Powered by Blogger.
RSS

Rindu Awak Sayang Awak ~ Bab 8

Setibanya di halaman rumah yang sudah pun berusia lebih 20 tahun itu, kelihatan Nisa adik Yuri yang baru berada di Tahun kedua di UPM berlari mendapatkannya. Rindu sangatlah tu kononnya. “Kak Long...., sihat ?” Sapa adiknya Nisa yang menyalami tangannya sebaik sahaja Yuri membuka pintu kereta. “Baik.., adik ok, sihat ?” “Sihat.” “Mana umi ?” “Emm...umi tengah masak tu. Tahu Kak Long nak balik, beria-ia betul umi masak.” “Nah..! bawa ni masuk.” “Apa ni Kak Long, banyaknya...” Nisa mencapai bungkusan yang dihulurkan. “Untuk adik la, Kak Long dah belikan CD yang adik nak sangat tu. ” Drama bersiri korea All About Eve. Mahal melebihi baju pengantin sepasang. Habis separuh gajinya untuk beli benda alah tu. Tapi demi Nisa...habis sebulan gaji pun dia tak menyesal. “Iye Kak Long...? Emmmmmm......saaaaayang Kak Long,” Nisa memeluk kakaknya itu erat tanda berterima kasih. “Sama-sama,” Yuri tersenyum. Hatinya terasa puas dapat menggembirakan adiknya yang satu itu. Cuma mereka pengarang jantung umi dan ayah. “Assalamualaikum umi. Umi sihat ?” Yuri memaut bahu ibunya dari belakang dan satu ciuman singgah di pipi kanan wanita separuh abad itu. Uminya segera berpaling sambil menyambut huluran salam Yuri. Baru dua minggu Yuri tak balik ke Jengka, hatinya sudah digasak rasa kerinduan. “Sihat, rindunya umi.” “Ye ke...umi masak apa tu ?” “Masak lemak telur itik. Kan Yuri suka.” Baiknya Umi. “Emm... patutlah dah terbau aromanya dari luar tadi. Ayah mana?” “Ayah ke pasar malam sekejap, cari sayur meranti. Buat masak tengahari esok. Kalau tak cari di pasar malam, susah nak dapat kat gerai-gerai jual ikan ni,” Ibunya memberi penjelasan. “Ayah dan umi ni beria sangat la, Yuri kan dah selalu juga makan sayur meranti tu, tak payahlah susah-susah.” “Alah...apa yang susahnya..ayah kau tu saja...sambil-sambil menghilangkan bosan dia duduk di rumah ni, sambil tayang motor baru dia tu sama.” Ibunya menjuihkan mulut. Lucu betul lagaknya.Yuri dan Nisa saling berpandangan dan berderailah ketawa mereka bertiga. Begitulah selalunya. Rumah itu akan riuh rendah apabila Yuri ada. “Emm...sudahlah tu, pergilah mandi. Dah magrib dah tu ha,” ibunya memberi arahan. Yuri menaiki tangga ke bahagian atas rumah. Dia menjinjing beg pakaian menuju ke biliknya. Kedengaran bunyi motosikal ayahnya di luar rumah. Selesai solat, mereka semua berkumpul di meja makan. Yuri mencedokkan nasi untuk umi, ayah dan Nisa. Pinggannya hanya diisikan dengan sesenduk nasi sahaja. Tidak bertambah pula tu. Uminya keresahan. Biasanya, Yuri berselera benar makan masak lemak telur itik. Ada pula sambal dan ulam pegaga. Mesti dia akan mengulang nasinya lagi. Hanya Nisa yang bertambah nampaknya. Ketika mengambil angin di beranda rumah, ibunya menghampiri Yuri. Kelainan dan kemurungan dari raut wajah Yuri mengggusarkan ibunya. Umi berdehem sebelum menyapa Yuri dengan lembut. “Kenapa dengan anak umi ni ? Yuri nampak tidak ceria seperti selalu.” Yuri menunduk memandang lantai berandanya yang berlantaikan mozek warna biru itu. Dia tak tahu apa yang dia ingin luahkan pada uminya. Kemurungan Yuri bukan sekadar satu dua perkara tapi...macam-macam perkara. Yang berat...yang remeh semuanya bercampur aduk. Yuri memandang Umi. “Tak ada apalah mi, Yuri penat je kot.” Yuri cuba berdalih. “Umi tak paksa Yuri nak beritahu atau tidak, tapi kalau bila-bila Yuri dah bersedia nak berkongsi dengan umi, Yuri tahu umi sentiasa ada...ye.” Yuri tersenyum dan memegang tangan ibunya erat. Dia tahu wanita itu sentiasa ada di sisinya tiap masa. Umi bukan sahaja ibu malah kawannya yang boleh berkongsi cerita apa sahaja. Dah macam fasilitator. Tetapi kali ini Yuri belum bersedia. Sangat-sangat tidak bersedia. Ibunya meninggalkan Yuri seorang diri di luar. Dia tidak mahu memaksa anaknya itu sekarang. Dia faham benar sikap Yuri. Lambat laun dia pasti akan berkongsi ceritanya. Yuri tidak suka memendam masalah. Dia lebih senang berkongsi dengan uminya, baginya perkongsian sedikit sebanyak boleh meringankan kepalanya dari memikirkan perkara itu. Mesej Rahimi malam semalam benar-benar menjadikan Yuri resah. ~ Salam. Hai Yuri. Apa khabar. Abang dah lama tak dengar berita dari Yuri. Abang minta maaf sebab dah lama tak menghubungi Yuri. Terus terang abang katakan, sememangnya abang sudah semakin melupakan Yuri apabila mengenali Zahida. Kami hampir bertunang, tapi akhir-akhir ini abang jadi rindu pada Yuri. Harap Yuri masih sudi menghubungi abang~ Dari dulu Rahimi suka membahasakan dirinya abang walaupun sebenarnya mereka sebaya. Yuri tidak membalas mesej itu. Dia juga sebenarnya sukar nak gambarkan perasaannya sekarang. Dia gembira atau sebaliknya apabila mesej itu diterima. Sesungguhnya lelaki itu sangat dirindui dahulu. Tetapi hari ini, perasaannya bercampur aduk. Sukar untuk melupakan kenangan lama. Hanya lelaki itu yang dia ada dulunya. Bagi Yuri, kasihnya hanya untuk Rahimi seorang. Namun Rahimi mensia-siakan kasih itu. Yuri tidak menyalahkan Rahimi. Mungkin dia tidak cukup sempurna di mata Rahimi. Lama Yuri termenung di beranda. Tangannya menongkat di pagar beranda, sedang matanya memandang jauh ke batas jalan. Pandangannya kosong, sekosong hatinya sekarang. Kepekatan malam membatasi pandangan. Tanpa sedar air mata Yuri mengalir lagi. Dan Yuri hanya membiarkannya laju menuruni pipi. Dia mahu lepaskan perasaannya. Lepaskan rasa amarahnya yang sudah lama berakar umbi pada Rahimi. “Kak Long, dah jauh malam ni. Jom masuk,” sapa Nisa sambil memegang tangan kakaknya itu. Yuri segera mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu adiknya perasankan manik-manik jernih yang lebat menuruni pipinya sebentar tadi. Namun bagi Nisa, dia sudah lama memerhatikan kakaknya itu di sebalik pintu sebelum menyapanya. Dia tak pasti masalah apa yang sedang melanda kakaknya itu sekarang, namun apa yang dia pasti, dia juga akan sentiasa ada di sisi Yuri jika diperlukan. Yuri mengikut langkah adiknya. Malam itu dia tidur di bilik Nisa. Fikirannya berkecamuk. Untuk apa dia bersedih pun dia tak pasti. Adakah kerana Rahimi ataupun Zahar. Lelaki bernama Zahar itu belum menjadi miliknya...malah belum pun cuba ditacklenya...so kenapa dia nak bengang tak tentu pasal. Apa yang pasti, keharuman bunga ungu kesukaannya, tidak dapat menandingi harum cintanya yang mula membenih pada Zahar. Ingin dia mempersembahkan cinta murni itu dalam manisnya asmara yang bakal tercipta. Naluri cinta yang tidak mampu dihindarkannya. Lelaki selamba itu berjaya memikat hatinya setelah lama dia menutup pintu hatinya selepas Rahimi. Namun mampukah ia terjadi. Telefon dimatikan, dan Yuri terlena dengan air mata yang mengering di pipi mengenangkan nasibnya. ****************************************************** “Kak Long balik dulu umi, ayah. Adik, belajar rajin-rajin tau,” Yuri bersalaman dengan semua. Petang itu, dia seperti berat hendak melangkah pulang ke Temerloh. Mahu sahaja diambil cuti seminggu. “Baik-baik bawa kereta tu. Jangan bawak laju sangat,” pesan ibunya. Yuri hanya mengangguk tanda faham. Dia melepaskan hand brek dan meninggalkan perkarangan rumah sambil melambaikan tangan. Perasaannya masih seperti hari dia tiba di rumah itu kelmarin. Dia cuba untuk menggembirakan diri sendiri, tapi yang tersenyum hanya di bibir, sedangkan hatinya masih menangis. Telefon yang berada disampingnya berbunyi. ~Hai honey...awak masih di Jengka ?~ Disebalik rasa moody itu, Yuri tersenyum juga bila menerima mesej dari Zahar. Sungguh, kehadiran Zahar mengubat luka hatinya. ~Nama I Hani la, not Honey...~ Yuri sengaja membahaskan mesej Zahar. ~Sebutannya masih sama...,~ Zahar menguji. ~Sebutan sama, maknanya berbeza....~ Yuri melawan. Zahar terkena. ~So...I pilih maknanya...~ Zahar masih membalas. Yuri pula terkedu. Tak tahu nak balas apa. Yuri masih sempat menulis, namun matanya masih memandang ke hadapan. Padahal dia suka sangat dengan panggilan itu. Setidak-tidaknya, hanya Zahar yang menggunakannya. Rahimi juga tidak pernah memanggilnya begitu. ~ Awak kat mana sekarang?~ ~On.the way balik Temerloh, still driving.~ ~ooo…kalau macam tu, awak drive dululah, bahaya.~ ~ok~ Yuri mengakhiri perbualan mesej mereka. Yuri memandang ke hadapan semula. Walaupun hanya melalui mesej dan telefon, dia rasa dekat dengan Zahar. Entahlah apa yang menarik tentang Zahar pun dia tak tahu. Handsome tu memang tidak dapat dinafikan. Tetapi bukan kerana itu dia tertarik dengan Zahar. Jika nak dibandingkan dengan Hazman, bos seriusnya tu...sudah tentu handsome Hazman sikit dari Zahar, tapi....entahlah..., Zahar ada daya tarikan tersendiri. Cinta...Perlukah ada sebab untuk jatuh cinta ? ****************************************************** Tengahari itu di pejabat, En. Hazman tergesa-gesa ke meja Yuri. “ Yuri awak kena ikut saya sekarang.” “ Nak ke mana En. Hazman ?” “ Dalam kereta saya terangkan, lekas.” Yuri segera mencapai beg tangannya dan mengikut langkah En. Hazman. Dia duduk di sebelah En. Hazman, sambil memandang ke muka En. Hazman yang serius memandu. “Hensem jugak bos aku ni.., macam Jang Dong Gun” Yuri memuji dalam hati. Teringat pada hero drama korea yang menjadi kegilaan adiknya Nisa. Hazman yang perasan dari ekor mata tiba-tiba berpaling. “ Awak pandang saya lama macam tu kenapa ? Dah jatuh cinta dengan saya ke ?” Yuri terlopong. Tak sempat mengalihkan pandangan, dia terpaksa memandang Hazman lama. “Sedapnya soalan dia. Ke dia yang dah jatuh cinta dengan aku ? Siapa yang tengah culik siapa sekarang ? Aku ke dia ? Ceh...” suara jahat Yuri masih berlegar di gegendang telinganya sendiri. “Hello...Cik Yurihani...awak dah sampai Jepun ke ?” “Aa...aah.., eh tak,” Yuri menggelengkan kepala lalu segera memandang ke luar tingkap kereta, malu. Hazman senyum. Sepanjang dia bekerja, En. Hazman tidak pernah pula mengajaknya keluar ke mana-mana. Dan selalunya, yang berjumpa pelanggan adalah En. Chong. Mungkin ada hal penting kot, Yuri berfikiran. Namun janji En. Hazman yang ingin memberi penjelasan dalam kereta sebentar tadi, tidak pula berani Yuri bertanya semula. Yuri masih tertanya-tanya apabila kereta yang dipandu En. Hazman sebenarnya menuju ke Restoren segera KFC. “Ceh...nak pergi sini je ke. Ingat nak bawak aku jumpa keluarga dia...” Yuri mencemik dalam hati. “Jom....” pelawa En. Hazman pendek. Yuri hanya mengikut. Dia menaiki tangga menuruti langkah En. Hazman di hadapan. Setibanya dia di atas, dilihat kelibat En. Chong melambai tangan ke arah Hazman. Seorang wanita yang juga berbangsa Cina, tersenyum memandang Hazman. Hazman menarik kerusi untuk Yuri. Yuri jadi malu diperlakukan begitu. Tapi dalam hati rasa bangga yang amat sangat. Hazman mengambil tempat di sebelah Yuri berhadapan dengan Chong. Gadis cina itu menghulur tangan bersalaman dengan Yuri. “Dia tak tanya you ke Man ke mana you nak bawa dia ?” soal Chong. Hazman tersengih dan memandang ke arah Yuri. Yuri masih terpinga-pinga. Hidangan KFC di atas meja dan kotak kek warna pink itu masih menjadi tanda tanya Yuri. “ Mana berani lawan arahan bos…, bukalah kotak tu, nanti terjawablah soalan dia,” jawab Hazman sambil menjuihkan bibirnya ke kotak warna pink di hadapan Chong. “Hello...bukan tak berani, cuma tak mahu je,” Desis Yuri dalam hati sambil menjuihkan mulutnya merujuk kepada statement Hazman. Chong membuka kotak. Diletakkan kek itu di hadapan Yuri. Yuri terkejut melihat perkataan pada kek coklat kecil itu. ~ SELAMAT HARI LAHIR KE-23..YURIHANI~ Yuri tidak menyangka sama sekali. Dia terharu dengan keprihatinan kedua-dua bosnya itu. Walaupun ini kali pertama selepas hampir 3 tahun mukanya menempel di pejabat mereka berdua. Janji ada. Suka...suka. Yuri cuba menahan air muka gembiranya dari tergambar dengan jelas. “Hmm tunggu apa lagi...potonglah kek tu.” Arah Hazman. Yuri yang sedari tadi hanya memandang, segera memotong kek comel itu. Diisikan sepotong-sepotong dalam piring yang dihulurkan oleh gadis sebelah Chong. Hazman mengambil secubit kek yang telah di potong. Dia menghalakan ke mulut Yuri dan membuat isyarat supaya Yuri membuka mulutnya. Yuri memandang Chong. Chong hanya tergelak kecil. “Bila lagi nak merasa bos suapkan,” katanya menyokong tindakan Hazman. Yuri memandang Hazman yang masih menghulurkan kek ditangannya. Muka dah macam kesian sangat. Bila Yuri membuka mulutnya, terus Hazman menarik kek itu masuk ke mulutnya sendiri. Yuri tergamam. Cis ! malunya. Chong masih tertawa. Manakala gadis cina di sebelahnya memarahi Hazman. “Man...you ni masih tak berubah-ubah ye...nakal tak kira tempat.” “Alah...bila lagi nak kenakan dia. Kat pejabat mana ada masa nak buat jahat. Awak marah ke Yuri ?” Boleh tanya lagi. Yuri sengaja melambatkan respon. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Takpe.. takpe. Ada ubi ada batas. Ada lori ada bas. Masanya akan tiba untuk aku balas. Nanti kau”, Yuri membuat perjanjian dendam dalam hati. “Awak jangan ambil hati Yuri, bos awak ni memang nakal dulu masa di U, selalu kenakan orang,” pujuk gadis cina itu sambil menjeling ke arah Hazman. “Betul, betul. Saya pun selalu terkena maa...” tambah Chong menyokong. Hazman ketawa. Dia mengambil pula sehiris kentang goreng di pinggan. “Sorry saya main-main je tadi, emm... ganti semula,” kata Hazman menghulur kentang goreng pula ke mulut Yuri. Sekali lagi Yuri cuba meminta pendapat Chong dan gadis cina itu. Mereka cuma mengangkat bahu. Melihatkan Yuri seperti was-was, Hazman menambah. “Kali ni saya tak main-main.” Hazman tersengih sambil mengangkat tangan macam nak berikrar lagaknya. Yuri memandang ke wajah Hazman. Lama di tenungnya wajah itu. Baru dia perasan bahawa lelaki berkulit putih kuning itu mempunyai sepasang mata yang sangat redup. Dia menyambut huluran kentang goreng Hazman dengan tangan kemudian baru disuakannya ke mulut. Hazman kurang puas hati nampaknya. Padan muka dia. Yuri mengadap hidangan KFC di hadapannya. Dia turut sama menyertai Chong dan teman wanitanya makan tanpa dia sedari Hazman masih memandangnya. Mahu saja diulang ayat-ayat Hazman dalam kereta tadi. “ En. Hazman curi-curi pandang saya ni kenapa ? Dah jatuh cinta dengan saya ke ?”, macam tu dia nak tanya. Biar terpulang paku buah keras....tapi tak sampai hati pulak. Sesekali terdengar gelak tawa mereka apabila menceritakan aktiviti mereka sepanjang di Universiti Malaya dulu. Dari situ Yuri tahu, mereka bertiga adalah kawan baik. Tidak cukup dengan itu, teman wanita Chong, Lisa mengambil kamera dari handbag dan mengambil gambar sebagai kenangan. Hazman pula sengaja merapatkan kerusinya dengan kerusi Yuri semasa Lisa menghalakan kamera ke arah mereka berdua. Lisa pula semakin menggalakkan tindakan Hazman. Badannya hampir mengenai badan Yuri. Tangan sebelah kanannya diletakkan di palang kerusi Yuri. Semerbak minyak wangi Hazman jelas menusuk ke hidung Yuri. “Man, I hantar Lisa dulu. You all berdua kasi habis ini semua,” Chong bangkit dari kerusinya diikuti dengan Lisa. “Maaf ye Yuri, I kena pergi dulu, nanti bos I marah masuk lambat. Kalau I dapat bos macam Hazman, I tak masuk balik pun takpe...” kata Lisa sambil mengerling pada Hazman. Fasih betul gadis Cina ni berbahasa Melayu. Yuri turut memandang Hazman yang hanya tersengih memandang Lisa. “Ok..jumpa lagi,” balas Yuri sambil menyambut huluran tangan Lisa. Chong menarik tangan Lisa. Romantik sungguh mereka. Yuri dan Hazman hanya menghantar mereka dengan ekor mata. Hazman menyambung makan KFC yang berbaki. Sementara Yuri hanya menghirup air Oren yang masih penuh dalam cawan besar itu. Tiada yang bersuara. Masing-masing melayan perasaan. Hazman pula seperti kehilangan kenakalannya. Tadi hebat sangat. Dia jadi kaku bila hanya berdua dengan Yuri. Kerusi yang tadinya dekat dijarakkannya semula. “Awak bawa baliklah baki kek tu,” kata Hazman sebaik sahaja dia selesai membasuh tangan di sinki. Yuri hanya mengangguk. Apabila dilihatnya Hazman masih berdiri, dia segera bangun membungkus semula kek dalam kotak asalnya. Hazman mencapai kunci dan memberi isyarat tangan supaya Yuri berjalan dahulu. Dan hari itu, Hazman menghantar Yuri sehingga ke rumah. Kebetulan pagi tadi, Izzah yang menghantarnya ke pejabat. Bermula hari itu, Hazman kelihatan berubah sikap. Dia sudah kurang marah-marah. Yuri juga senang dengan perubahan itu. Sekurang-kurangnya dia tidak terlalu tertekan dengan kerja, dan tidaklah juga dia kerap melakukan kesalahan. Paling penting..rak-rak pejabat sure berkilat. “Hai...takkan makan buah epal je tengah-tengah hari ni...” teguran Hazman dari belakang mengejutkan Yuri yang baru mahu mengupas buah epal. “Eh...En. Hazman, saya rasa macam malas pulak nak pergi makan”. Yuri berbohong sambil menyorokkan buah epalnya di belakang. “Kenapa pulak boleh jadi malas, gaji yang saya bayar tak cukup ke ?”. “Eh...takdelah En. Hazman, saya je yang malas nak turun.” “Emm....saya lapar ni, jom temankan saya makan.” “Sekarang ?” “Yelah sekarang....” Yuri memandang buah epal hijau di tangannya. “Alah...tak ke mana buah epal awak tu. Simpan dulu, petang nanti makan.” Hazman menambah lagi. Sebenarnya dia sudah tahu kenapa Yuri mengupas buah itu. Sebelum Yuri beredar ke dapur tadi, tanpa sengaja dia terpandang Yuri yang sedang mengira-ngira duitnya dari dalam dompet. Lusa baru gaji, mungkin Yuri berkira-kira budgetnya hingga esok. Kasihan. “Jom...ini arahan,” lagi Hazman menambah bila dilihat Yuri tidak berganjak dari sinki. Yuri memandang Hazman. Hazman masih menunggu jawapan, lalu tersenyum menang bila Yuri meletakkan kembali pisau dan epal. Yuri mencapai beg tangannya dan mengikut langkah Hazman. Ketika makan Hazman duduk menghadap Yuri. Mereka memilih meja yang sedikit terlindung dari laluan orang yang berpusu-pusu untuk makan tengahari. Bukan main sorok-sorok tapi mengelak dari kesesakkan. Yuri hanya memilih makan ikan goreng bersambal dan sayur campur goreng. Manakala Hazman memilih ikan keli dan sayur lemak kobis. Baru ingin menyuap nasi, telefon Yuri berbunyi. Dia mengambil telefon dari dalam beg. Mesej dari Zahar. ~ Hai...Hani. Sunyi je. Sorry jika saya menganggu awak~ ~ Saya baru nak lunch~ Yuri membalas, lalu menyambung makannya yang terhenti sebentar tadi. Telefon disimpannya kembali ke dalam beg. Hazman pura-pura tidak memandang gelagat Yuri. Yuri perasan... tapi sengaja buat tak endah. Tiada lagi mesej dari Zahar selepas itu. Mungkin mengerti. Hazman mencari idea untuk membuka cerita dengan Yuri. Yuri yang mulanya buntu juga mencari point perbualan, tapi bila Hazman kerap bertanya itu dan ini, dia jadi petah pula. Hazman mengambil peluang itu untuk mengenali Yuri dengan lebih dekat. Walaupun Yuri sudah hampir 3 tahun bekerja di syarikatnya, dia kurang mengambil tahu perihal Yuri. Sebelum ini hubungan mereka hanya setakat majikan dan pekerja. Tetapi hari ini, Hazman rasa dia semakin mengenali Yuri. Teman-teman yang mengenali Hazman mengangkat tangan apabila melintasi meja mereka. Teman yang wanita pula memandang sinis apabila melihat Yuri yang duduk makan semeja dengan Hazman. Berdua pula tu.Yuri yang seakan faham dengan pandangan sinis itu menyuarakan soalan pada Hazman. “En. Hazman tak segan ke makan dengan saya ni ? Nanti teman wanita En. Hazman cemburu pula.” “Eh...nak segan kenapa pulak. Saya bukan buat salah pun. Saya bukan ada makwe pun nak marah or cemburu pada saya.” Hazman memberi jawapan sekaligus melegakan perasaan serba salah Yuri. “Atau awak sebenarnya yang malu nak makan dengan saya ? Bimbang boyfriend awak marah ke kalau nampak kita makan berdua ?” giliran Hazman pula bertanya. “Ish...tak adalah En. Hazman. Bangga saya En. Hazman sudi ajak saya makan semeja. Bos mana yang sudi ajak kulinya makan bersama. Kalau ada pakwe pun, takkan dia nak marah saya keluar makan dengan bos.” “Ada ke ?” Hazman masih menguji. Sungguh dia ingin tahu. “Tak adalah.” Yuri menekankan sikit gema suaranya. Hazman tersenyum lega. Raut wajah Yuri semakin ayu apabila direnung. Biar pun gadis itu tidak secantik model iklan, tapi sedap mata memandang. Hazman berpaling ke arah lain apabila Yuri mulai perasankan renungannya. ****************************************************** Di rumah, Yuri menghantar mesej kepada Zahar. ~ Salam. Sorry saya keluar makan dengan bos tadi. Awak ok ?~ Sambil itu Yuri mencapai tuala dan bergerak ke bilik air ingin mandi. Selesai mandi dilihat mesejnya sudah pun berbalas. ~ Ok. Cuma pelik tak dapat mesej awak dari kelmarin~ ~ Kenapa pulak ?~ ~ Yelah...awak kan selalu hantar mesej pada saya pagi- pagi.~ ~ Rindu kat saya la ni ?~ Yuri memancing. ~ Emm.....awak kat mana ni ?~ Geram betul Yuri dengan lelaki sorang ni. Suka menukar topik sebelum menjawab soalan. Ego betul. Kerana itulah Yuri sentiasa menarik balik luahan hatinya yang ingin diluahkan sepenuh perasaan pada Zahar. Dia mahu lelaki itu tahu bisikan asmaranya, tetapi setiap kali itu juga sikap berdalih Zahar membantutkan segalanya. ~ Dalam bilik air~ Yuri sengaja mengenakan Zahar. Lama Yuri menantikan balasan Zahar. Mungkin lelaki itu masih tercari kata-kata yang sesuai. ~ k ~ Yuri tergelak. Mesti dia tak tahu nak respon apa. Yuri membalas lagi. ~ Ok je...~ ~Dah awak dalam bilik air, saya nak jawab apa~ ~He he...saya dah keluarlah. Saja nak kenakan awak.~ ~Mana ada terkena...~ ~Eleh...eksyen...., dah makan ?~ ~Baru nak keluar makan~ ~Kat Hotel kan banyak makanan, kenapa tak makan je kat sana ?~ ~Dah muak. Asyik makan yang sama je....” ~Hmm...esok-esok dah kahwin, cakap macam ni jugak pada isteri..kecik hati isteri...~ ~ Ha..ha..isteri tu lainlah, boleh pesan masak apa~ ~Amboi...macam main order je ye...?~ ~Takde lah order….masak sama-sama~ ~Pandai masak ke..?~ ~Masak maggi pandai...~ Yuri tergelak lagi. Dia dah boleh agak itu jawapan Zahar. Mesej dari Yuri terhenti. Kreditnya sudah habis. Dia meletakkan telefon kembali atas meja lalu turun ke bawah menonton berita. Dia mencapai kacang goreng. Sambil menghadap televisyen, kacang goreng turut dikopek ligat. Segelas teh panas berasap atas meja. Berita macam-macam keluar, tapi fikiran Yuri tetap menerawang kepada perkara lain. Dia teringatkan Rahimi, sekejap teringatkan Zahar dan adakala, wajah En. Hazman yang menerobos kotak fikirannya. Yuri mahu melupakan semua wajah-wajah itu. Tapi ianya tetap datang. Seolah-olah melambai-lambaikan tangan mereka. “ Hish....apa kena aku ni....? Sampai ke muka En. Hazman pun boleh terbayang ni... apa citer ?,” Yuri mendengus marahkan dirinya sendiri. Dialihnya siaran TV ke channel 413 lepas tu 701, 105, 104...102. “ Oi kak Long...channel mana ko nak tengok ni...? Lepas alih, alih...pening aku..!” Izzah yang datang dari arah dapur menegurnya dengan lantang. “E eh...ko masak apa tu ?....sedapnya, nak sikit..” Yuri cuba mencapai sudu dari dalam mangkuk, namun tangannya pantas ditepis oleh Izzah. “Amboi...! Banyak cantik...nak, pergi ambik sendiri kat dapur...aku dah siap masak dah untuk kau satu,” Jawab Izzah sambil tangannya kemas memegang sudu. Yuri memuncung. “Huh...kedekutnya...,ada lagi yeh....naaaaakkk...” Yuri berlari ke dapur. Bau char kuew teow yang dimasak oleh Izzah sungguh menyelerakan. Yuri segera mencapai mangkuk. Baki char kuew teow dalam kuali dituang habis ke dalam mangkuk. Dia turut bersila di samping Izzah mengadap TV. “ Sedap la Zah..., ajar aku masak ni..,” Yuri memuji sambil tangannya laju menyuapkan makanan itu ke dalam mulut. Tangan kirinya mengipas-ngipas mulut kerana kepanasan. Sudah menjadi kebiasaan mereka makan di meja kopi. Set meja makan yang terbentang di ruang makan hanya sebagai hiasan rumah semata-mata. “ Alah....aku tabur-tabur je la...bukan main resepi bagai...tuang je perencah dia...bubuh udang 2..3..ekor.., taruk tauge, pecah telur..siaplah.” Izzah menerangkan. Yuri cuma tersengih-sengih. “ Untung sapa kahwin dengan anak pak Hashim ni kan.., pandai masak char kuew teow...,lawa...,bergaji besar..,hmm..semua lengkaplah,” Yuri mengambil hati. “ Tak ada maknanya. Sapa nak kahwin dengan aku..dia kena pandai masak, senang aku..” Sangkal Izzah lagi. “ Ala apa susah...ambik la maid..” “ Maid....? Eeiii sorilah, elok-elok ada laki, tak pasal-pasal tak ada laki nanti aku.” “ Carik je yang tua....” Yuri memberi idea. Berderai ketawa mereka. Mereka masih asyik mengadap char kuew teow yang hampir habis itu. Dan malam itu mereka leka bercerita sehingga larut malam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment