Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 9

Pagi itu, hujan renyai-renyai. Yuri berpayung melangkahkah kaki ke pejabat. Keretanya sengaja diletakkan jauh dari kebiasaan. Di mejanya, dia lebih banyak menghabiskan masa memandang keluar jendela, menikmati titis-titis hujan yang melanda bumi. Yuri mula terbayang zaman kecilnya. Alangkah indahnya waktu itu.... “Adik....kau duduk situ, akak duduk sini...” arah Yuri pada adiknya. Mereka main lopak air di tepi rumah. Lopak yang asalnya cetek kini sudah menjadi kolam kecil sebesar tayar kereta. Yuri dan Nisa suka mandi hujan. Di penjuru rumah, laluan takungan air dari atas bumbung itu, membuatkan mereka terasa seperti sedang bermain air terjun. Mereka melompat-lompat kesukaan sambil menghentakkan kaki di lopak air. Sesekali mereka bersila. Air menjadi kuning kesan tanah yang dipijak-pijak oleh kaki munggil mereka. Air besar yang jatuh tinggi dari bumbung menimpa kepala tidak sedikit pun dirasakan sakit oleh mereka. Malahan mereka semakin asyik bermain sehingga redanya hujan. Tindak-tanduk mereka tidak langsung dihambat oleh umi. Apatah lagi oleh ayah yang hanya tersenyum memandang mereka dari tangga pintu belakang. “Umi...macam mana nak pergi sekolah ni ? Hujan lebatlah...” soal Yuri. Rambutnya diikat kemas. “Nah, pakai ni sorang satu,” Jawab uminya lalu meletakkan kampit plastik merah atas kepala Yuri dan Nisa sorang satu buat penutup kepala supaya kepala terlindung dari hujan. “Pegang kuat-kuat” kata ayah yang sudah bersedia menghantar mereka ke sekolah dengan motor Honda lama. Yuri memaut baju ayah dengan kemas. Nisa ditengah terkepit antara dia dan ayah. Baju Yuri berbintik kesan tanah yang merencik dari tayar motor. “Umi dah beri duit belanja ?” Tanya ayah ketika menurunkan mereka di pagar sekolah. Yuri mengangguk walaupun masih menggigil. Dia menunjukkan duit 20 sen dari dalam poket. Pandai-pandailah menyimpan kalau nak makan sedap. Sekali- sekala jika dapat 50 sen Yuri rasakan itu sudah cukup besar baginya. Dalam kelas, kipas dipasang laju-laju. Baju mereka mengering dibadan. Jika bukan warga Felda, dengar wang saku 20 sen, mesti ramai yang tak percaya. Tapi itulah hakikat yang Yuri lalui di awal-awal kehidupan mereka di Felda. Hidup memang susah. Dulu-dulu mana ada bekalan elektrik. Nak tengok televisyen kena cas bateri, kalau yang banyak duit sikit bolehlah pakai generator. Tapi masa beredar dengan cepat. Sedikit demi sedikit, bermacam kemudahan mula diterima. Dan kini, dia bangga jadi anak Felda. Segala kesusahan dan penat lelah peneroka berbaloi. Tidak cukup dengan itu, bila tiba hari Sabtu dan Ahad...ayah akan membawa mereka berdua ke ladang membantu mengutip buah sawit relai. Bab ni Yuri selalu ‛mengelat’. Kalau kena kutip sawit relai kat hujung-hujung semak, dia kutip sebiji dua je, lain-lain semua dia tinggal. Takut. Pernah satu hari mereka kena kejar kerbau yang berendam dipaya bersebelahan. Masa tu, mereka dah nak balik pun. “Adik...cepat, panjat pagar tu. Capai tangan kakak” Yuri menghulur tangan pada Nisa yang terkial-kial memanjat pagar. Lintang-pukang mereka berlari kerana dikejar dek kerbau. Yuri juga tidak tahu kenapa kerbau itu tiba-tiba naik berang dan mengejar mereka dari belakang. Lapar sangat nampaknya. Agaknya badan kecil dia dan Nisa nampak seperti ketulan peha KFC kot pada mata kerbau tu. Di sebalik pagar, Nisa menjelirkan lidahnya kepada kerbau kerana berjaya melarikan diri. Macamlah kerbau tu faham. Berderai tawa Yuri dan ayahnya melihat gelagat Nisa. Ayah akan memberi upah RM10 seorang setiap kali mereka membantu di ladang. Di rumah, umi sudah menanak nasi. “ Sedapnya umi, boleh tambah lagi ?” Yuri menghulur pinggannya yang sudah hampir kosong. Mereka makan dengan berselera walaupun masa itu hidangannya cuma ikan sepat masin bersambalkan cili kering yang ditumbuk umi. Sayurnya cuma kulat putih atau kulat tahun yang banyak tumbuh di ladang selepas hujan turun. Umi goreng kuning atau dimasak air. Kadang-kadang ayah mencari ‘keladi air’ berbunga kuning, yang banyak tumbuh dalam parit-parit di ladang. Cukup hanya direbus, Yuri, Nisa, ayah dan Umi makan dengan berselera. Indahnya zaman kanak-kanak mereka. Bagi Yuri kenangan itu sangat indah untuk dikenang dan tidak mungkin dilupakan. Kenangan itu mengajar Yuri lebih tabah mengharungi pahit manis hidup biarpun ada masanya dia seakan putus harapan. Kepada Nisa, berulang kali Yuri berpesan, jika sudah berjaya menggenggam segulung ijazah nanti, jangan lupa umi dan ayah yang banyak berjasa.Yuri juga berpesan kepada dirinya sendiri. Tidak ada orang sebaik umi dan ayahnya. Bunyi mesej dari telefon Yuri, mengejutkan dia dari lamunan. Dia menyeka airmatanya yang mengalir ke pipi. Mengenangkan kenangan indah yang tak mungkin dapat diulang. Dia membuka telefon. ~ Sweet honey..., busy ke ? Saya baru nak lunch...~ Walaupun saki baki airmatanya masih membasah di pipi, Yuri tersenyum juga. Dia memandang jam di tangan, sudah pukul 2.00 rupanya. Lekanya dia pada kenangan lampau hingga tidak sedar masa berlalu. Dia membalas mesej Zahar. ~Dah pukul 2.00 rupanya ye. Tak sedar saya. Kat sini hujan, saya belum makan lagi.~ ~Jomlah join saya makan~ “Amboi...ingat dekat ke nak ajak aku makan ?” Yuri mengetap bibir, namun ketawa dalam hati. ~Hmm....jauh berani la offer saya makan, cuba dekat....tak larat nak bayar nanti...~ ~Alah...setakat belanja Hani sorang, apa la sangat...~ Ai...dah jadi jutawan ke dia...berlagak sangat bunyinya. ~Hmm...macam boleh pegang kata-kita tu...~ ~Pegang kata-kata je..? Orangnya ?~ Yuri tergelak kecil. Dalam hati..“Nak kantoikan aku le ni”. ~ Kalau orangnya kena le mintak izin dulu...~ ~Bila boleh mintak izin ? Sekarang jugak saya datang~ ~Ha..ha awak ni buat saya ketawa jelah. Makan dengan sape ?~ ~Sorang...~ Lenggok sedih je gayanya. ~Alah....kesiannya...kenapa tak ajak kawan...~ ~Diorang semua dah siap makan, saya je makan lewat..~ ~Hmm...ajaklah bos~ ~Tak boleh...bos garang..~ ~Saya lagi garang....awak tak takut pulak...~ ~Bukan takut....tak berani je..~ Yuri ketawa lagi. Lelaki itu memang menghiburkan hatinya. Hilang rasa lapar perutnya. En. Hazman pun agaknya sudah keluar makan. Mesej itu terhenti di situ. Yuri menyambung kerjanya. Lagi 2 jam habis kerja. Dia makan di rumah sahajalah. Lagipun dia perlu berjimat. Orang yang bergaji kecil macam dia...apalah sangat yang boleh dibuat. Satu lagi mesej masuk ke telefonnya. “Emm...mesti Zahar ni..” Namun tekaan Yuri meleset sama sekali. Mesej dari Rahimi. ~Hai Yuri, abang dapat mengajar di Pahang. Temerloh. Abang nak sangat jumpa Yuri ~ Tersentak Yuri sebentar. Rahimi yang menyambung pengajiannya dalam bidang pendidikan di UPSI, kini sudah bergelar guru. Dia kata, tidak selesa dengan kerjanya dulu, maka dia mengambil keputusan untuk menjadi guru. ~Insyaallah... ~ Mesej yang tidak pernah dibalasnya itu kali ini dirasakan sangat mudah untuk dia membalasnya. Mungkinkah kerana dia juga merindui lelaki itu yang sudah lama tidak dilihatnya. Tidak..tidak. Dia tak mahu pisang berbuah banyak kali. Tapi bagaimanakah agaknya dia sekarang kan. Adakah masih seperti dahulu atau sudah berubah. ~Ok...nanti abang call Yuri..~ Rahimi berjanji. Yuri pula seperti terikat dengan janji. Adakah dia patut menunaikan janji itu sekiranya tiba saat itu nanti. Yuri keresahan. Dia mula tak senang duduk. Berdiri pun dia rasa tidak kena. Dia mundar-mandir di hadapan mejanya. Pen yang dipegang di tangan diketuk-ketuk ke hujung meja. Yuri memandang kalendar. Dia berkira-kira. Sudah hampir 3 tahun Rahimi tidak menghubunginya. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu menghubunginya semula. ****************************************************** Petang itu Yuri memandu dengan berhati-hati. Hujan masih belum berhenti. Hujan renyai begini biasanya akan membawa hingga ke malam. Yuri memulas stering keretanya menghala ke highway. Jalan yang bertentangan dengan rumah sewanya. Dia sengaja berlambat-lambat pulang ke rumah. Di jalan sebelah kiri...kelihatan kereta Vivanya dipandu perlahan sambil pemandunya melayan perasaan gundahnya. Air mata menuruni pipinya lagi.Yuri masih merenung jauh ke hadapan. Merenung indahnya sinaran mentari senja yang hampir tenggelam dek kabus renyai hujan. Dua pelangi berlaga dikaki bukit nun disana. Yuri memusing di tol. Senja kian berlabuh. Hujan sudah berhenti. Sampai bilakah harus dia memendam rasa cinta yang semakin hangat dirasakannya terhadap Zahar. Hanya lelaki itu yang ada di kotak fikirannya. Bagaimanakah agaknya harus dia memulakan langkah. Dia tidak mahu kehilangan lelaki yang semakin menguasai kewarasan akalnya itu. Gila ke dia? Mungkin juga. Kerana lelaki itu dia memang jadi gila. Gila sangat-sangat. Yuri tidak mampu menafikan realiti yang dirasainya kini. Tapi dia malu untuk mengaku. Dia memecut kembali keretanya ke rumah. Selesai mandi, Yuri mengajak Izzah jalan-jalan sekitar bandar. Terasa bosan pula menjadi penunggu di rumah. Selain mengadap TV dan laptop, tiada apa yang menjadi peneman Yuri. Malam itu, mereka menghabiskan masa meronda-ronda kedai baju, kedai beg, kasut dan macam-macam lagi. Reaksi mereka pula hanya dibalas jelingan oleh pekerja kedai. Habis dicuba semua baju-baju terbaru yang ada, tetapi sehelai pun tidak dibeli. Lebih bertambah jelingan pekerja kedai tersebut. Kasut....emm tiada yang berkenan dihati. Akhirnya mereka melepas lelah di Abang Sham’s Corner. Kedai makan di penjuru klinik swasta itu baru seminggu beroperasi. Yuri dan Izzah memilih meja paling hujung. Mereka minum-minum sambil menonton dan berbual sebelum mengambil keputusan untuk pulang. Ketika membuka pintu kereta, Yuri disapa oleh seseorang. “Yuri.., ” Yuri rasa macam kenal sangat suara tu. Dia berpaling, dan saat itu jantungnya berdegup kencang seperti mahu luruh. Kakinya lemah serta merta. Betulkah apa yang dilihatnya sekarang. Wajah yang sebelum ini sangat dirindui berada dihadapannya. “Rahimi...” “Abang dah nampak Yuri dari tadi, tapi ingatkan cuma khayalan abang saja.” Yuri tidak berkelip. Kalau boleh dia nak lari pecut 100m waktu tu juga. Biar jauh dari Rahimi. Tapi, macam ada batu besar pula yang menghempap kakinya. Izzah yang juga tercegat di tepi kereta hanya menjadi pemerhati setia. Rahimi masih tersenyum. “Er...kenalkan ini kawan serumah saya Izzah.” Yuri berpaling sambil menunjukkan tangan tanda memperkenalkan Izzah. Izzah hanya membalas dengan senyuman “Hai.” Sapa Rahimi hanya mengangkat tangan. “Hai.” Izzah membalas. “Emm...awak buat apa kat sini ?” Yuri menyoal. “Abang dapat posting sini, baru sampai tengahari tadi. Survey kawasan dan cari rumah sewa,” “Aik..cepatnya. Dia kan baru hantar mesej tengahari tadi...” Yuri berkata-kata dalam hati. Mukanya penuh tanda tanya. Rahimi tetap membahasakan dirinya abang walaupun Yuri hanya bersaya awak sahaja dengannya. Gila talak ke dia ni. “Jangan aku yang gila talak pulak nanti sudah,” Yuri menetapkan syarat pada diri sendiri. “Dah dapat ?” Yuri segera menyoal kembali untuk mengelakkan air mukanya dikesan oleh Rahimi. “Dah, kawan tolong. Di Taman Jati.” “Oh...okla tu...emm ok la, kesian kawan saya menunggu tu. Saya jalan dulu.” Yuri meminta izin untuk berlalu. “Er...Yuri, esok boleh abang jumpa Yuri ?” Yuri serba salah ingin memberi jawapan. Jawab tak boleh nanti, terasa hati pula. Kenapa dia selalu berbelas ehsan pada orang lain sedangkan orang lain tak pernah menghargai dia. “Yuri tengok dulu ye...” Yuri memberi keputusan sementara. Rahimi sedikit kecewa. Apa sangatlah kecewa dia jika nak dibandingkan dengan kecewa yang dia tinggalkan untuk Yuri dulu. “Ok”. Rahimi terpaksa akur. Yuri melangkah kaki ke perut kereta. Dia mengundurkan kereta perlahan, sedang Rahimi masih setia tercegat memerhatikannya dari atas tangga. Dan terus memandangnya sehingga Yuri hilang di sebalik bangunan sana. “Siapa ?” Soal Izzah mahu tahu. “Ex-boyfriend.” Ringkas jawapan Yuri. Izzah membeliakkan biji matanya yang sudah sedia bulat. “Wow...betul ke ? Smartnya..., ex-boyfriend…? pas kat aku la.” “Kau nak ? Ambik la..tak halang langsung.” “Betul...? Jangan menyesal...” Izzah seperti memberi amaran pula lagaknya. Yuri hanya mencebikkan mulut sambil ligat memulas stering kereta ke kanan. Izzah tersenyum simpul. Sengaja menyakat kawannya itu. Yuri benar-benar terpaku bila melihat Rahimi sebentar tadi. Tidak disangka lelaki itu dilihat semakin matang berbanding usianya. Jika tidak mengenangkan bahawa lelaki itu pernah mengecewakannya, mahu sahaja Yuri meminta Izzah balik sendiri. Tapi itu tidak mungkin terjadi. Lelaki itu bakal jadi milik orang lain dan idea untuk menjadikan Rahimi miliknya semula bukanlah satu idea bernas. Izzah terdiam bila dilihat Yuri juga terdiam. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Yuri agaknya. Yuri hanya memandu sambil melayan perasaannya. Dia ingin segera tiba ke rumah. Airmatanya hampir menitis ke pipi lagi. Dia benci menangis dan terus menangis. Airmata itu begitu mudah merembes keluar walaupun cuba dihalang. ****************************************************** Hari yang dijanjikan dengan Rahimi tiba juga. Yuri berjanji untuk bertemunya di kedai makan pagi itu. Tiba di kedai itu, Yuri memilih tempat duduk menghadap Rahimi. “Yuri sihat ?” “Sihat...abang ?” Ada getar pada nada Yuri apatah lagi bila menuturkan ucapan abang itu. Panggilan itu seperti sudah sebati dalam diri. Sukar untuk ditukar ganti. “Alhamdulillah, sihat. Yuri kerja di mana sekarang ?” “Kerani biasa je...kat syarikat peguam. Seronok ye..abang dah bergelar guru sekarang.” “Hmm...lagi seronok bila dapat tahu abang dipostingkan ke sini.” Kata-kata Rahimi mendalam maknanya. Yuri mengerti, tapi adakah pengertiannya sama dengan apa yang ingin dimengertikan oleh lelaki itu. “Yuri tunggu kejap ye...sekejap je,” Rahimi tiba-tiba bangkit dari tempat duduknya sambil tergesa-gesa menghilangkan diri. Sepuluh minit kemudian dia datang semula dengan sekuntum bunga ros pink ditangannya. “Sorry, tadi pagi-pagi abang dah ke kedai tu, tapi belum buka. Abang tahu Yuri suka bunga ni kan ?” kata Rahimi sambil menghulurkan bunga itu kepada Yuri. Teragak-agak Yuri menyambutnya. Untuk apa lagi Rahimi bersusah payah begitu untuk mengambil hatinya. Bukankah dia akan bertunang tidak lama lagi. Memang bunga itu sangat disukainya tapi tidak dari Rahimi. Ketika Yuri masih lagi kusut fikirannya, Rahimi bangun memesan minuman. Yuri hanya memandang ros pink itu. Setitis manik jernih menitis di kelopak bunga yang masih segar dan harum itu. Yuri segera menahan manik jernih lain dari turut jatuh. Dia tidak mahu Rahimi melihat keadaannya. Dia tidak mahu lelaki yang pernah dicintai itu melihat betapa lemahnya dia. “Abang tak bimbang ke bakal tunang abang marah jika dia tahu abang keluar makan dengan saya ?” Tanya Yuri menduga. “Hmm....tak kot,” pendek jawapan Rahimi. Dia sengaja berdolak-dalih dahulu kerana tidak mahu gadis itu mengetahui bahawa dia tidak jadi bertunang sebenarnya. Dia juga tidak tahu apakah alasannya dia membatalkan hajat itu disaat akhir jika disoal oleh Yuri nanti. Dia belum bersedia untuk memberitahu Yuri. Selesai makan, Rahimi mengajak Yuri berjalan-jalan ke taman. Sepanjang perbualan, cerita mereka hanyalah berkisar tentang kerja dan kenangan zaman sekolah. Rahimi sedaya upaya mengelak dari menceritakan perihal dirinya. Yuri juga tidak langsung mengutarakan soalan itu. Adakah sebenarnya dia tidak mahu tahu atau dia takut untuk mendengar kebenarannya. Rahimi menghantar Yuri ke kereta. Dia memandang Yuri penuh asyik. Yuri serba salah ditenung begitu. Kalau dulu mungkin itu yang dia mahu. “Entah bila abang boleh jumpa Yuri lagi kan...,” Rahimi seperti meminta jawapan. Lama Yuri terdiam. Dia senyum tawar sambil memandang cermin kereta. “Insyaallah bang. Yuri balik dulu. Assalamualaikum...” “Waalaikumussalam.” Yuri menghidupkan enjin kereta dan berlalu meninggalkan Rahimi yang masih tercegat disitu. Terasa hidupnya kembali bermakna...namun adakah rasa itu akan berkekalan. Kerana Rahimi atau Zahar. Macamlah dia yang menjadi rebutan sekarang. Yuri tidak mahu menaruh harapan. Cukuplah sekali dia pernah menaruh harapan yang tinggi pada lelaki bernama Rahimi itu. Petang itu, Yuri menelefon Zahar. “Assalamualaikum...” “Waalaikumussalam.” “Awak sihat...?” “Sihat....awak ? “Ok...baru habis kerja ke ?” “Haah....baru nak punch card...awak kat mana ni ?” “Lepak kat taman....” Yuri melencung ke taman permainan di hadapan rumahnya. Kakinya belum terasa ingin pulang ke rumah. Dia menggoyang-goyangkan buai dengan kakinya perlahan. “Buat apa kat taman ?” “Saja...buang-buang masa, sambil tengok gelagat orang..” “Amboi...nak buat assigment pasal gelagat orang ke ?” Yuri ketawa. “Hmm...niat hati macam tu la...boleh senaraikan gelagatkan yang paling best dilihat..dan tidak.” Giliran Zahar pula ketawa. “Emm...oklah saya nak keluar pergi main ping-pong ni...nak ikut ?” “Heh...saya tak pandai main.” “Awak tengok jelah,” “Kalau saya dekat bolehlah datang tengok.” “Sebab tahu awak jauhlah saya ajak ni…” Berderai lagi tawa Zahar di hujung talian. Cis..tak sayang mulut gayanya dia ni. Yuri sedikit berkecil hati. Entah kenapa dia mudah terasa pula kali ni. Mungkinkah kerana yang berkata-kata di sana itu ialah Zahar ? Geram pulak rasa hatinya. “Oooo…awak saja nak kenakan saya la ni ye. Takpelah..saya tahulah saya ni siapa…” Ada nada merendah diri dari Yuri. Zahar termanggu. Niatnya cuma ingin bergurau, mana tahu gadis itu rupanya sensitif. “Ala...saya gurau jelah Hani...janganlah cepat sangat merajuk. Saya suka kalau awak dapat datang, semangat sikit saya nak lawan budak cina tu petang ni,” Zahar cuba mengambil hati semula. Lembut je suara dia. Dia memang sengaja menyakat Yuri sebab dia tahu pasti muka Yuri berubah kelat dan mencuka. Yuri sengaja mendiamkan diri. Kakinya menguis-nguis rumput yang tumbuh dari celahan pelapik getah itu. “Hani,......Hani....”. Zahar memanggil lembut. “Ye..” “Marah ke ?” “Takdelah...suka je. Sampai berguling-guling ketawa..” Yuri sengaja menidakkan tindakannya. “Awak ni emosi sangatlah.” “Habis tu nak hidup tanpa emosi ke cik abang ?” “Taklah,tapi kena berpada…adindaaa..” Muka Yuri yang tadinya macam cencurut patah kaki, mula tersenyum semula. “Sekejap buat aku marah, sekejap buat aku senyum. Susahnya nak faham mamat ni. Tapi....aku suka...”, dia berbisik dalam hati. Yuri melepaskan nafas perlahan. “Ye la tu. Pergilah main, tadi kata nak pergi main.” “Halau saya ke ?” “Ish...mana ada halau, orang semangat sukan, kita tak boleh halang.” Zahar ketawa kecil. “Oklah...bye. Jangan marah-marah ok,” “Tak, tengah senyum ni,” Yuri memberi jaminan. “Ok..” Zahar mematikan talian. Yuri hanya memandang telefonnya. Kemudian menyimpannya dalam poket belakang seluar. Zahar selalu begitu, bila Yuri kelapangan ingin berbual di telefon, dia pula yang sibuk. Entahlah...sepanjang masa sibuk. Yuri bangun dari buaian. Langkahnya longlai menuju ke keretanya. Dia memandu pulang. Kereta Izzah sudah ada di rumah. Yuri cuba menceriakan wajahnya. Dia tidak mahu dilihat kusut dan tidak bermaya di hadapan Izzah. Yang penting luaran. Hanya Allah yang tahu perasaannya tika itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS