Powered by Blogger.
RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 4


Waktu yang ditunggu-tunggu pun menjelma juga. Namun kali ini Yuri sengaja melambatkan masa. Pukul 9.15 malam baru dia bertolak dari rumahnya. Izzah yang baru selesai menggoreng nasi menyapanya.

“ Oit...nak pergi mana...ada date ke ?.” Izzah menyoal bila dilihat Yuri berhias tidak seperti selalu.
“ emm...aku nak keluar jumpa kawan jap. Sembang- sembang,” Jawab Yuri dengan muka manis.
“ Orait...kunci rumah bawak tau...bimbang aku tertidur kang.” Izzah mengingatkan.
“ Ok, pergi dulu.”
“ Kalau jumpa pakwe hensem kata aku kirim salam.”
“ Beres....”

Yuri faham sangat perangai kawan serumahnya itu. Sengaja nak cari cerita hangat. Dia mencapai kasut dan kunci kereta. Yuri memandu menghala ke Restoran D’Kenanga, sambil kepalanya ligat memikirkan apa yang perlu dia bualkan dengan lelaki yang bakal ditemuinya itu.

Yuri meletakkan keretanya di bahu jalan. Dia berjalan melintasi gerbang restoran itu sambil tangannya memegang dompet merahnya itu. Tiba-tiba seorang lelaki yang asalnya bersandar di keretanya menyapa,

“ Cik Yurihani...?.” Senyuman yang sangat manis dilemparkan kepada Yuri.

Dengan wajah yang masih kehairanan Yuri menjawab, “Saya..., awak....?”
“ Zahar..., selamat berkenalan..jom.” Lelaki itu segera mematikan pertanyaan Yuri. Dia faham gadis itu masih kabur kefahamannya. Tetapi dia pantas beriringan dengan gadis itu dan membawanya ke meja yang sama di duduki oleh Yuri dahulu. Atas meja tertulis RESERVE. Yuri terasa seperti mata orang di sekeliling semuanya sedang memerhatikannya.

“ Emm...nak makan apa ?” tanya Zahar. Yuri sedikit kegugupan. Tidak menyangka bahwa lelaki bernama Zahar itu sungguh menarik orangnya. Seperti ada muzik dalam kepalanya apabila memandang Zahar. Angannya pula sudah mula mengajaknya ke alam fantasi bersama lelaki itu. Ish...parah ni.

“Cik Hani.....”, suara keras itu mematikan fantasi maya Yuri yang baru nak mula. Yuri berhenti berangan. Ada getar pada suara Yuri untuk memberikan jawapan.

“ Emm..ye ye, er..saya tak mahu makan, saya minum air je la..”
“ Air apa ?”
“ Emm....Milo panas.”

Zahar menguntum senyum, sambil memesan milo panas 2, dan nasi goreng satu. Yuri malu untuk bertentangan mata dengan lelaki itu. Dia sekadar menunduk dan hanya sekali-sekala memandang ke meja-meja lain. Manakala Zahar sesekali mengerling ke wajah Yuri, dia masih menguntum senyum.

“ Kenapa awak senyum ?” Yuri memberanikan diri memulakan perbualan yang terhenti tadi.
“ Eh...perasan rupanya..ingatkan tak perasan tadi...” Zahar menempelak. Sebenarnya dia juga gugup berdepan dengan gadis yang baru dikenalinya itu, tapi berjaya diselindungkan.

“ Terima kasih sebab sudi datang jumpa saya,” Zahar menyambung lagi.
“ Sebab itu ke awak senyum-senyum sekarang ni ?.”
“ Eh...Takdelah..., saya memang suka senyum.”
Yuri mencebik.
“ Terima kasih sebab pulangkan dompet saya.”
“ Welcome..untung juga dompet awak jatuh malam tu.”
“ Kenapa ?” pantas Yuri menyoal.
“ Dapat saya berkenalan dengan tuannya.”
Yuri menjuihkan bibirnya pula kali ini.
“ Asal orang mana ?” Zahar mula menyiasat.
“ Orang Jengka, awak ?”
“ Orang sini..., kerja ?”
Yuri mengangguk “ Kerani.”
“ Oooo ingatkan cikgu.”
“ Kenapa...muka saya nampak macam garang ke ?”
“ Sikit la....” Zahar senyum lagi. “ Tapi manis...” sambungnya lagi.

Yuri jadi malu bila mendengar kata-kata Zahar. Apatah lagi lelaki itu memandang tepat ke arah matanya. Kerusi yang didudukinya itu seperti nak terbalik ke belakang. Ha ha...mainan perasaan.
“ Aduhai...manisnya senyuman tu..” Yuri memuji lelaki itu lagi dalam hati. Memang boleh membuatkan semua perempuan tergoda dan berebut untuk memilikinya. Takkan tak ada kekasih lagi orang sekacak dia. Ah..! Yuri malas nak fikir. Kalau ada pun itu hal dia. Dan aku, bakal menjadi antara perebut itu.
Perbualan mereka terhenti seketika. Masing-masing memikirkan apa yang perlu dibualkan.

“ Ada apa-apa yang hilang dalam dompet tu ?” Zahar menyambung perbualan yang terhenti.
“ Ada.....” Yuri sengaja menduga Zahar. Dia yang baru sahaja mengangkat sudu kali ke dua untuk menyuap nasi goreng terhenti.
“ Betul…?. Apa yang hilang ?”
“ Kesan tapak kaki orang yang pijak tu…., dah hilang.” Yuri senyum mengacah. Giliran Zahar pula tercengang. “ Hmm….lawak jugak dia ni.” Bisik Zahar. Zahar hanya tersengih. Dia segera menghabiskan nasi goreng walaupun masih panas. Memang lapar betul perutnya malam itu. Excited sangat dengan temujanji hari ni sampaikan dia lupa nak lunch tengah hari tadi. Gila.

Yuri hanya memandang Zahar yang sedang makan. Dibiarkan dahulu lelaki itu melayan makan malamnya. Nampak macam lapar sunguh-sunguh. Dan masa itu juga digunakan untuk memerhatikan raut wajah lelaki itu. Ada sebentuk cincin melekat kemas di jari manis tangan kirinya. Nasib baik sebelah kiri.

Zahar meneguk air milo yang sudah hampir suam. Dia memandang ke arah Yuri. Segera Yuri melarikan pandangannya, namun dapat dikesan oleh Zahar.
“ Awak selalu ke datang makan sini ?”
“ Emm..tak jugak, sekali sekala je...malam dompet saya jatuh tu, saya keluar dengan kawan baik saya. Boring.”
“ Saya tahu...”
“ Apa dia..?” Yuri kehairanan. Rasanya dia tak salah dengar.
“Eh...takde apa-apa, saya kata saya dapat agak awak boring...” Zahar menyembunyikan kejadian malam itu.
“ Macam mana awak boleh kenal saya ye ?”

Yuri teringat pula kata-kata Zahar dalam mesej kelmarin. Zahar terperangkap juga akhirnya. Lama Zahar terdiam. Hendak beritahu hal sebenar ke atau tidak. Dia memandang Yuri. Yuri pula seakan-akan tidak sabar mahu mendengar jawapan dari Zahar.
“ Sebenarnya, malam tu saya dah nampak awak kat sini berdua dengan kawan awak. Tapi khusyuk sangat awak bercerita berdua, tak perasan pun saya kat sebelah.” Terang Zahar.
Yuri mula mengingati malam dia bersama Zuriana. Memang dia tak perasan langsung orang lain. Malam itu dunianya hanya dengan Zuriana. Maklumlah dah lama tak dapat jumpa begitu. Kepoh satu restoren bercerita.
“ Awak kerja kat mana ?” Giliran Yuri pula menyoal.

Zahar menarik nafas dalam dan menghembusnya pendek. Seolah-olah memberikannya ruang untuk bersedia memberi jawapan.

“ KL……, Hotel Palace Of The Golden Horse.”
“ Orang mana ?”
“ Jengka 13”
“ Oh !...jadi awak dah biasalah dengan Jengka sebenarnya.”
“ Dulu biasa, sekarang jarang-jarang biasa,” Zahar melemparkan senyuman yang paling manis. Senyuman yang bisa membuatkan Yuri menyimpan angan-angan indah. Lagi muzik indah kedengaran bermain di cuping telinganya. Kali ini lagu dari Daus pula.

Tubuhku menggeletar,
Di hati rasa berdebar,
Apabila kau muncul,
Menjelma di depan mata,
Aku ketandusan kata,
Kerana lidah rasa kelu,
Ku cuba tepis perasaan tapi hati menuntut,
Apakah sudah masuk musim cinta ?
Katakan kenapa,
Kau buat malamku sukar untuk tidur,
Menanti esok tiba untuk berjumpa... katakan kenapa ?

Ha ha. Kepala Yuri penuh dengan muzik yang sudah sedia dimainkan bila-bila masa sahaja. Yuri digasak rasa kehairanan lagi. Lelaki itu sukar diduga. Melihatkan Yuri seperti kebingungan, Zahar segera menambah.
“ Saya lahir di Jengka, tapi tak lama, ayah saya kemudian berpindah ke Jerantut. Sekarang rumah tu bapa saudara saya yang duduk. Awak Jengka berapa ?”
“18.” pendek jawapan Yuri.
“Oh..dekat je…senanglah.”
“ Senanglah apa..?”
“ Boleh jumpa awak lagi”
“Siapa kata saya nak jumpa awak lagi..?”
Zahar menongkat dagunya dengan kedua belah tangannya. Matanya tajam memandang Yuri. Kemudian dia berdehem perlahan. Dia tahu Yuri hanya ingin memancing jawapan darinya. Gadis itu seperti mahu menduga.

“ Emm....tak boleh takpelah.” Zahar menghabiskan saki baki air milonya.

Yuri hanya tersenyum. Dia puas dapat mengenakan lelaki itu. Tak perlulah menunjukkan sangat bahawa dia juga senang berjumpa Zahar. Awal lagi ni. Kena tunjuk macho sikit. Zahar memandang jam.

“ Dah lewat ni. Tak elok rasanya untuk gadis macam awak pulang lewat malam.”
“ Emm...ye jugak.” Yuri mengiyakan sahaja. Padahal dia ingin berlebih lama lagi berbual dengan lelaki itu.

Selesai membayar, Zahar menghantar Yuri ke keretanya. “ Drive carefully.” ringkas pesanan Zahar. Yuri yang sudah pun berada didalam keretanya, bersedia menekan minyak.
“ Awak juga, jumpa lagi”, balas Yuri tersenyum manis. Kata-kata itu membuktikan bahawa dia juga bersedia untuk menerima pelawaan Zahar lagi. Dan bagi Zahar, kata-kata itu sudah cukup dimengertikan maksudnya.






BAB 5

Di pejabat petang itu, Yuri mula terkenang saat dia menjadi guru sandaran di sebuah sekolah di Felda Triang. Petang Rabu itu, di sekolah ada latihan sukan. Yuri tiba lebih awal dari biasa. Dia menunggu masa latihan dengan menyemak buku anak-anak muridnya. Sesekali dia menggelengkan kepala. Masih ramai anak muridnya yang tidak menyiapkan latihan. Yang ada pula, banyak salah. Selalunya Yuri akan merancang dan mencari jalan pemulihan semula. 15 buah buku telah siap ditanda.
Di bilik guru kelihatan cikgu Riduan sedang khusyuk main game pinball di komputer.
” Oi...tak jemu-jemu ke main menda alah tu ? Kau main lama mana pun tak boleh tanding markah aku la.” Sapa Yuri pada Duan.
“ Hek eleh Yuri, markah kau ni bukannya banyak sangat, jap lagi kau tengoklah nama sapa paling atas.”
“ Ok...kalau nama kau boleh ada atas sekali, aku buatkan kau air teh hari ni.”
“Ok....tunggu.” Duan mencabar Yuri.

Yuri mengintai ke dapur mini sekolah itu yang agak tersorok di sebalik rak alatan lukisan. Di situlah kebiasaannya cikgu-cikgu di sekolah itu membancuh air kegemaran masing-masing. Yuri lega bila melihatkan balang Teh Boh masih berisi. Susu dikeluarkan dari dalam peti ais. Yuri sudah bersedia awal-awal. Dia tahu Duan pasti akan mengotakan janjinya.

“ Wuuhoooo….ha Yuri…mana air teh aku?” jerit Duan lantang dari hadapan bilik guru seluas 2 kelas itu. Yuri yang baru memetik suis cerek letrik di ruang belakang tersentak.
“ Tengah masak la ni oi…” jawab Yuri keras. Dia sudah menyangka. Dia mencapai jag air putih. “Alang-alang buat…baik buat banyak terus. Aku pun boleh tumpang sekaki,” Yuri menggumam.
Duan menghampiri mejanya dan mencapai sport shoes lusuhnya. Dia duduk sambil memakai kasut serta memandang ke arah Yuri.
“ Cepatlah Yuri…haus dah tekak aku ni.”
“ E eh…sabar la, tak nyempat-nyempat.”
“ Tu la cabar aku lagi….ni Duan la, pantang dicabar.”
“ Hmm…kalau kau tak menang pun tadi, aku memang niat nak buat air pun.”
“ Heh…alasan orang yang dah kalah selalunya macam tu la.” Riduan menyindir. Dia mengangkat kaki kanannya ke atas kerusi sambil kedua belah tangannya mengikat tali kasut. Badannya diampukan ke lutut sementara kaki kirinya bergedik-gedik mengikut rentak lagu dari radio yang dipasangnya.
Sepantas kilat juga Yuri mencapai tuala buruk lalu dilemparkannya ke arah Duan. Duan yang perasan melalui ekor matanya, sempat mengelak. Persis berlatih kungfu lagaknya.
“ Ooo…main kotor ye.” Marah Duan lalu mengambil tuala itu yang jatuh ke bawah mejanya. Dia berjalan ke arah Yuri dengan kaki kirinya yang masih belum berkasut. Yuri segera melarikan diri melalui pintu hujung sekali sambil ketawa besar. Dia terhenti bila melihat Duan tidak lagi mengejarnya.
“ Lepas ni….siap la kau.” Ugut Duan dari arah pintu. Kemudian menyambung memakai kasut. Yuri berpatah balik ke belakang. Dia menyambung kembali kerjanya yang tergendala. Dia membancuh air teh sepenuh jag. Duan berlalu dari mejanya menghala ke padang. Dia sempat melemparkan semula tuala buruk tadi ke atas sinki. Yuri hanya tergelak kecil.
Begitulah selalunya bila dia dan Riduan berjumpa. Ada sahaja bahan untuk digaduhkan. Walaupun Yuri hanya guru sandaran di sekolah itu, semua guru di sekolah itu melayannya dengan baik dan mesra.

Sebulan yang dulu, Riduan pernah menguncinya dalam kantin. Dia terpedaya dengan helah Duan. Masa tu ada majlis sembahyang hajat di sekolah mereka.
“ Yuri, jap.” Duan melambai tangan. Dia dan Shidi bercekak pinggang di kantin sekolah. Yuri yang tidak dapat mengagak bahawa Riduan sudah ada plan sendiri hanya mengikut.

“ Jom...angkat pinggan dalam besen tu. Shidi nak angkat tong gas,” ajak Duan sambil menjuihkan mulutnya yang tak berapa nak hensem tu.

Duan menunjukkan besen yang penuh berisi pinggan dari dalam kantin. Tong gas yang dimaksudkan ada di hadapan Shidi. Yuri sedikit pun tidak mengesyaki bahawa senyuman Duan dan Shidi ketika melambai tangan ke arahnya ada makna lain.
Sebaik sahaja Yuri melangkahkan kakinya ke dalam kantin, Duan segera menarik pintu dan menutupnya dari luar. Suis lampu dimatikan. Suasana dalam kantin menjadi gelap gelita tanpa sebarang cahaya. Duan dan Shidi mendiamkan diri di luar.Yuri tersentak. Lalu dengan lantang dia menjerit sekuat hati.

“ Duan...!. Wei....bukaklah....” Daun pintu kantin diketuk bertalu-talu dengan kuat. “ Duaaannnnnnnn........” Yuri menguatkan lagi jeritannya. Tangannya memulas-mulas pemegang pintu. Tak cukup dengan itu dia menendang pintu dengan tendangan maut. Telinganya menangkap suara ketawa terbahak-bahak dari luar. Kemudian pintu itu terbuka. Duan dan Shidi masih ketawa terbahak-bahak sambil masing-masing menekan perut tanda kelucuan. Gembira sangat mereka dapat mengenakan Yuri yang mereka tahu sememangnya penakut. Takutkan gelap.
“ Duan...! mengada kau....” Yuri menghampiri Duan dan mencubit lengan sasa itu. Riduan hanya mengaduh kesakitan. Dia tidak pula melarikan diri dari cubitan itu. Dia menggosok-gosokkan lengannya tanda pedih.
Yuri menghentakkan kakinya kuat ke kaki kanan Duan. Duan tidak sempat mengelak. Giliran Yuri pula mentertawakannya. Shidi di sebelah cuma jadi pemerhati dan penyokong sahaja. Yuri segera berlalu.
“ Oi....pinggan ni marilah angkat.” jerit Duan bila dia lihat Yuri mengangkat kaki berlalu meninggalkan mereka.
“ Ah....kau angkatlah sorang.” Jawab Yuri sayup tanpa menoleh ke belakang.
Duan mengurut-urut kakinya yang kesakitan. “ Ganas betul la si Yuri ni. Tapi penakut.” getusnya dalam hati. Dan dengan keadaan yang masih terhencut-hencut itu, dia mengangkat besen itu ke atas bahunya. Dia dan Shidi beriringan ke surau sekolah. Dalam ramai-ramai guru bujang di sekolah itu, Riduan suka menyakat Yuri sebab gadis itu suka melawan. Riduan rasa terhibur dengan keletah Yuri yang agresif. Tetapi gadis itu kadang-kadang dilihat seperti sedang dilanda masalah.
Bagi Yuri pula, terasa kadang-kadang hidupnya sunyi. Kadang-kadang terasa gembira sangat. Dan dia cukup tak suka bila tiba musim cuti sekolah. Bagi sesetengah guru, terutama yang sudah berkeluarga, musim cuti sekolahlah saat yang paling ditunggu-tunggu. Masa untuk bersama keluarga. Tapi bagi diri Yuri, waktunya lebih terhibur semasa bekerja. Di kelilingi rakan-rakan. Bersembang dan berkongsi cerita apa sahaja. Walaupun hanya 3 bulan masa untuk Yuri memberi khidmatnya kepada sekolah itu, dia terasa seperti sudah bertahun bekerja di situ.



Selesai latihan sukan, Duan menyambung kegiatan waktu petangnya dengan bermain badminton.
“ Yuri, jom tengok aku main, kau jadi pengadil.” Lunak je suara Duan mengajak Yuri semasa mereka sama-sama mendaki tangga dari padang.
“ Aku reti main je...undang-undang dan kiraan mata aku tak tahu.”
“ Hish...kata terror bab-bab sukan. Takkan undang-undang badminton pun tak tahu,” tempelak Duan.
“ Aku squasy pandai la....” Yuri membalas. Sengaja mahu lari dari topik.
“ Eleh...squasy konon, ntah-ntah gelanggang squasy pun kau tak pernah tengok,” senyum kambing Duan sangat dibenci oleh Yuri.
“ Setakat gelanggang squasy tu apa la sangat.”
“ Jomlah...” Duan tidak putus asa memujuk.
“ Malaslah aku...kau bukan terror sangat main, hari-hari asyik kalah, buat malu je.”
“ Kalah....! aku selalu menang apa. Takde orang boleh challenge aku tau”. Duan menuturkan kata bongkak.
“ Setakat lawan dengan Cikgu Zamri, memanglah kau yang menang, cuba lawan Pian tengok...” Yuri mencabar kemudian ketawa. Terbayang perut boroi Cikgu Zamri. Mana larat orang tu nak lari sekejap ke kanan sekejap ke kiri mengambil smash Duan.
Duan faham rentak tawa Yuri. Dia pun turut sama tertawa. “ Aku lawan Shidi la petang ni,” kata Duan. “ Tapi sebelum main, aku nak minum air yang kau buat tadi la,...haus.” Duan mencapai gelas.
“ Huh, air dah sejuk baru nak minum.”
“ Sejuk la best. Hmm.....sedap air kau Yuri, lain kali buat lagi ye.” Duan memuji sambil menuang segelas lagi lalu minum dengan lahap.
“ Hmm....memuji tu sokmo ada niat lain. Tak kuasa aku, nak, buat sendiri.” Yuri mengejek.
”Lepas minum, gelas tu basuh sendiri ye...” pesan Yuri sebelum meninggalkan Duan. Duan tersengih macam kera dapat bunga.

Itu cerita bertahun yang dulu. Agaknya, apalah khabar Duan sekarang....rindu pula pada kenangan itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 3


“ Hai...awal. Malam tadi tak berjaga ke ?” sapa Suhaidi.

Zahar hanya tersenyum menampakkan baris giginya. Suhaidi pula disapa kehairanan melihat rakannya itu hanya tersenyum memberikan jawapan. Zahar membuka kasut dan terus memasukki pejabat. Mejanya yang berselerak dengan pelbagai fail dikemaskan satu persatu. Dicapainya kertas checklist yang diletakkan atas meja.
Kemudian dia bergerak semula ke luar. Ada kerja yang perlu dibereskan. Sebagai juruteknik letrik, kerja di hotel itu tidak menentu. Ada kala banyak kerja, ada kala boleh goyang kaki lepak-lepak. Bergantung pada keadaan dan aduan kerosakkan.

“ Oi...tak tunggu aku ke ?” jerit Suhaidi lalu bangkit dari kerusi dan mengejar Zahar yang telah jauh berjalan ke hadapan.

“Apa kena kau hari ni, selalu tak pernah tinggal aku..?”.
“Jangan banyak cakap, kalau nak ikut, mulut diam,” arah Zahar sambil menunjukkan screw driver dari dalam poket seluarnya. Suhaidi meletakkan jari telunjuknya di mulut tanda mengikut arahan. Namun screw driver yang dipegang oleh Zahar tetap singgah ke kepalanya perlahan.

Suhaidi mengaduh kesakitan, tak berani bersuara. Tingkah laku Zahar lain benar tak seperti biasa. Serius. Dan lebih penting, dia menghormati Zahar kerana lelaki yang setahun lebih tua itu, banyak mengajarnya tentang selok belok kerja di hotel itu sejak dia mula-mula kerja lagi. Zahar orang lama.
Selesai kerjanya, jam sudah pun menginjak ke pukul 12.00 tengahari. Zahar mengambil keputusan untuk segera balik ke rumah. Hari ini hari Jumaat. Dia perlu bersiap-siap untuk solat Jumaat.
Sebelum ke masjid, Zahar cuba mendail nombor telefon empunya mesej malam tadi. Ada nada lagu Sixth-sense di hujung talian. Asyik mendengar, Zahar terleka, entah berapa lama dia menunggu-nunggu talian telefon yang didail itu diangkat. Wajahnya hampa. Sudah 3 kali dia mendail nombor itu. Kemanakah agaknya tuan empunya telefon itu. Lalu dia memutuskan untuk meninggalkan mesej sahaja.
Yurihani mengusap-ngusap perutnya sebaik keluar dari tandas rumahnya.
“Aduh...kenapa sakit sangat perut aku ni...tadi makan apa?” Yuri cuba mengingat semula makanan yang dimakan di gerai tadi.
“Agaknya kerang tu kot,” dia meneka sendiri.

Mee teow goreng berisi kerang yang dimakan tadi terbayang di depan mata. Dah 2 kali dia berulang masuk ke tandas. Kawan serumahnya Izzah belum pulang lagi. Pukul 5.30 nanti baru ada di rumah. Hari Jumaat begini, dia pasti kawan serumahnya itu sedang meronda cuci mata ke pasaraya berdekatan. Maklumlah, orang lelaki semuanya sibuk menunaikan solat Jumaat.
Yuri menekan butang on di laptopnya. Sementara menunggu pukul 5.30, dia melayan facebook dahulu. Begitulah selalunya Yuri menghiburkan hatinya. Dalam keasyikkan dia melayan dan mengemaskini data dan profilnya, Yuri teringatkan telefonnya yang masih berada di dalam kereta.

Sebaik sahaja telefon dicapai, dia menolak telefon jenis slide itu ke atas. Ada 4 mesej baru dan 3 misscall kelihatan. Bila Yuri membuka mesej tertera ayat

~ Alhamdulillah..dah sampai ke tuannya. Bila nak belanja saya makan ?~

Yuri hampir tergelak kecil dengan isi kandungan mesej pertamanya itu. Selebihnya cuma mesej pemberitahuan dari Celcom dan Chanel X. Di ruangan log telefon, Yuri melihat nombor yang sama dengan mesej pertama tadi.
“Mesti dia telefon tadi, aku balas mesej jugaklah,” detik hati Yuri. Bagaikan ada bisikan meminta dia menyukai lelaki yang menghantar mesej itu. Mesejnya pendek tapi agak mendalam maknanya.

~ Saya cuti hari esok, kalau nak saya belanja, awak datanglah ke Restoran yang sama malam ni ~

Begitu mesej Yuri yang ditaip dan dihantar ke empunya mesej itu. Kemudian dia menepuk dahinya sendiri. “Alamak...kenapa aku tak tanya nama sekali tadi..”. luah hati yuri.

Zahar tersenyum lagi apabila mesejnya berbalas. Dia berkira-kira mahu menulis apa sebagai balasan.

~ Okey....jumpa awak di sana pukul 9.00.....Zahar ~

Yuri tidak menyangka bahawa lelaki X yang sudah dikenali sebagai nama Zahar itu lebih bijak meneka apa yang bermain di fikirannya.
“Tapi macam mana nak jumpa dia...aku tak kenal dia, dia pun tak kenal aku,” bisik hati Yuri. Lagi mesej dihantar kepada lelaki itu.

~ macam mana saya nak kenal awak ? ~
~ Jangan risau, saya kenal awak, saya takkan suruh orang lain menyamar jadi saya macam dalam cerita ‘ Ibu mertuaku’ tu. Wajah awak susah nak dilupakan...ok~

Ada kehairanan di muka Yuri. “Macam mana pulak dia boleh kenal aku. “Aku kenal dia ke ?.” Yuri mula mengingat-ingat wajah manusia yang sempat dirakam oleh ingatannya malam itu. Rasanya tak ada seorang pun yang dia kenal atau biasa lihat.

Bagi Zahar pula, dia masih mencongak-congak sempatkah dia menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Temerloh dalam masa 3 jam sahaja. Waktu petang biasanya jalan akan sesak dek menampung manusia yang berebut-rebut ingin pulang ke rumah. Namun, semua itu diketepikan dan tidak langsung mahu difikirkan, yang penting dia ingin segera tiba di sana dan menemui semula gadis itu.

Malam seperti yang dijanjikan, seawal pukul 8.00 malam, Yuri sudah bersiap-siap untuk keluar. Dia mengenakan t-shirt berlengan tiga suku warna merah putih. Kemudian menyolekkan mukanya hanya dengan sapuan makeup nipis. Sambil menunggu jam ke pukul 8.45 malam, dia mengikis kukunya supaya kelihatan berkilau. Cincin bermata ungu muda yang dipakai di jari manis tangan kirinya dipusing-pusingkan tanda kegelisahan. Dia seperti sudah tidak senang duduk, lalu Yuri mengambil kunci keretanya dan memecut terus ke Restoran D’ Kenanga.
Yuri memilih untuk duduk di meja semalam kebetulan meja itu masih tiada pelanggan. Dia menunggu-nunggu sambil mengerling jam di tangan. Tepat pukul 9.00 malam, kelibat orang yang berjanji langsung tiada bayang. Yuri hanya memesan air apabila pelayan restoran meminta order.

Selesai mandi dan bersolat Asar Zahar bergegas keluar dari rumahnya. Jam baru pukul 6.00 petang. Sekadar mengenakan t-shirt warna biru tua belang-belang yang dibiarkan keluar sambil dipadankan dengan jeans jenama Lois yang hampir sama warnanya. Rambut depannya sengaja disikat tegak ke atas, fesyen anak muda sekarang.

Setibanya di simpang tiga menghala ke jalan besar depan rumahnya, telefon bimbitnya berdering bertalu-talu. Zahar memberhentikan keretanya di bahu jalan.

“ Mesti dia telefon ni,” Zahar meneka, namun mukanya berubah kelat bila nama yang tertera di skrin telefonnya ialah Suhaidi. Zahar menekan punat bewarna hijau.
“Ha...apahal Di ?” tanya Zahar garang.
“Bang, bos telefon, katanya mustahak. Ada menda tak settle. Aku tunggu abang di loading bay,” suara Suhaidi seperti mengarah.
Tanpa sempat Zahar bertanya lebih lanjut, Suhaidi sudah pun meletakkan telefon. Zahar kebingungan. Macam mana dengan janjinya malam ini.
“Ah...! mungkin sekejap je agaknya. Takpelah, kat sana nanti aku telefon dia,” Zahar merancang. Dia kemudian berpusing balik menghala ke hotel tempat kerjanya di Jalan Kuda Emas. Dalam fikirannya ligat berfikir apakah perkara mustahak sangat hendak dibincangkan dengan bosnya itu sehingga tidak sempat dibincangkan esok.


“Saya minta maaf Zahar, saya terpaksa mintak tolong kamu berdua. Hari ni, Zaidi off emergency. Tinggal Rusdi sorang. Ada lebih 10 bilik mengadu aircond rosak, bilik air tersumbat dan lampu terbakar. Saya terpaksa telefon kamu untuk minta bantuan. Saya bimbang, kita tak sempat laksanakan, maklumlah, malam ni bukan ramai yang syif.”

Zahar terkejut dan matanya hanya memandang ke kiri, ke kanan dan ke kiri semula. Kemudian dia mengeluh perlahan. Walau hatinya memberontak, tetapi kerja tetap perlu diutamakan. Hotel yang sudah pun berusia 20 tahun itu sudah tentulah kerap berlaku kerosakkan. Suhaidi juga terkejut. Dia tidak menyangka sama sekali keputusan seperti itu yang bakal dibuat oleh bosnya itu. Sedang Zahar bangun penuh longlai dari sofa hitam di sudut bilik itu, En. Yusri memaut bahunya lalu dengan senyum sinis berseloroh.

“ Saya main-main sajalah. Cuma ada 5 bilik yang rosak. Rusdi sedang baiki bilik yg kedua. Kita uruskan sorang 1 lagi. Dan Suhaidi saya mintak awak ganti Zaidi syif malam ni. Esok awak cuti. Ok ?”

Zahar seperti mahu memeluk bosnya itu. En. Yusri walaupun kadangkala agak keras kepala tetapi bosnya itu memang memahami. Mungkin kerana dia juga masih bujang. Suhaidi pula tercengang-cengang. Zahar hanya menunjukkan ibu jarinya kepada Suhaidi.

Siap kerjanya, Zahar segera menguak pintu pejabat. Dia ingin segera menuju ke keretanya. Sebentar kemudian kereta Putra itu memecut laju meninggalkan Hotel itu.
Yurihani semakin gelisah. Dia cuba memandang-mandang sekeliling. Matanya singgah di setiap meja yang diduduki oleh anak-anak muda. Mereka yang perasan Yuri memandang, membalas pandangan Yuri dengan senyuman menggoda. Yuri segera memalingkan muka. Dia mengerling jam. Pukul 8.55 malam.

“Mana mamat ni..janji pukul 9.00...lagi 5 minit je lagi, bayang pun takde. Takpe aku bagi 15 minit lagi kat dia. Kalau dia tak muncul juga aku blah.” Yuri seperti membuat perjanjian dengan dirinya sendiri.

Dia mengeluarkan telefon dari dalam poket seluarnya. Tiada sebarang misscall, tiada mesej.Yuri mula menggoyang-goyangkan kakinya. Straw dalam cawan tirus itu dipusing-pusingkan. Air jus Epal yang dipesannya tadi sudah habis disedutnya.

“Entah-entah mamat ni main-mainkan aku je kot”. Duga Yuri mula berprasangka. Dia cukup benci menunggu. Kedengaran keluhan Yuri dalam. Dia bersandar ke kerusi, memerhatikan televisyen yang berada di hadapannya.




Zahar memecut keretanya selaju yang boleh. Meternya mencecah ke angka 130km/j di highway. Dia baru teringat untuk menelefon Yuri. Dia mencapai telefonnya dari seat sebelah kiri.

“Habis bateri lah pulak..., bila masa habis ni ?” Gerutu Zahar.

Kalau dia perasan bateri telefonnya dah hampir habis tentu dia menelefon Yuri lebih awal. Kemudian dia menepuk dahi pula. Baru dia teringat, masa perbincangan dengan Suhaidi dan En. Yusri tadi, dia tertinggal telefonnya dalam kereta. Patutlah dia tidak perasan bila telefon itu kehabisan bateri.

Jam keretanya sudah menunjukkan ke pukul 9.00 malam sedangkan Zahar baru mencecah masuk kawasan Lanchang. Lagi setengah jam baru sampai Temerloh. Hendak diberhentikan kereta dan menelefon gadis itu pun, dia tidak ingat nombor telefonnya.

“Mesti dia tunggu kot,” Zahar memujuk menyedapkan hatinya sendiri.

Yuri sudah rimas. Dalam kepalanya memang menyangka lelaki bernama Zahar itu sekadar memainkannya.

“Kalau tidak mesti dia telefon,” bisik hati Yuri.

Dia melambai pekerja restoran. Setelah membayar bil minumannya, Yuri memecut keretanya laju tanda kesal. Radio Era sengaja dikuatkan. Lagu-lagu pilihan malam itu memang mengasyikkan. Dia hampir menangis. Menangis kerana mengenangkan dia terlalu mudah mempercayai mesej dari lelaki yang tidak dikenalinya.
Dan malam itu Yurihani hanya memerap di dalam bilik sambil mengadap laptop mencoret diarinya. Telefon disisinya itu di offkan.
Zahar mencari-cari di sekeliling. Meja yang pernah diduduki oleh gadis itu diduduki oleh sepasang kekasih. Setelah memilih meja di sudut kanan meja itu, dia memesan air teh O panas segelas. Dia masih memerhatikan sekeliling. Dia pasti gadis itu sudah jemu menunggu, sementelah jam sudah pun menginjak ke pukul 9.30 malam. Namun Zahar masih setia menunggu. Sehingga jam hampir ke pukul 10.30 malam, Zahar mengambil keputusan untuk pulang semula ke Kuala Lumpur. Dia akan menefon gadis itu setibanya di sana nanti.

Tepat jam 12.40 malam, Zahar mendail nombor itu. Hanya mesin yang menjawab salam Zahar. Zahar mencuba lagi. Namun masih sama seperti tadi.

~ Maaf, saya terlewat. Ada discussion dengan bos saya hingga pukul 7.30. Bila saya tiba di sana jam dah pukul 9.30 malam. Saya tak pasti adakah awak ada menunggu saya, maaf juga kerana handphone saya kehabisan bateri.~

Zahar menekan nombor telefon gadis itu. Dia berharap tekaannya betul. Dia tidak berharap mesejnya berbalas. Dia cuma ingin membuat penjelasan, mana tahu gadis itu mungkin menunggu penjelasannya. Dia bersandar keletihan di sofa warna kelabu itu. Kepalanya didongakkan ke atas dan kaki dilunjurkan lurus ke hadapan. Remote astro ditekan menghala ke televisyen.

Telefon Zahar berbunyi pendek. Ada mesej masuk. Dia bingkas bangun, menerkam telefonnya dari atas meja.

~ Salam. It’s so k. Kita jumpa lain kali. Tapi awak yang kena belanja...~
Mesej dari Zahar yang masuk sebaik sahaja dia menghidupkan semula telefonnya itu, dibalas segera. Yuri sengaja memancing lelaki bernama Zahar itu. Dia tersenyum-senyum seorang diri sambil menunggu-nunggu mesejnya berbalas.

~ Emm...tak jadi masalah. Saya tunggu awak waktu yang sama hari Ahad, boleh ? ~

Yuri terkena. Dia sangka lelaki itu akan mengelak.

~ Tengoklah, kalau saya ingat...... Yurihani~

Yuri sengaja memancing lagi. Tapi dalam hatinya sangat sangat excited.

~ Saya tetap akan tunggu cik Hani...~

“Hmm...tak mengalah nampaknya.” Hati kecil Yuri berbisik. Yuri rasa sedikit janggal bila orang membahasakannya dengan nama Hani.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 2


Cahaya suria pagi yang mengintai dari celahan langsir warna hitam itu memanah tepat ke mata Zahar. Dia terjaga dari lena lalu bingkas bangun menyiapkan diri. Uniform biru tua yang tergantung di belakang pintu dicapainya. Seperti kebiasaan uniform itu dipadankan dengan sebarang t-shirt di dalam dan seluar jeans lusuh warna hitam. Sebatang pen dan kunci kereta dimasukkan ke dalam poket seluar depan. Dia menyisir rambutnya. Bibir yang berhias kumis nipis itu menguntum senyum. Sekadar menceriakan diri sendiri pagi itu supaya bersemangat ke tempat kerja. Akhir-akhir ini dia terasa sangat bosan ke tempat kerja. Walaupun sudah lebih 10 tahun bekerja di sana, kehadiran pekerja-pekerja baru yang dirasakan sangat menyesakkan kepala dan tunjuk pandai. Bukanlah dia nak berlagak tetapi seharusnya orang baru kenalah lebih menghormati pekerja lama.

Dia keluar menuruni anak tangga rumah flat itu menuju ke keretanya. Ketika asyik mendengar radio sambil menunggu enjin keretanya panas, dia meraba poket belakang mencari-cari sesuatu.

“Aik..! .aku tak bawa telefon ke,” detik hatinya.

Lelaki itu mengorak langkah semula ke rumahnya di tingkat 1.

“Hmm..memang tertinggal pun..!” sangkaannya tadi benar.

Telefon warna silver itu masih berada di atas meja sudutnya. Sebaik sahaja tangan kanannya mengenggam telefon itu, dia seperti terpandang perkataan

‛ 1 mesej baru ’ Dia menekan butang ok.

~ Salam. Awak ke yang jumpa dompet saya di Restoran D’Kenanga semalam? Terima kasih~

Lelaki itu segera menekan-nekan cursor supaya ke bawah. Tertera

Penghantar :
+60199067433
Diterima:
11:14:05pm
08-10-2010

Bibirnya terus menguntum senyum lebar. “ Dah dapat rupanya,” Hatinya mula berbunga riang. Mesti mesej itu masuk ketika dia sudah pun lena dibuai mimpi. Dia menuruni anak tangga dengan wajah ceria. Kereta Putra warna hitam mutiara itu meluncur laju membelah keheningan pagi. Dia masih menguntum senyum. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia mendail nombor itu.

“ Ah...rilek bro, tak kemana,” hatinya memujuk.

Dia teringat kejadian di Restoran itu. Dia sedang makan bersama kawan sekampungnya Shah, Arman dan Farhan. Ketika ingin menghirup air milo panas yang dipesan, telinganya menangkap bunyi gelak tawa manja dari meja sebelah kanannya yang agak terlindung dek pepohon bunga kertas. Berbantukan samar lampu kelip-kelip restoren itu, dia menjadi asyik memandang wajah manis gadis bertudung paras bahu itu. Sesekali dia melayan lawak rakannya, tetapi matanya banyak diarahkan kepada gadis yang sedang makan berdua bersama kawannya itu.

“Wei Har, kau pandang apa? khusyuk sangat aku tengok. Kau dengar tak cerita aku ni ?” Zahar segera menoktahkan renungannya pada gadis itu.

“Dengarlah...”, dia segera membalas pertanyaan Shah lalu turut memalingkan mukanya ke arah kawan baiknya itu.

Rokok yang hanya dikepit di jari tangan kanannya itu dibiarkan terjuntai dihujung meja. Hanya sesekali sahaja dia menyedut asap rokok itu dan melepaskannya perlahan.
Dia menyambung cerita semula dengan Shah namun matanya masih mengerling ke kanan. Agak lama juga dia dapat mengamati wajah gadis itu yang dirasakan sangat ayu bertudung. Entah apa yang menjadikan matanya sangat berat untuk dialihkan. Seperti ada gam yang melekatkan pandangannya. Mahu dibingkaikanya sahaja wajah manis itu. Setelah itu, akan digantungkan di dadanya sebagai mengisi kekosongan hati. Hatinya berdetik untuk menghulurkan salam perkenalan, tetapi otaknya pula menolak. Buatnya gadis itu buat dek je dengan huluran salam dia nanti bagaimana. Mahu tebal seinci mukanya nanti.

Hampir ke 11.00 malam, gadis ayu itu bangkit dari tempat duduknya. Hanya dompet sahaja yang dibawa bersama sementara handbagnya dibiarkan diatas meja. Dia menuju ke kaunter bayaran. Dia dilihat kembali duduk bersama kawannya dan 5 minit kemudian bangun bersama-sama.
Mereka melintasi tempat duduk Zahar dan kawan-kawannya. Zahar hanya menundukkan muka buat tak cakna sedang hanya Farhan, Shah dan Arman yang senyum-senyum kambing memerhatikan mereka berdua.

“Eh..dah pukul 11 lebih ni, jomlah. Esok aku kerja, jauh ni nak balik,” Zahar memberi cadangan. Kawannya masing-masing melihat ke arah jam tangan. Kemudian mengangguk tanda setuju.

“ Korang jalan dululah, hari ni aku belanja,” sambung Zahar lagi. Dia lalu bangun ingin menuju ke kaunter namun terhenti melangkah apabila dirasakan ada sesuatu yang dipijaknya.

Zahar menunduk. Kelihatan dompet comel berwarna merah. Tanpa sengaja dia terus membuka dompet itu. Terpandang wajah pada lesen memandu itu tak ubah seperti gadis manis yang direnungkannya sebelum ini. Dia mengerling semula ke arah jam tangannya yang dipakai sebelah kiri. Dah 20 minit berlalu sejak gadis itu melintasi mejanya tadi. Mesti dompet itu terjatuh tanpa dia sedari.

Zahar memandang-mandang ke kiri dan kanan sambil dompet itu diketuk-ketukkan ke telapak tangan kirinya. Dia mencari-cari buah fikiran, bagaimanakah caranya dia boleh memulangkan dompet itu. Budak lelaki yang bertopi merah dan memakai t-shirt hitam itu sedang mengemas meja gadis ayu tadi.

“ Dik..minta kertas sehelai dan pinjamkan abang pen sekejap boleh ?” tanya Zahar kepada pelayan itu.

Budak itu mengangguk, segera memberikan Zahar sehelai kertas dan pen warna hitam. Dia menyambung kembali kerjanya mengemas meja tersebut sementara Zahar ligat menulis sesuatu di atas kertas dan menyelitkannya di bawah lesen memandu di dalam dompet itu. Setelah dia mengucapkan terima kasih, dia menuju ke kaunter bayaran. Kemudian kembali mendapatkan kawan-kawannya yang menunggu di parking kereta.
Dalam kepekatan malam yang semakin dingin, Proton Putra Zahar dan Vios milik Zuriana berselisih di bahu jalan Restoren. Zahar yang leka memandu terus memecut keretanya laju menghala ke Kuala Lumpur. Esok dia kena bangun dan masuk kerja awal dari hari biasa. Ada meeting dengan bos berkenaan perubahan jadual. Cuti yang diambil selama 2 hari pulang ke kampung dirasakan seperti baru 2 jam berlalu. Esok, bermula semula rutin jadualnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

RINDU AWAK SAYANG AWAK ~ Bab 1


Yuri kelam-kabut melarikan diri dari dilihat oleh En. Hazman. Dia tidak mahu kelibatnya sebentar tadi dapat dihidu oleh bosnya itu. Dia ingin segera pulang ke rumah. Rehatkan otaknya yang tengah berserabut. Sudah tiga kali dia tersilap jadual meeting En.Hazman. Melenting betul bosnya itu sekembali dari Restoren D’Palma hari ini.

“ Yuri, masuk hari ni, dah 3 kali awak silap beritahu jadual meeting saya. Sepatutnya meeting pukul 2.00 tadi awak beritahu saya pukul 3.00. Semalam sepatutnya saya meeting dengan En. Rahman di Rest House Kemuning, awak beritahu saya meeting di Coffee House Bukit Indah, kelmarin punya cerita belum habis, hari ni awak buat jadual lain pulak untuk saya, apa kena dengan awak ni hah ?” Bentak En Hazman sambil menghempas fail dan begnya atas meja. Dia bercekak pinggang. Perjumpaan dengan clientnya, semuanya tidak menjadi gara-gara Yuri. Melepaskan kes, bermakna melepaskan keuntungan juga.
Yuri menunduk tanda bersalah. Sedikit pun dia tidak berani bertentang mata dengan bosnya itu. Dia sendiri pun tidak ada jawapan pada soalan En. Hazman. Dia manusia yang buat dua kerja dalam masa yang sama, dialah kerani, dialah setiausaha. Bekerja dengan syarikat yang baru menapak mungkin makan masa untuk mengatur diri. Entahlah, apa kena dengan dia hari ini, semalam dan kelmarin. Yuri merasakan hanya jasadnya sahaja di pejabat, tetapi fikirannya jauh memikirkan perkara lain. Ada kala..Yuri tersenyum tiba-tiba. Dia faham benar sikapnya sendiri...
“Dah sewel aku ni agaknya,” hatinya berbisik sendirian. Lantas bibirnya menguntum senyum semula hingga sukar untuk diselindungkan lagi. Dia menyelinap disebalik pintu, meninggalkan bosnya yang masih khusyuk membelek-belek fail.

Esoknya...Yuri berubah sikap lagi. Dia tersenyum sepanjang hari. Semua kerja dia nak buat. Kopi yang selalu diminta oleh En. Hazman awal-awal lagi dia sudah siapkan. Malahan hari ini dia rela hati membeli 3 kuntum bunga ros warna pink , dan dihiaskan di atas meja bersebelahan komputer En. Hazman, walaupun dia tahu poketnya sudah hampir nyawa-nyawa ikan.

Fail-fail En. Hazman disusun kemas di rak. Debu-debu merintik atas meja dilapkan sehingga berkilat. Tak cukup dengan itu, roti goreng berintikan sardin yang dibuatnya pagi tadi, dibungkus kemas dengan plastik kedap udara. Diletakkan bersama-sama segelas air kopi yang telah dibancuh dalam pot tahan panas. Kemudian dia menarik sehelai kertas putih dari atas meja En. Hazman sambil mencoretkan sesuatu...

~ Saya buatkan En. Hazman sarapan. Saya minta maaf atas semua kesilapan saya. Promise, no more mistake after this ~

Yuri menyelitkan nota pada celahan bunga ros. Dia berharap En. Hazman dapat memaafkannya. Dia memandang roti goreng yang dibuat. “Harap-harap dia suka,” getus hati Yuri. Dia kemudian berlalu meninggalkan bilik En. Hazman menuju ke mejanya menyambung kerjanya yang tergendala semalam.

Pukul 10.00 pagi baru kelihatan En. Hazman melangkah masuk ke pejabatnya. Dia melewati meja Yuri tanpa menoleh sedikit pun ke arah Yuri yang duduk cuma bersebelahan pintu biliknya itu. Yuri cuma mampu senyum kelat. Dia menganggap bosnya itu masih lagi marah tentang hal semalam. Dia masih memerhatikan kelibat En. Hazman sebaik sahaja masuk ke biliknya itu. En. Hazman seperti sedikit terkejut. Bila lelaki segak itu menoleh ke arahnya, segera Yuri melarikan pandangan sambil tangannya berpura-pura mengemaskan mejanya.

Hazman memandang semula ke mejanya yang nampak kemas, ditambah pula dengan hiasan bunga ros dan sedikit sarapan. Terlihat sekeping not yang diselitkan di situ. Dia tersenyum selepas membaca kandungan nota itu.
“Elok juga ada sarapan, aku pun belum makan lagi,” bisik hati Hazman. Dia melepaskan kot dan menyangkutnya pada kerusi. Dia membuka penutup bekas minuman. Bau kopi semerbak menusuk ke hidungnya. Tangan kanan mencapai roti goreng. Dia kemudian menghirup kopi yang dipegang di tangan kiri dengan penuh nikmat.

Jam dinding baru menunjukkan pukul 3.30 petang. “ Emm..lagi setengah jam nak balik dah ni,” Yuri mula mengemaskan barang. Panas betul hari ni, tapi malam hujan lebat pulak. Syarikat swasta lain mungkin habis waktu kerja pukul 5.00 petang tapi syarikat ni pukul 4.00 petang dah boleh kemas. Awal sejam, sebab tu Yuri bertahan kerja di sini.

Telefon dari dalam handbagnya dibawa keluar. Sepantas kilat jemarinya menekan-nekan nombor, menulis mesej.

~Zu...jom keluar malam ni, boringlah...~

Handphone diletak kembali atas meja.. Tak sampai 5 minit telefon Yuri berbalas. Segera dicapainya telefon sambil matanya pantas membaca. Yuri tersenyum. Zuriana kawan baiknya itu bersetuju dengan cadangannya.
~Ok juga, aku pun boring ni~
~Kau belanja aku yek....duit takde ni~
~Habih...kau ingat kalau kau belum gaji...aku dah gaji ke?~
~He he...aku saja gurau la...kita minum air kosong jelah..~
~Cis..kalau setakat minum air kosong, buat habis minyak
kerete aku je jumpa kau~
~okla2...kita minum air kaler...pukul berape nih ?~ Yuri mengalah. Zuriana memang selalu nak menang.
~emm...pukul 8.30 boleh, aku ambik kau la~
~kalau kau tak cakap, aku memang nak suruh kau datang ambik pun, he he...ok..jumpa nanti~
~Bila aku sampai kau dh ready...jangan baru terhegeh- hegeh nak pakai tudung la..make-up la..~Arah Zu yang faham benar sikap Yuri. Janji jumpa pukul 8.30 boleh jadi pukul 8.45 baru siap.
~Ye..tuan puteri, aku siap awal...boring ni~
Yuri menjawab mesej sekilas mencampakkan telefon ke dalam handbagnya semula. Beg laptop digalas. Botol air, kunci kereta dan handbag dijinjit sepenuh tangan.

Deruman enjin kereta Viva warna putih itu mula kedengaran. Yuri memulas butang aircond dan radio. Lagu Sofia Jane nyanyian Black sedang berkumandang. Jarinya ligat menekan punat volume hingga 13. Sudah menjadi kebiasaan, Yuri suka mendengar radio sambil memandu.

“Hmm..mengantuk ni...kuat sikit lagi la,” Yuri menambah volume ke angka 15. Telefon yang dikeluarkan dari handbag dan diletakkan di sisi pintu kereta kelihatan turut terhenjut-henjut terkena momentum speaker radionya.

~ Kini telah kusedari...mimpiku tak beerti sendiri....
Seandai kau tahu..apa yang ku mahu..
Mahukah dirimu tuk mendekatiku
Dan aku tak bisa memaksa dirimu...
Walau dalam tidur ku kan menantimu...
Hingga akhir nanti ~

Yuri turut sama menyanyi. Kaki kirinya dihentakkan ke pedal rehat kereta mengikut irama seolah-olah sedang bermain drum lagaknya. Jalan lengang hari ini, 20 minit sahaja Yuri sudahpun sampai ke rumahnya. Beg laptop dilepaskan ke atas meja. Perasaan malas dan hambar tadi seperti sudah berkurangan dek haruman bunga ros yang menusuk lembut ke hidungnya.

Walaupun masih dalam berkira-kira, tanpa disedari jari telunjuknya sudah pun menekan punat plug di sudut dinding. “ Layan....,”getus hati Yuri sambil tangannya ligat menekan button on pada laptopnya. Nama Yurihani Hizwan sudah terpampang dihadapannya. Hanya ada 3 tanda merah di button notifications. “ Ai....takde orang tinggalkan mesej ke untuk aku,” Yuri menggumam sendirian.

Yuri membuka notifications satu demi satu. Kemudian dia tergelak besar. Komen dari kawan-kawan facebooknya itu sungguh menggelikan hati. Sekurang-kurangnya perasaan hambar yang dirasakan di pejabat tadi sudah mula hilang. Dia menekan keyboard laptop. Menaip komen untuk dibalas pada kawannya, kemudian dia tersenyum seorang diri.
Kedengaran pula bunyi bip pada speaker laptop. Mata Yuri mengarah ke bawah. Kawannya Lynn dari Kedah sedang menunggu di kotak chat.
~Oi..buat apa ?~.
~Takde buat pe pun...tengok2 email je~.
~Kau keje mana sekarang ?~
~Aku pembantu je Lynn. Di Hazman and Chong Company.Kau sekarang keje ke ?~
~Dulu keje...sekarang keje jugak...keje rumahtangga?~
~Anak da berapa orang ?~ soal Yuri, pura-pura ingin tahu.
~Sepasang, kau bila nak kahwin?”.~
~Kalau boleh sekarang pun aku nak kahwin..he he ?~
~Dah tu..kenape tak kahwinnya ?~

Jari Yuri berhenti menaip seketika. Dia termenung sambil memikirkan apa jawapan yang paling tepat dan mudah supaya Lynn tidak terus-menerus menyoal tentang kahwin.
“ Adoi la si Lynn ni...apa aku nak jawab ni..?” Yuri menyoal dirinya sendiri. Sudah acapkali dia dilontarkan soalan sedemikian.

~ emm...aku kesiankan kawan aku, kalau aku kahwin dulu kang, sian dia sorang2, oklah Lynn aku dah nak off ni..chat lain kali~

Sepantas kilat Yuri menekan butang logout. Kawan satu sekolah menengahnya itu dijumpainya dalam facebook 2 minggu lepas. Itu pun gara-gara Reunion.

Yuri mengerling jam di dinding. “Alamak dah pukul 7.00 la” Yuri menutup daun laptopnya. Dia bergegas ke dapur. Kain baju dalam bakul dijinjing ke mesin basuh. Sambil mesin berputar, dia bergegas pula ke bilik air untuk mandi.

“Mujur hari ni off,” bisik hati Yuri pada diri sendiri sambil mencapai tuala jenama Kotex itu.
Dihadapan cermin, Yuri menyisir rambutnya yang dipotong pendek separas bahu seperti Irma Hasmie. Tetapi ramai yang mengatakan iras wajahnya seperti pelakon drama Lisa Surihani. Cuma kulitnya tidak seputih pelakon kegemarannya itu.

Alis matanya dilorek dengan maskara. Kelopak matanya disapukan dengan eyeshadow yang sama warna dengan t-shirtnya. Dicalitkan sedikit pemerah pipi dan sapuan lipstik nipis jenis watershine dari Maybelline. Disudahi dengan lipgloss warna natural. Bibir mungil itu berkilat dipanah cahaya lampu.

“ emm...siap,”

Yuri melihat jam di tangan. Baru pukul 7.40.

“Ada 20 minit lagi...baca buku dululah..”.

Yuri menarik novel berjudul ‘Terlanjur Menyintaimu’ karya Aidie Suradi. Dia duduk di ruang tamu mengadap pagar rumah. Dia menyambung bacaannya yang terhenti di mukasurat 105.

Baru bacaannya menginjak ke mukasurat 108, sekilas itu juga telinganya menangkap bunyi deruman enjin kereta di hadapan pagar rumahnya. Kemudian kelihatan Zuriana yang bertubuh kecil molek itu keluar dengan muka yang manis.

“ Amboi...cikgu ni, cantiknya, kalah aku, awal pulak, kata pukul 8.30,” sapa Yuri pada kawan baiknya itu sebelum Zuriana sempat memberi salam.
“Nasib baik kau dah siap tau, aku dah sediakan teks panjang lebar ni kalau kau belum siap tadi,” jeling Zuriana.
“ Tengok pukul 7.00 tadi macam nak hujan lebat, siap solat aku terus keluar la...kang lenjun pulak aku kena hujan, rumah aku mana ada garaj macam ni,” terang Zuriana sambil mendongakkan mukanya ke atas menunjukkan bumbung garaj rumah Yuri.

“ Kau nak masuk dulu ke atau nak pergi terus ?” Yuri menyoal Zuriana yang berbuai di buaian beranda rumah.
“ Pergi sekaranglah, lama sikit kita boleh borak-borak,” Zuriana memberi keputusan.
“ Ok, aku ambik handbag jap, ” Yuri segera ke meja kopinya mencapai beg tanganya.
Setelah mengunci pintu dengan kemas, mereka berdua beriringan ke kereta Vios milik Zuriana. “ Kemana kita ni ?”. Zuriana menyoal sambil memulas stering ke kanan.

“ Kau nak makan di mana ? Pernah try makan di D’ Kenanga?” Pertanyaan Zuriana di balas dengan soalan pula dari Yuri. “
“Belum, kat mana ? Apa yang special kat sana ?”.
“Emm.. aku tak pernahlah cuba pelbagai resepi dia tapi setakat ni aku selalu order Nasi Goreng Cendawan dia, ok, sedap. Jalan hala ke Mentakab. Aku suka tempat dia, meja-meja dia romantik, ada yang diletakkan bawah pergola, terselindung sikit, kalau nak berbual pun selesa,” Panjang lebar Yuri menerangkan kepada kawan baiknya itu. Maklumlah Zuriana baru setahun bertukar ke daerah Temerloh. Dia masih baru dengan kedai-kedai masakan panas di Temerloh ni.

“Kalau ada masakan melayu, aku no hal, boleh je,” Zuriana memberi jawapan.
“Okey cantik, kau u-turn depan ni nanti,” arah Yuri sambil tangan kanannya diarahkan ke hadapan. Zuriana segera memberi signal untuk mengambil u-turn.

Setibanya di restoren itu, mereka memilih satu meja yang diletakkan di bawah rimbunan pohon bunga kertas yang merimbun. Cahaya lampu yang tidak terlalu terang itu menjadikan suasana begitu sesuai bagi mereka yang sedang berkasihan.

“Aduhai...kenapalah aku belum dapat kekasih lagi,” bisik hati kecil Yurihani.

Lamunan Yuri dimatikan dengan pertanyaan dari pelayan restoren itu yang meminta order.

“Makan apa kak ?”
“Emm..bagi saya Nasi putih, tomyam campur, telur dadar sebiji. Kau nak makan apa Zu ?”. Soal Yuri.

“ Aku nak cuba nasi goreng yang kau cakap tadi, nasi goreng apa ?”.
“Oh, Nasi goreng cendawan satu, dan bandung special satu ye,” minta Yuri.
“Air kak ?” budak lelaki bertopi merah itu menghala pula pandangannya ke arah Zuriana.
“ Teh Ais limau,” Zuriana pantas menyebut.

Budak lelaki itu menulis dengan ringkas di kertas putih yang dipegangnya. Kemudian tersenyum sebelum beredar. Baju t-shirt hitam yang dipakainya bertulis D’ Kenanga dibelakang bahunya. Semua pekerja dilihat memakai t-shirt yang sama.
Sambil menunggu makanan siap, Yuri dan Zuriana mula bersembang perihal tempat kerja masing-masing. Tanpa mereka sedari..sepasang mata sedang asyik memerhatikan gelagat mereka berdua.

Zuriana berhenti di depan rumah Yuri. Yuri mencari-cari kunci pagar. Sementara mencari Yuri juga baru perasan dompetnya tiada dalam handbag kecilnya yang dilihat sudah terbuka zipnya.
“ Aku tak perasan pulak kau dah letakkan dompet kau dalam beg kau ke belum, tapi tadi ada di tangan kau aku rasa,” Zuriana cuba menenangkan Yuri yang terpusing-pusing mencari dompetnya di tempat duduk kereta.

“ Alamak...macam mana ni Zu...habislah aku. Aku dah masukkan dalam beg ni lepas bayar tadi. Hish...pelupa betul la aku ni,” Yuri mula menggelabah. Duit memanglah tak berapa nak ada dalam tu tapi kad bank, kad pengenalan, kad kredit semua dalam tu. Nak lapor ke mana dah jauh malam ni. Kad-kad penting dalam tu mesti disekat. Nak tak nak kenalah tunggu esok.

“ Ke kau nak aku bawa kau semula ke restoren tu, mana tahu masih ada lagi kat meja tu”. Soalan Zuriana berupa cadangan.
“ Tak jadi masalah pada kau ke?” soal Yuri bimbang cadangan itu menyusahkan kawannya. Sambil itu membetulkan semula punggungnya apabila dilihat Zuriana sudah bersedia menghidupkan enjin keretanya semula.
“Sorrylah Zu, aku menyusahkan kau,” Yuri memandang ke arah kawannya yang sedang serius memandu.
“Alah...small matter lah Yuri, kalau aku takut nak balik nanti, aku tidur rumah kau je. Tapi esok aku kena keluar awal pagi lah,” jawapan Zuriana sedikit sebanyak membuat Yuri sedikit tenang.
“Okey cantik, lagipun memang niat aku nak ajak kau bermalam je kat sini,” Suara Yuri kedengaran sangat gembira dengan niat kawannya itu. Kalau Zuriana tak mengeluarkan ayat seperti itu pun sebentar tadi, dia sebenarnya juga sudah berfikiran begitu. Bahaya bagi Zuriana memandu seorang diri balik ke Jengka jauh-jauh malam begini.

“ Dik, ada jumpa tak dompet warna merah kat sini, dompet akak tercicirlah,” Yuri segera menyapa budak lelaki yang bertopi merah tadi. Budak lelaki itu senyum menampakkan giginya yang putih bersih.
“ Tak pastilah kak, cuba akak tanya tauke saya,” Budak lelaki itu segera mengunjuk ibu jarinya dengan sopan ke arah wanita kira-kira dalam lingkungan 40-an.

“Oh...ada, tadi ada seorang lelaki beri pada akak. Dia kata dompet tu terjatuh tepi kaki dia. Bila dia nak bangun, dia terpijak. Jadi dia kata mungkin nanti tuannya patah balik. Betul jugak sangkaan dia. Nah...ini dia dompet adik,” kata perempuan yang sangat ramah itu sambil mengeluarkan dompet merah itu dari dalam laci meja kaunter.

Yuri tersenyum. “ Betullah saya punya ni kak, terima kasih ye,” kata Yuri setelah membelek kad pengenalan dan semua kad-kad penting yang masih ada didalamnya.
“Sama-sama, lain kali datanglah lagi,” kata empunya restoren itu.
“Insyaallah kak, saya balik dulu ye,” minta Yuri.

Setibanya di rumah, Yuri masih membelek-belek dompetnya itu. Bimbang juga kalau dia tak perasan ada apa-apa yang hilang. Ketika dia menarik lesen memandunya keluar, terjatuh sekeping kertas warna putih. Yuri membaca bait-bait kata di kertas itu.

~ Lain kali hati-hati.
016-9814579 ( kalau-kalau nak berterima kasih dengan saya)~

Adakah tulisan itu datangnya dari lelaki yang dikatakan oleh tauke restoren D’Kenanga itu tadi. Kalau betul, memang sepatutnya dia kena berterima kasih . Yuri mencapai telefonnya di atas meja. Dia memasukkan nombor telefon itu di dalam ruangan kenalan.

“Nama apa yang aku nak tulis ni ?” bisik hati Yuri. Dia lalu hanya menulis huruf X sebagai ganti nama lelaki yang tidak bernama itu. “Dah lewat ni...esoklah aku telefon dia,”Yuri meneka sendiri.
Disebelah sana, seorang lelaki berkumis nipis, berambut lurus serta kulit yang hampir gelap hanya menunggu-nunggu bilakah masanya telefonnya itu akan berdering.
“Agaknya dia belum sedar dompetnya dah hilang kot,” Hatinya juga berbisik. Lalu dia memulas punat radio mencari chanel Suria fm, dan merebahkan dirinya ke atas katil. Bantal bersarung biru tua itu ditarik rapat ke kepala. Sesekali dia mengerling lagi ke arah telefonnya yang diletakkan di meja sudut. Sunyi sepi. Akhirnya dia terlena ditemani lagu-lagu pilihan radio itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS