Dia memandang roti goreng yang dibuat. “Harap-harap dia suka,” getus hati Yuri. Dia kemudian berlalu meninggalkan bilik En. Hazman menuju ke mejanya menyambung kerjanya yang tergendala semalam.

Pukul 10.00 pagi baru kelihatan En. Hazman melangkah masuk ke pejabatnya. Dia melewati meja Yuri tanpa menoleh sedikit pun ke arah Yuri yang duduk cuma bersebelahan pintu biliknya itu. Yuri cuma mampu senyum kelat. Dia menganggap bosnya itu masih lagi marah tentang hal semalam. Dia masih memerhatikan kelibat En. Hazman sebaik sahaja masuk ke biliknya itu. En. Hazman seperti sedikit terkejut. Bila lelaki segak itu menoleh ke arahnya, segera Yuri melarikan pandangan sambil tangannya berpura-pura mengemaskan mejanya.

Hazman memandang semula ke mejanya yang nampak kemas, ditambah pula dengan hiasan bunga ros dan sedikit sarapan. Terlihat sekeping not yang diselitkan di situ. Dia tersenyum selepas membaca kandungan nota itu.
“Elok juga ada sarapan, aku pun belum makan lagi,” bisik hati Hazman. Dia melepaskan kot dan menyangkutnya pada kerusi. Dia membuka penutup bekas minuman. Bau kopi semerbak menusuk ke hidungnya. Tangan kanan mencapai roti goreng. Dia kemudian menghirup kopi yang dipegang di tangan kiri dengan penuh nikmat.

Jam dinding baru menunjukkan pukul 3.30 petang. “ Emm..lagi setengah jam nak balik dah ni,” Yuri mula mengemaskan barang. Panas betul hari ni, tapi malam hujan lebat pulak. Syarikat swasta lain mungkin habis waktu kerja pukul 5.00 petang tapi syarikat ni pukul 4.00 petang dah boleh kemas. Awal sejam, sebab tu Yuri bertahan kerja di sini.

Telefon dari dalam handbagnya dibawa keluar. Sepantas kilat jemarinya menekan-nekan nombor, menulis mesej.

~Zu...jom keluar malam ni, boringlah...~

Handphone diletak kembali atas meja.. Tak sampai 5 minit telefon Yuri berbalas. Segera dicapainya telefon sambil matanya pantas membaca. Yuri tersenyum. Zuriana kawan baiknya itu bersetuju dengan cadangannya.
~Ok juga, aku pun boring ni~
~Kau belanja aku yek....duit takde ni~
~Habih...kau ingat kalau kau belum gaji...aku dah gaji ke?~
~He he...aku saja gurau la...kita minum air kosong jelah..~
~Cis..kalau setakat minum air kosong, buat habis minyak
kerete aku je jumpa kau~
~okla2...kita minum air kaler...pukul berape nih ?~ Yuri mengalah. Zuriana memang selalu nak menang.
~emm...pukul 8.30 boleh, aku ambik kau la~
~kalau kau tak cakap, aku memang nak suruh kau datang ambik pun, he he...ok..jumpa nanti~
~Bila aku sampai kau dh ready...jangan baru terhegeh- hegeh nak pakai tudung la..make-up la..~Arah Zu yang faham benar sikap Yuri. Janji jumpa pukul 8.30 boleh jadi pukul 8.45 baru siap.
~Ye..tuan puteri, aku siap awal...boring ni~
Yuri menjawab mesej sekilas mencampakkan telefon ke dalam handbagnya semula. Beg laptop digalas. Botol air, kunci kereta dan handbag dijinjit sepenuh tangan.

Deruman enjin kereta Viva warna putih itu mula kedengaran. Yuri memulas butang aircond dan radio. Lagu Sofia Jane nyanyian Black sedang berkumandang. Jarinya ligat menekan punat volume hingga 13. Sudah menjadi kebiasaan, Yuri suka mendengar radio sambil memandu.

“Hmm..mengantuk ni...kuat sikit lagi la,” Yuri menambah volume ke angka 15. Telefon yang dikeluarkan dari handbag dan diletakkan di sisi pintu kereta kelihatan turut terhenjut-henjut terkena momentum speaker radionya.

~ Kini telah kusedari...mimpiku tak beerti sendiri....
Seandai kau tahu..apa yang ku mahu..
Mahukah dirimu tuk mendekatiku
Dan aku tak bisa memaksa dirimu...
Walau dalam tidur ku kan menantimu...
Hingga akhir nanti ~

Yuri turut sama menyanyi. Kaki kirinya dihentakkan ke pedal rehat kereta mengikut irama seolah-olah sedang bermain drum lagaknya. Jalan lengang hari ini, 20 minit sahaja Yuri sudahpun sampai ke rumahnya. Beg laptop dilepaskan ke atas meja. Perasaan malas dan hambar tadi seperti sudah berkurangan dek haruman bunga ros yang menusuk lembut ke hidungnya.

Walaupun masih dalam berkira-kira, tanpa disedari jari telunjuknya sudah pun menekan punat plug di sudut dinding. “ Layan....,”getus hati Yuri sambil tangannya ligat menekan button on pada laptopnya. Nama Yurihani Hizwan sudah terpampang dihadapannya. Hanya ada 3 tanda merah di button notifications. “ Ai....takde orang tinggalkan mesej ke untuk aku,” Yuri menggumam sendirian.

Yuri membuka notifications satu demi satu. Kemudian dia tergelak besar. Komen dari kawan-kawan facebooknya itu sungguh menggelikan hati. Sekurang-kurangnya perasaan hambar yang dirasakan di pejabat tadi sudah mula hilang. Dia menekan keyboard laptop. Menaip komen untuk dibalas pada kawannya, kemudian dia tersenyum seorang diri.
Kedengaran pula bunyi bip pada speaker laptop. Mata Yuri mengarah ke bawah. Kawannya Lynn dari Kedah sedang menunggu di kotak chat.
~Oi..buat apa ?~.
~Takde buat pe pun...tengok2 email je~.
~Kau keje mana sekarang ?~
~Aku pembantu je Lynn. Di Hazman and Chong Company.Kau sekarang keje ke ?~
~Dulu keje...sekarang keje jugak...keje rumahtangga?~
~Anak da berapa orang ?~ soal Yuri, pura-pura ingin tahu.
~Sepasang, kau bila nak kahwin?”.~
~Kalau boleh sekarang pun aku nak kahwin..he he ?~
~Dah tu..kenape tak kahwinnya ?~

Jari Yuri berhenti menaip seketika. Dia termenung sambil memikirkan apa jawapan yang paling tepat dan mudah supaya Lynn tidak terus-menerus menyoal tentang kahwin.
“ Adoi la si Lynn ni...apa aku nak jawab ni..?” Yuri menyoal dirinya sendiri. Sudah acapkali dia dilontarkan soalan sedemikian.

~ emm...aku kesiankan kawan aku, kalau aku kahwin dulu kang, sian dia sorang2, oklah Lynn aku dah nak off ni..chat lain kali~

Sepantas kilat Yuri menekan butang logout. Kawan satu sekolah menengahnya itu dijumpainya dalam facebook 2 minggu lepas. Itu pun gara-gara Reunion.

Yuri mengerling jam di dinding. “Alamak dah pukul 7.00 la” Yuri menutup daun laptopnya. Dia bergegas ke dapur. Kain baju dalam bakul dijinjing ke mesin basuh. Sambil mesin berputar, dia bergegas pula ke bilik air untuk mandi.

“Mujur hari ni off,” bisik hati Yuri pada diri sendiri sambil mencapai tuala jenama Kotex itu.
Dihadapan cermin, Yuri menyisir rambutnya yang dipotong pendek separas bahu seperti Irma Hasmie. Tetapi ramai yang mengatakan iras wajahnya seperti pelakon drama Lisa Surihani. Cuma kulitnya tidak seputih pelakon kegemarannya itu.

Alis matanya dilorek dengan maskara. Kelopak matanya disapukan dengan eyeshadow yang sama warna dengan t-shirtnya. Dicalitkan sedikit pemerah pipi dan sapuan lipstik nipis jenis watershine dari Maybelline. Disudahi dengan lipgloss warna natural. Bibir mungil itu berkilat dipanah cahaya lampu.

“ emm...siap,”

Yuri melihat jam di tangan. Baru pukul 7.40.

“Ada 20 minit lagi...baca buku dululah..”.

Yuri menarik novel berjudul ‘Terlanjur Menyintaimu’ karya Aidie Suradi. Dia duduk di ruang tamu mengadap pagar rumah. Dia menyambung bacaannya yang terhenti di mukasurat 105.

Baru bacaannya menginjak ke mukasurat 108, sekilas itu juga telinganya menangkap bunyi deruman enjin kereta di hadapan pagar rumahnya. Kemudian kelihatan Zuriana yang bertubuh kecil molek itu keluar dengan muka yang manis.

“ Amboi...cikgu ni, cantiknya, kalah aku, awal pulak, kata pukul 8.30,” sapa Yuri pada kawan baiknya itu sebelum Zuriana sempat memberi salam.
“Nasib baik kau dah siap tau, aku dah sediakan teks panjang lebar ni kalau kau belum siap tadi,” jeling Zuriana.
“ Tengok pukul 7.00 tadi macam nak hujan lebat, siap solat aku terus keluar la...kang lenjun pulak aku kena hujan, rumah aku mana ada garaj macam ni,” terang Zuriana sambil mendongakkan mukanya ke atas menunjukkan bumbung garaj rumah Yuri.

“ Kau nak masuk dulu ke atau nak pergi terus ?” Yuri menyoal Zuriana yang berbuai di buaian beranda rumah.
“ Pergi sekaranglah, lama sikit kita boleh borak-borak,” Zuriana memberi keputusan.
“ Ok, aku ambik handbag jap, ” Yuri segera ke meja kopinya mencapai beg tanganya.
Setelah mengunci pintu dengan kemas, mereka berdua beriringan ke kereta Vios milik Zuriana. “ Kemana kita ni ?”. Zuriana menyoal sambil memulas stering ke kanan.

“ Kau nak makan di mana ? Pernah try makan di D’ Kenanga?” Pertanyaan Zuriana di balas dengan soalan pula dari Yuri. “
“Belum, kat mana ? Apa yang special kat sana ?”.
“Emm.. aku tak pernahlah cuba pelbagai resepi dia tapi setakat ni aku selalu order Nasi Goreng Cendawan dia, ok, sedap. Jalan hala ke Mentakab. Aku suka tempat dia, meja-meja dia romantik, ada yang diletakkan bawah pergola, terselindung sikit, kalau nak berbual pun selesa,” Panjang lebar Yuri menerangkan kepada kawan baiknya itu. Maklumlah Zuriana baru setahun bertukar ke daerah Temerloh. Dia masih baru dengan kedai-kedai masakan panas di Temerloh ni.

“Kalau ada masakan melayu, aku no hal, boleh je,” Zuriana memberi jawapan.
“Okey cantik, kau u-turn depan ni nanti,” arah Yuri sambil tangan kanannya diarahkan ke hadapan. Zuriana segera memberi signal untuk mengambil u-turn.

Setibanya di restoren itu, mereka memilih satu meja yang diletakkan di bawah rimbunan pohon bunga kertas yang merimbun. Cahaya lampu yang tidak terlalu terang itu menjadikan suasana begitu sesuai bagi mereka yang sedang berkasihan.

“Aduhai...kenapalah aku belum dapat kekasih lagi,” bisik hati kecil Yurihani.

Lamunan Yuri dimatikan dengan pertanyaan dari pelayan restoren itu yang meminta order.

“Makan apa kak ?”
“Emm..bagi saya Nasi putih, tomyam campur, telur dadar sebiji. Kau nak makan apa Zu ?”. Soal Yuri.

“ Aku nak cuba nasi goreng yang kau cakap tadi, nasi goreng apa ?”.
“Oh, Nasi goreng cendawan satu, dan bandung special satu ye,” minta Yuri.
“Air kak ?” budak lelaki bertopi merah itu menghala pula pandangannya ke arah Zuriana.
“ Teh Ais limau,” Zuriana pantas menyebut.

Budak lelaki itu menulis dengan ringkas di kertas putih yang dipegangnya. Kemudian tersenyum sebelum beredar. Baju t-shirt hitam yang dipakainya bertulis D’ Kenanga dibelakang bahunya. Semua pekerja dilihat memakai t-shirt yang sama.
Sambil menunggu makanan siap, Yuri dan Zuriana mula bersembang perihal tempat kerja masing-masing. Tanpa mereka sedari..sepasang mata sedang asyik memerhatikan gelagat mereka berdua.

Zuriana berhenti di depan rumah Yuri. Yuri mencari-cari kunci pagar. Sementara mencari Yuri juga baru perasan dompetnya tiada dalam handbag kecilnya yang dilihat sudah terbuka zipnya.
“ Aku tak perasan pulak kau dah letakkan dompet kau dalam beg kau ke belum, tapi tadi ada di tangan kau aku rasa,” Zuriana cuba menenangkan Yuri yang terpusing-pusing mencari dompetnya di tempat duduk kereta.

“ Alamak...macam mana ni Zu...habislah aku. Aku dah masukkan dalam beg ni lepas bayar tadi. Hish...pelupa betul la aku ni,” Yuri mula menggelabah. Duit memanglah tak berapa nak ada dalam tu tapi kad bank, kad pengenalan, kad kredit semua dalam tu. Nak lapor ke mana dah jauh malam ni. Kad-kad penting dalam tu mesti disekat. Nak tak nak kenalah tunggu esok.

“ Ke kau nak aku bawa kau semula ke restoren tu, mana tahu masih ada lagi kat meja tu”. Soalan Zuriana berupa cadangan.
“ Tak jadi masalah pada kau ke?” soal Yuri bimbang cadangan itu menyusahkan kawannya. Sambil itu membetulkan semula punggungnya apabila dilihat Zuriana sudah bersedia menghidupkan enjin keretanya semula.
“Sorrylah Zu, aku menyusahkan kau,” Yuri memandang ke arah kawannya yang sedang serius memandu.
“Alah...small matter lah Yuri, kalau aku takut nak balik nanti, aku tidur rumah kau je. Tapi esok aku kena keluar awal pagi lah,” jawapan Zuriana sedikit sebanyak membuat Yuri sedikit tenang.
“Okey cantik, lagipun memang niat aku nak ajak kau bermalam je kat sini,” Suara Yuri kedengaran sangat gembira dengan niat kawannya itu. Kalau Zuriana tak mengeluarkan ayat seperti itu pun sebentar tadi, dia sebenarnya juga sudah berfikiran begitu. Bahaya bagi Zuriana memandu seorang diri balik ke Jengka jauh-jauh malam begini.

“ Dik, ada jumpa tak dompet warna merah kat sini, dompet akak tercicirlah,” Yuri segera menyapa budak lelaki yang bertopi merah tadi. Budak lelaki itu senyum menampakkan giginya yang putih bersih.
“ Tak pastilah kak, cuba akak tanya tauke saya,” Budak lelaki itu segera mengunjuk ibu jarinya dengan sopan ke arah wanita kira-kira dalam lingkungan 40-an.

“Oh...ada, tadi ada seorang lelaki beri pada akak. Dia kata dompet tu terjatuh tepi kaki dia. Bila dia nak bangun, dia terpijak. Jadi dia kata mungkin nanti tuannya patah balik. Betul jugak sangkaan dia. Nah...ini dia dompet adik,” kata perempuan yang sangat ramah itu sambil mengeluarkan dompet merah itu dari dalam laci meja kaunter.

Yuri tersenyum. “ Betullah saya punya ni kak, terima kasih ye,” kata Yuri setelah membelek kad pengenalan dan semua kad-kad penting yang masih ada didalamnya.
“Sama-sama, lain kali datanglah lagi,” kata empunya restoren itu.
“Insyaallah kak, saya balik dulu ye,” minta Yuri.

Setibanya di rumah, Yuri masih membelek-belek dompetnya itu. Bimbang juga kalau dia tak perasan ada apa-apa yang hilang. Ketika dia menarik lesen memandunya keluar, terjatuh sekeping kertas warna putih. Yuri membaca bait-bait kata di kertas itu.

~ Lain kali hati-hati.
016-9814579 ( kalau-kalau nak berterima kasih dengan saya)~

Adakah tulisan itu datangnya dari lelaki yang dikatakan oleh tauke restoren D’Kenanga itu tadi. Kalau betul, memang sepatutnya dia kena berterima kasih . Yuri mencapai telefonnya di atas meja. Dia memasukkan nombor telefon itu di dalam ruangan kenalan.

“Nama apa yang aku nak tulis ni ?” bisik hati Yuri. Dia lalu hanya menulis huruf X sebagai ganti nama lelaki yang tidak bernama itu. “Dah lewat ni...esoklah aku telefon dia,”Yuri meneka sendiri.
Disebelah sana, seorang lelaki berkumis nipis, berambut lurus serta kulit yang hampir gelap hanya menunggu-nunggu bilakah masanya telefonnya itu akan berdering.
“Agaknya dia belum sedar dompetnya dah hilang kot,” Hatinya juga berbisik. Lalu dia memulas punat radio mencari chanel Suria fm, dan merebahkan dirinya ke atas katil. Bantal bersarung biru tua itu ditarik rapat ke kepala. Sesekali dia mengerling lagi ke arah telefonnya yang diletakkan di meja sudut. Sunyi sepi. Akhirnya dia terlena ditemani lagu-lagu pilihan radio itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment